CEF Jimmy menunjukkan hidangan ikan trout yang disediakannya.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Rupa bentuknya seakan-akan ikan salmon dan tidak hairan ramai yang keliru. Namun, banyak perbezaan jika dibandingkan antara ikan salmon dan trout.

Biarpun ikan salmon dan trout memiliki khasiat sama, tekstur daging, saiz dan kandungan minyaknya jauh berbeza.

Rahsia perbezaan antara ikan salmon dan ikan trout dikongsi Cef Jimmy Chok yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman bekerjasama dengan badan makanan laut Norway.

Pada masa sama, Cef Jimmy turut berkongsi resipi menggunakan ikan trout yang enak dinikmati bersama salad buah-buahan dan sayuran yang menyihatkan.

“Tidak ada masa yang boleh ditentukan untuk memasak ikan trout. Ia bergantung kepada kecil atau besar api digunakan dan suhu kuali ketika memasak ikan.

“Elakkan ikan terlebih masak bagi mengelakkan teksturnya berubah dan menjadi kurang enak. Sebaiknya, mulakan memasak di bahagian isi ikan yang mempunyai kulit,” katanya.

Cef Jimmy ditemui pada acara Cooking Norwegian Fjord Trout bersama duta Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset di KDU University College. Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Asia Tenggara Norwegian Seafood Council, Jon Erik.

Menariknya, wakil media turut berpeluang merasai sendiri bengkel masakan bersama Cef Jimmy bagi mengetahui lebih lanjut cara penyediaan hidangan ikan trout yang menyihatkan.

Katanya, banyak faktor yang boleh membezakannya dengan ikan salmon. Jika dilihat dari segi teksturnya, ikan trout lebih kenyal berbanding ikan salmon yang sangat lembut.

Saiz ikan trout juga lebih kecil dan warna isinya sedikit terang berbanding ikan salmon. Ikan trout boleh membesar dalam saiz dua hingga lima kilogram sebelum ditangkap, diproses, dibungkus dan dihantar segar ke negara tertentu tanpa disejuk beku.

Ikan trout bukan hanya enak disediakan dalam hidangan Barat dengan cara disalai atau dimakan mentah, malah ia juga memiliki rasa unik jika dimasukkan dalam hidangan Asia.

Namun, untuk memastikan rasanya kekal enak, pastikan ikan trout tidak dimasak secara berlebihan. Jika ingin masak hidangan berkuah seperti asam pedas atau lemak cili padi, pastikan ikan dimasukkan saat akhir selepas kuah mendidih.

BAHAN A:

• Sos cili Thai

• Hirisan daun limau purut

• Bawang besar (dipotong dadu)

• Bijan (digoreng tanpa minyak)

BAHAN B:

• Daun salad (dihiris)

• Tomato ceri

BAHAN C:

• Mangga masak (dipotong dadu)

• Limau bali (dipotong dadu)

• Hirisan daun limau purut

• Jus limau nipis

CARA PENYEDIAAN:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 2:16 PM