PENDAKI berehat di Mini Irau sebelum ke puncak.
LANDSKAP Gunung Irau yang mengagumkan.
HM Digital

Joging, senamrobik dan zumba antara aktiviti kecergasan yang sering dilakukan untuk membakar kalori dan meningkatkan stamina.

Bagaimanapun, ada sesetengah orang menjadikan aktiviti mendaki gunung dan bukit sebagai aktiviti masa lapang selain meningkatkan kecergasan.

Apatah lagi apabila sampai ke puncak selepas pendakian selama berjam-jam, pendaki disaji panorama indah memukau mata yang membuatkan mereka tidak serik atau jemu menakluk gunung lain yang ada di negara ini.

Menyingkap pengalaman sekumpulan rakan dari kumpulan kecergasan Tasvengers yang menyertai misi mendaki Gunung Irau di Cameron Highlands baru-baru ini, tersimpan 1,001 memori dek terpana dengan keindahan landskap hutan semula jadi lembap dan berlumut sepanjang tahun itu.

Gunung Irau terkenal dengan landskap utama yang dipenuhi tumbuhan berlumut umpama baldu, sehingga ia diberi nama hutan berlumut atau ‘mossy forest’.

Walaupun pendakian merentasi trek yang licin, berlumut dan dipenuhi akar kayu itu mencabar serta menuntut kemahiran teknikal, pendaki teruja menikmati pemandangan alam cukup indah.

Penulis yang turut serta merasai pengalaman berharga menawan gunung kesembilan tertinggi di Semenanjung dan ke-15 di Malaysia itu dengan ketinggian 2,110 meter atau 6,924 kaki dari aras laut.

PETUA KEKAL BERTENAGA

Menyusuri pendakian yang mengambil masa hampir empat jam itu, seorang pendaki, Latifah Rafii, 46, berkata, dia mula menanam minat untuk mengikuti aktiviti sejak tahun lalu dan mengakui sejak itu tidak pernah berhenti mengikuti mana-mana program pendakian sama ada di bukit mahupun gunung berdekatan.

Katanya, kali pertama mendaki dia mendapati banyak kalori yang dibakar iaitu antara 1,000 ke 2,500 kcal berbanding aktiviti kecergasan lain dan dia menghabiskan waktu terluang pada hujung minggu dengan aktiviti itu.

“Meskipun hampir menginjak usia separuh abad, saya mahu kekal cergas demi kesihatan. Petua kekal bertenaga adalah melakukan senaman secara berkala, jaga pemakanan dan mengambil suplemen vitamin.

“Selain itu, saya sentiasa memastikan mendapat tidur yang cukup dan mengawal tekanan. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami sebarang penyakit sinonim dengan faktor umur seperti darah tinggi dan kencing manis berkat kesungguhan menjaga kesihatan,” katanya yang sudah menawan beberapa gunung antaranya Gunung Irau, Gunung Angsi dan Gunung Datuk.

Menurutnya, peluang mengikuti pendakian ke Gunung Irau sememangnya dinanti kerana mengetahui keindahan landskap hutan yang berbeza daripada tempat lain.

Selain itu katanya, persiapan rapi dari segi mental dan fizikal amat perlu sebelum mendaki gunung itu yang dianggap agak mencabar oleh sebahagian besar pendaki tegar kerana perlu berdepan cuaca tidak menentu, selain laluan berlumpur dan agak licin.

Cabaran itu bagaimanapun katanya, hampir ‘dilupakan’ selepas menikmati keindahan gunung yang dikatakan seperti sebahagian landskap dalam filem The Lord of The Rings dan Avatar.

JADI AKTIVITI KELUARGA

Bagi wanita berusia 44 tahun, Amal Farhah Mohd Ali, pendakian ke Gunung Irau antara gunung yang agak mencabar seperti beberapa gunung yang pernah didaki antaranya Gunung Ledang, Gunung Semanggol dan Gunung Datuk.

Katanya, ia seakan-akan kepuasan apabila berpeluang mengikuti pendakian ke gunung itu yang sudah lama berada dalam senarai yang ingin ditawan di negara ini.

“Saya mula mendaki semasa menuntut di universiti mengikuti kelab rekreasi dan berasakan tekanan dan bebanan hilang serta terapi terbaik selepas sibuk dengan aktiviti harian dengan mendaki.

“Selain itu, banyak faedah diperoleh antaranya dapat berkumpul bersama rakan dengan minat sama, menikmati kesegaran udara di hutan belantara di samping bergambar di puncak gunung yang cantik.

“Saya juga bertuah kerana suami dan anak turut berminat, kami selalu mendaki bukit bersama mereka pada hujung minggu. Usia bukanlah penghalang untuk melakukan aktiviti sebegini.

