KOLEKSI tudung dan turban Ionascarf.
Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


Menjadikan kisah kejayaan wanita berstatus suri rumah menerusi perniagaan dalam talian sebagai sumber inspirasinya, menyuntik keinginan ibu beranak tiga ini untuk menjana pendapatan menggunakan modul yang sama.

Bagi pendapat sesetengah orang, dengan status yang dimiliki Datin Syalwana Mohammed (Syalwana), 33, dia tidak memerlukan semua itu kerana mempunyai suami yang mampu menyediakan apa saja untuknya.

“Bagi saya suri rumah perlu ada pendapatan sendiri dan kalau ada peluang boleh buat duit kenapa perlu bergantung harap nafkah yang diberi suami semata-mata? Walaupun suami mampu menyediakan keperluan dan menjaga kebajikan kita, tetapi tidak salah untuk sama-sama menyumbang pendapatan kepada keluarga.

“Ini kerana masa depan tidak mampu diramal dan persediaan awal perlu untuk membantu kita menghadapi cabaran hari muka,” katanya.

Sikap mandiri yang dipupuk sejak usia mudanya, mendorong Syalwana memulakan perniagaan yang memfokuskan jualan selendang dan tudung bawal. Mengapa perniagaan itu menarik perhatiannya? Ini kerana trend pemakaian tudung selain kesukaannya terhadap fabrik.

Pada peringkat awal, dia membeli secara pukal daripada beberapa pemborong, kemudian menjualnya semula secara dalam talian. Sambutan yang diberikan amat menggalakkan mungkin kerana Syalwana cerewet dan teliti dalam pemilihan fabrik serta motif corak.

“Melihat ia satu perniagaan yang menguntungkan, suami memberikan cadangan untuk mengeluarkan jenama sendiri. Sekurang-kurangnya saya boleh memilih fabrik yang berkualiti dan mempunyai hak ke atas hak cipta rekaan.

“Saya memilih Ionascarf sebagai jenama kerana ‘i’ itu merujuk kepada saya, Ona pula adalah panggilan saya dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat,” katanya.

Menawarkan variasi pilihan buat pelanggan, Ionascraf mempelbagaikan koleksinya dengan memperkenalkan turban yang mendapat sambutan hangat di pasaran.

Turban yang boleh digayakan melalui empat stail berbeza itu, menggunakan fabrik berkualiti tinggi iaitu sifon, sutera Thailand dan Jepun. Namun ia boleh dibeli dengan harga berpatutan bermula RM79 hingga ke RM89. Manakala untuk koleksi terhad pula dijual pada harga RM99.

“Kelainan turban ini selain menggunakan sutera Thailand dan Jepun, ia dihadirkan dalam himpunan warna menarik. Gaya ikatannya boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa dan tiada siapa akan menyangka anda mengulang tayang turban yang sama.

“Menyentuh keistimewaan koleksi selendang dan tudung bawal pula, selain fabrik sifon dan sutera satin tentunya jahitan tepi ‘eyelash hemming and bb seam’ yang digunakan. Jahitan ‘eyelash hemming’ menyerupai bulu mata dan jenis jahitan ini menampakkan ciri mewah pada fabrik selain kemas dan cantik,” katanya.

Untuk kepuasan pembelian, pelanggan boleh mengunjungi galeri butik Ionasacrf di Jalan Setia Perdana BB U13/BB di Setia Alam, Selangor atau membuat pembelian secara dalam talian.

Menghala kepada misi perniagaan, selain menawarkan peluang keemasan kepada mereka yang berminat menjadi stokis, piihaknya merancang memperbesarkan jenama dengan mengeluarkan koleksi pakaian sopan yang juga sesuai digayakan wanita tidak berhijab.

“Memandangkan mempunyai tukang jahit dan kilang sendiri, kami berhasrat menjadi pembekal tudung suatu hari nanti. Bukan itu saja, perkhidmatan menjahit tudung juga ditawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat membuat tempahan secara pukal,” katanya menunggu kehadiran cahaya mata keempat tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:00 AM