WARNA ceria membangkitkan mood riang kanak-kanak.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Melihat kesukaran mendapatkan pakaian untuk anak lelakinya bagi majlis akikah menimbulkan idea buat pemilik Darwish Rich Design menghasilkan rekaan sendiri khusus buat si manja.

Bermula dengan lukisan rekaan pakaian kanak-kanak lelaki yang dimuat naik di media sosial, ramai rakan bertanyakan sama ada dia menghasil­kan pakaian itu dan dari situ dia menyedari ramai ibu bapa menghadapi masalah mendapatkan pakaian kanak-kanak lelaki berkualiti dan menepati cita rasa.

Justeru, Nurul Huda Othman cuba menghasilkan sendiri kurta dan anaknya itu digunakan sebagai model untuk menjalankan eksperimen bagi memastikan keselesaan sebelum mula menjualnya kepada pelanggan.

Selepas mendapat material yang diingini, Nurul Huda mencuba pasaran kurtanya di Facebook untuk berkongsi de­ngan rakan-rakan. Tidak disangka permintaan agak menggalakkan bukan sahaja pelanggan dari Malaysia malah Brunei, Singapura dan Jordan.

“Sebelum menghasilkan kurta ini, saya memang menitikberat­kan aspek material yang digunakan supaya sesuai dengan bayi dan kanak-kanak kerana saya sendiri mempunyai bayi dan tahu mereka tidak boleh berada dalam keadaan panas atau tidak selesa.

“Jadi kami digunakan kain kapas lembut yang diimport dari luar negara. Kain kapas yang berkualiti tinggi, serap peluh, selesa dan tidak panas sesuai untuk bayi serta kanak-kanak,” katanya.

Kurtanya mendapat maklum balas positif daripada kalangan pelanggan yang berkongsi keceriaan anak mereka yang selesa mengenakan helaian itu dalam sambutan hari raya, majlis akikah, kenduri kesyukuran, cukur jambul, hari jadi dan sebagainya.

Kebetulan katanya, dia mengambil keputusan berhenti kerja selepas melahirkan anaknya dan idea itu timbul apabila dia sendiri berdepan kesukaran mendapatkan kurta bayi di pasaran tempatan.

Pada peringkat awal perniagaan, dia menghasilkan kurta untuk bayi, jubah mini dan baju Melayu hingga pada 2016 dia menambah koleksi kasual seperti kemeja dan kurta kasual.

Ini kerana katanya, meskipun kurta baju Melayu rekaannya sentiasa mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri, ia hanya bermusim dan koleksi kasual ditambah bagi memberi lebih pilihan kepada ibu bapa.

“Selain jenis fabrik, saya juga memberi tumpuan kepada rekaan yang praktikal dengan sentuhan menarik dan paling penting keselesaan baju yang dipakai si comel sepanjang hari.

“Kebanyakan rekaan dipengaruhi pereka luar negara dan menjadikan ia sumber inspirasi untuk rekaan saya sendiri supaya bersesuaian de­ngan budaya Malaysia,” katanya.

Menariknya, koleksi ini menggunakan fabrik kapas, linen kapas lembut dan sutera premium dengan rata-rata pakaian boleh dibasuh mesin.

Selain boleh didapati menerusi dalam talian dan butik vendor, koleksi ini juga dipasarkan menerusi platform e-dagang seperti Shopee.

Saiz koleksi juga sesuai dan padan untuk kanak-kanak Asia yang majoritinya berbadan kecil iaitu bermula saiz bayi hingga kanak-kanak berusia 10 tahun.

Bahkan ia juga dijangka dapat memenuhi selera ibu bapa yang sukakan kelainan dan kualiti dalam memilih pakaian. Bagaimanapun dia menyedari keluhan ibu bapa yang memiliki anak bersaiz badan besar dan kesukaran mendapatkan pakaian yang mengikut trend terkini dengan me­ngeluarkan koleksi bayi dan kanak-kanak saiz besar.

Menampilkan lebih 10 warna daripada trend warna tahunan dan berdasarkan permintaan peminat iaitu neutral, pastel dan terang yang sesuai dipadankan dengan pakaian ibu bapa.

Menurut Nurul Huda, selain koleksi pakaian kanak-kanak lelaki, dia turut berhasrat mengembangkan variasi produknya kepada koleksi kanak-kanak perempuan seperti kasut pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 10:34 AM