“Paling penting kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum mendaki, banyakkan minum air dan mendapat rehat yang cukup antara faktor membuatkan badan sihat serta cergas untuk meneruskan ekspedisi dengan tenang di samping melakukan senaman ringkas,” katanya yang turut ditemani suami, Abdul Karim Mohammad Ghulam, 45, dalam ekspedisi itu.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, banyak pengalaman melucukan ketika dia mula terbabit dalam aktiviti itu semasa belajar di universiti mengikuti rakannya.

Katanya, disebabkan kurang pengalaman mendaki dan salah maklumat, mereka memakai pakaian kemas seperti hendak ke kelas dan perasaan bercampur baur ketika mendaki.

“Minat mula tercetus apabila mendengar cerita seronok daripada kawan yang aktif mendaki. Selepas sekian lama, minat mendaki tercetus kembali apabila isteri saya mula membabitkan diri dengan aktiviti sihat termasuk mendaki.

“Banyak faedah daripada aktiviti mendaki antaranya badan lebih sihat dan aktif, fikiran lebih jelas dan produktiviti kerja bertambah. Hubungan sesama keluarga juga semakin erat.

“Malah, mengetahui faedah dari aktiviti ini, keluarga memberi sokongan penuh. Kadang-kadang anak kami juga menyertai aktiviti pendakian di bukit berhampiran,” katanya.

Menurutnya, latihan amat penting untuk mengekalkan stamina yang konsisten dan setiap hujung minggu mereka sekeluarga mendaki di bukit berhampiran.

Pernah mengikuti pendakian ke Gunung Ledang dan Gunung Jerai, Abdul Karim dan Amal Farhah kini menyiapkan diri untuk mendaki Gunung Kinabalu dalam masa terdekat.

“Cabaran utama ialah semasa mula mula mendaki kerana berasa sangat letih dan menyesal kerana mendaki ketika itu. Mulut juga agak bising kerana penat.

“Namun, selepas seketika, saya mula rasa biasa. Saya tidak pernah tercedera semasa mendaki setakat ini. Apa yang penting ialah sentiasa berhati-hati dan ikut nasihat orang yang berpengalaman mendaki,” katanya.

HILANGKAN TEKANAN

Bagi Wan Mohd Izat Wan Mustafa, 29, dia menyahut seruan mengamalkan gaya hidup sihat dengan terbabit aktif dalam pendakian gunung dan antara gunung yang pernah ditawan termasuk Gunung Ledang, Gunung Angsi selain Gunung Batok, Gunung Bromo dan Gunung Ijen di Surabaya, Indonesia.

Katanya, di samping dapat melihat keindahan alam, pendaki juga boleh menghilangkan tekanan bekerja dengan melakukan aktiviti berfaedah seperti ini.

“Aktiviti mendaki adalah senaman yang berintensiti tinggi yang mampu membakar kalori dengan lebih cepat dan banyak. Bukan saja kita jadi kuat dari segi fizikal tetapi mental juga tenang.

“Aktiviti ini juga dapat mengekalkan hubungan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pendaki dan saya dapat berkenalan dengan ramai pendaki lain. Banyak faedah lain yang boleh didapati dengan mendaki gunung ini,” katanya.

Bagi pendaki, Sazali Zamani, 31, meskipun dia pertama kali mengikuti pendakian ke gunung berbanding hanya bukit sebelum ini, ekspedisi itu dapat dilakukannya tanpa sebarang masalah.

Katanya, mendaki nampak mudah tetapi menuntut stamina yang tinggi apatah lagi perlu menyusuri laluan curam, di sinilah kekuatan mental dan fizikal diperlukan, tidak boleh panik dan sentiasa memastikan kaki mendarat pada ruang yang kukuh untuk mengelak kecederaan.

“Walaupun masih hijau dalam aktiviti ini, tapi saya sentiasa positif bahawa saya boleh melakukannya. Meskipun ramai yang menasihatkan agar tidak mencuba jika masih baru, tapi dengan sokongan rakan dalam kumpulan ini, saya berjaya sampai ke puncak.

“Setiap orang perlu mengubah persepsi mereka tidak mampu sampai ke puncak sebelum melakukan aktiviti. Ini kerana hanya kita yang tahu kemampuan sendiri dan tidak boleh mengalah sebelum mencuba.

“Memang seronok melihat keadaan hutan yang indah seolah-olah semua tekanan dapat dilupakan. Walaupun penat, pengalaman mendaki gunung ini sangat berharga. Jika ada peluang, saya ingin mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu pula,” katanya. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 3:54 PM