SUASANA tenang ketika sesi kelas mengaji berlangsung.
SUASANA tenang ketika sesi kelas mengaji berlangsung.
ANTARA pelajar yang mengikuti Kelas Pengajian al-Quran Bermodul.
ANTARA pelajar yang mengikuti Kelas Pengajian al-Quran Bermodul.
MUSA ketika di Masjid UKM.
MUSA ketika di Masjid UKM.
Nadirah Hafidzin

Usia tidak menjadi penghalang untuk menuntut ilmu apatah lagi apabila berkaitan agama kerana selagi ada kemahuan di situ pasti ada jalan.

Ada yang berusia 60 tahun, ada pula dalam lingkungan 40-an dan ada yang masih muda remaja namun semuanya kelihatan tekun mempelajari setiap baris ayat al-Quran di bawah pemantauan dan didikan tenaga pengajar terlatih.

Walaupun ada di antara mereka sudah bergelar nenek dan datuk, selagi bernyawa, belum terlambat untuk merebut peluang belajar mengaji al-Quran.

Usaha yang dijalankan Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan menganjurkan Kelas Pengajian al-Quran Bermodul untuk dewasa dan dikendalikan sepenuhnya oleh Imam Masjid UKM Ustaz Musa Moslim, patut dicontohi.

Menurut Musa, idea mengadakan kelas itu bermula apabila dia berusaha untuk membantu masyarakat supaya celik membaca al-Quran.

“Kelas ini juga sebagai platform untuk golongan dewasa yang malu hendak mengaji supaya dapat memulakan pengajian di tempat yang sesuai.

“Kelas kami bermula dengan mengaji Iqra’ menggunakan cara yang sistematik bagi memudahkan pelajar yang menyertai kelas ini,” katanya.

Musa berkata, ada di antara pelajarnya yang langsung tidak boleh mengaji dan tidak mengenal huruf namun semua itu dibantu sepenuhnya tenaga pengajar.

“Kami mempunyai 32 tenaga pengajar dan lima urus setia terdiri daripada penuntut Fakulti Pengajian Islam UKM. Setiap tenaga pengajar sudah melalui proses penapisan dan kebanyakan mereka adalah keluaran Darul Quran yang menghafaz 30 juzuk al-Quran,” ujarnya.

Menurutnya, syukur sehingga kini, lebih 200 pelajar lelaki dan wanita sudah mendaftar dan mengikuti kelas pengajian ini yang dijalankan setiap Selasa bermula jam 9 malam di aras satu Masjid UKM.

MODUL PEMBELAJARAN SISTEMATIK

Bermula September tahun lalu, kelas pengajian itu menggunakan modul pembelajaran sistematik yang menjadikan setiap pelajar lebih mudah memahami dan cepat mempelajari setiap ilmu yang diajar.

Musa berkata, pihaknya menggunakan tiga modul pembelajaran iaitu tahap pertama adalah asas bacaan Iqra’, kedua adalah latih tubi bacaan al-Quran dan tahsian bacaan manakala tahap ketiga pelajar diperkenalkan dengan kelas tajwid formal.

“Disebabkan ini adalah kelas pengajian dewasa, kami berusaha memastikan setiap pelajar dapat mengenal huruf iaitu dengan menumpukan kepada individu di kelas asas bacaan Iqra’.

“Kami juga menggunakan modul berbentuk halaqah iaitu seorang guru untuk empat hingga tujuh peserta dalam setiap sesi pengajian,” katanya.

Menurutnya, pihaknya gembira dengan sambutan diterima di mana rata-rata pelajar adalah golongan bekerjaya.

“Kami mempunyai pelajar seawal usia 18 tahun sehingga 60 tahun dan rata-rata mereka sangat komited serta bersungguh-sungguh belajar mengaji al-Quran.

“Syukur, hampir setiap minggu kami menerima pendaftaran pelajar baru yang mana yuran dikenakan adalah RM15 untuk pendaftaran dan yuran pengajian RM110 setahun atau boleh dibayar secara ansuran RM10 setiap bulan,” ujarnya.

Musa berkata, sesiapa saja yang berminat dan mempunyai keinginan untuk belajar mengaji boleh menyertai kelas itu dan proses pendaftaran boleh dibuat terus di meja pendaftaran apabila tiba di situ.

“Jika dibuat penelitian, kebanyakan peserta yang menyertai kelas ini memulakan pengajian dengan Iqra’ satu sehinggalah mereka dapat membaca ayat suci al-Quran dengan baik dan lancar.

“Kegembiraan kami tidak dapat digambarkan apabila melihat peserta yang pada awalnya tidak kenal huruf boleh mengaji dengan baik beserta tajwid yang betul. Bagi kami ini adalah hadiah yang sangat bermakna pada diri setiap pengajar,” katanya.

KELAS BANYAK MANFAAT

Seorang peserta kelas mengaji itu yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Zaki, 53, berkata, dia mengetahui mengenai kelas itu melalui laman Facebook.

“Saya meneliti modul pembelajaran kelas itu dan terus membuat keputusan menyertainya memandangkan saya masih tidak dapat membaca al-Quran dengan lancar.

“Saya buang perasaan malu. Saya cekalkan hati dan kuatkan semangat mempelajari al-Quran supaya dapat membaca kitab suci ini dengan lancar pada usia ini,” katanya penuh semangat.

Menurut Abdul Zaki yang masih bekerja di sektor swasta, setiap Selasa dia akan cuba pulang dari kerja lebih awal untuk membuat persediaan sebelum ke kelas.

“Syukur, selepas lebih enam bulan menyertai kelas ini secara konsisten, kini saya dapat mengaji al-Quran dengan bacaan tajwid yang betul. Ini satu pencapaian besar buat diri saya.

“Kini saya semakin tenang dan seronoknya dapat berkenalan dengan sahabat baru yang bersama-sama berusaha memperbaiki kualiti kehidupan masing-masing,” ujarnya.

Katanya, sesekali dia juga akan datang bersama isterinya untuk menambah ilmu agama.

“Saya tinggal di sekitar Bangi dan kebetulan kelas ini diadakan di masjid UKM yang memudahkan saya untuk datang. Alhamdulillah, penganjuran kelas seperti ini banyak manfaatnya dan saya berhasrat untuk terus mengikutinya sehinggalah dapat menyelesaikan 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Musa berkata, dia berhasrat mempertingkatkan dan memperbaiki modul pengajaran supaya proses pembelajaran dapat berlangsung dengan baik dan membantu lebih ramai pelajar.

“Saya juga berharap usaha seperti ini dapat dilakukan di lokasi lain terutama di masjid mahupun surau.

“Ia adalah satu langkah terbaik dalam membantu lebih ramai Muslim dan Muslimah supaya dapat mengaji al-Quran dengan lancar dan tajwid yang betul,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:34 PM