IMEJ ranggi terserlah menerusi sulaman bunga pada baju dan seluar sesuai untuk wanita bertudung.
Siti Zarinah Sahib

Gaya ringkas dan bersahaja kini menjadi pilihan wanita kota. Blaus dipadankan denim dengan sulaman bunga pada seluar atau baju semakin diminati ramai. Selain digayakan untuk acara santai, ada juga memilih untuk memadankannya dengan seluar slack lantas dipakai ke pejabat. Ia memberikan kesan menyerlah yang memperlihatkan rekaan moden dan kontemporari.

Poplook yang terkenal dengan koleksi padanan kasual mengeluarkan rekaan serba memikat untuk gaya harian wanita. Jalinan kerjasama pereka Melinda Looi menerusi kempen Poplook Gives Back with Siti Saleha sempena bulan kesedaran kanser payudara, Oktober lalu ternyata mencuri tumpuan.

Melalui kerjasama ini, ia diadakan bagi mengumpul dana membantu Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia menjalankan pelbagai kajian mengenai kanser terutama membabitkan kanser payudara.


GAYA hitam koleksi kasual Poplook bersama Siti Saleha.

Untuk itu Poplook melancarkan koleksi pakaian dan tudung eksklusif edisi terhad bekerjasama dengan Siti Saleha sebagai wajah produk. Menurut pereka Poplook, Nik Amanina Liyana, koleksi kali ini berkonsepkan sederhana dan manis yang sesuai digayakan ke pejabat dan acara kasual. Menampilkan lapan koleksi dengan imej bunga kekwa sebagai latar belakang rekaan, ia tentunya dinanti-nantikan penggemar padanan bercorak.

“Pemilihan bunga ini sebagai simbolik kepada kelangsungan hidup, harapan dan kejayaan. Apabila dikaitkan dengan pesakit kanser, kebanyakan mereka mengharapkan agar diberikan kesihatan yang baik dan dapat hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Nik Amanina, semua koleksi sama ada menggunakan sulaman tangan atau cetakan simbolik reben merah jambu tetap kelihatan pada setiap helaian. Ia memberikan motivasi kepada wanita untuk terus memberikan sokongan tanpa berbelah bagi.


RONA putih sedondon memberikan serlahan berganda kepada si pemakai.

Selain corak pemilihan warna juga amat penting bagi menunjukkan sesuatu yang bermakna kepada si pemakai. Untuk itu, pereka ini menggunakan rona semula jadi atau warna bumi bagi memberikan kelainan. Ia juga membolehkan wanita menyuai padan mengikut cita rasa masing-masing.

Menurut Siti Saleha, untuk gabungan pertama ini, dia ingin memberikan kerjasama 100 peratus bukan hanya setakat sebagai ikon dan model.

“Saya teruja untuk memberikan sesuatu kepada masyarakat. Sebab itu saya turut memberikan idea dalam setiap rekaan dan potongan dihasilkan,” katanya.

Poplook memilih Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia sebagai penerima sumbangan bagi menyokong usaha institut mencari penawar kanser payudara.


BLAUS hitam dipadankan seluar denim berbunga.

“Sebanyak 30 peratus daripada hasil jualan koleksi itu akan diberi kepada institut terbabit untuk membantu membiayai penyelidikan mereka. Saya mengharapkan sumbangan ini akan membantu institut menemui penawar penyakit kanser,” katanya.

Koleksi Poplook Gives Back with Siti Saleha tersedia dalam saiz XS hingga 4XL pada harga antara RM69 hingga RM119. Ia boleh dibeli menerusi dalam talian serta butik Poplook di The Curve, Setia City Mall dan SOGO.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:01 AM