ANTARA hasil yang dibuat sendiri menggunakan bahan
Hajahfarhana Tarmudi


Masing-masing mempunyai kreativiti sendiri dalam menghasilkan kerja tangan yang unik. Jika rajin berusaha dan sering memperbetulkan kesilapan, pastinya hasil kerja tangan yang menarik dan kreatif itu mampu diterima orang ramai.

Begitu juga idea yang terhasil daripada bahan terbuang. Jika diolah dengan baik dan rapi, bahan terbuang yang digunakan akan kelihatan unik dan mahal.

Justeru, bijak menggunakan bahan terbuang bukan saja mampu menghasilkan hiasan menarik malah membantu mengisi masa lapang dan tidak mustahil boleh menjana pendapatan sampingan terutama kepada suri rumah.

Idea spontan

Idea yang dilakukan sekadar suka-suka pada mulanya kini menjadi sumber pendapatan bagi suri rumah, Rahimah Bee Abdul, 44.

Ia bermula sejak tujuh tahun lalu dan dia akui lebih gemar mencipta kelainan pada hasil kerja tangan yang dihasilkannya.

Tidak menggunakan bunga segar atau bunga plastik, Rahimah lebih berminat menghasilkan pelbagai produk menarik menggunakan bahan terbuang.

Antara bahan terbuang yang digunakan adalah sisik ikan, kulit kerang, kulit siput (kepah), buah tunjuk langit dan buah pinang. Walaupun ia bukan kerja mudah untuk menyiapkannya, ternyata hasil rekaannya yang kreatif memberi kepuasan bukan saja kepada diri sendiri, tetapi pelanggan yang menempah.

RAHIMAH gemarkan kelainan dalam setiap hasil kerja tangannya.

“Proses dan tempoh menyiapkan hasil kerja tangan berbentuk bunga itu bergantung kepada bahan yang digunakan, jika pelanggan mahukan penggunaan sisik ikan, ia memang mengambil masa.

“Disebabkan ia menggunakan bahan terbuang, semua material perlu dibasuh dengan bersih. Misalnya, saya akan bersihkan kulit kerang menggunakan peluntur bagi membuang kotoran dan menjadikan warna putihnya lebih menarik.

“Semua idea datang sendiri dan saya tidak pernah pergi ke mana-mana kelas sebaliknya belajar membuatnya melalui Facebook serta rakan,” katanya.

Kebiasaannya, dia mendapatkan bahan terbuang seperti sisik ikan yang diinginkan di pasar besar atau pasar tani. Pelbagai jenis sisik ikan diperoleh dan biasanya daripada kategori ikan besar seperti siakap, ikan merah dan ikan jenahak.

SISIK ikan siap dibersihkan sebelum dicantum menjadi sekuntum bunga unik.

Cara membersihkan sisik ikan juga mudah iaitu hanya rendam saja di dalam air sabun, namun ketika menjemurnya tidak boleh terkena cahaya matahari terik.

Kulit kerang pula disimpan sendiri selepas isinya dimakan kerana tidak ada dijual di mana-mana. Kebiasaannya, untuk 50 tangkai bunga memerlukan dua kilogram (kg) kulit kerang.

Disebabkan itu, dia perlu memastikan sentiasa ada simpanan kulit kerang kerana ia tidak mudah rosak jika disimpan lama, sama juga seperti kulit kepah atau material lain yang digunakan.

“Kulit kerang boleh diubah menjadi bunga untuk dulang hantaran manakala sisik ikan pula saya jadikan sebagai gubahan bunga tangan. Saya lebih gemar mengekalkan warna asli pada gubahan dulang hantaran agar konsep semula jadi dapat ditonjolkan.

“Cuma bunga tangan saya akan warnakan menggunakan pewarna makanan bagi menjadikannya tampak lebih menarik. Namun, warna yang diletakkan tidak boleh terlalu banyak agar hasilnya kekal menarik,” katanya.

GUBAHAN yang memikat.

Ibu kepada empat anak ini menambah, selain di kawasan sekitar kediamannya di Kedah, dia pernah menerima tempahan daripada pelanggan luar seperti Selangor dan Johor.

Harga ditawarkan bermula RM5 hingga RM15 sekuntum bergantung kepada tahap kesukaran untuk menyiapkannya selain material yang digunakan.

Biarpun ada yang beranggapan harga diberikan agak mahal, ia bersesuaian dengan kerja keras dan idea si pembuatnya kerana ia bukan satu tugas yang mudah terutama jika menggunakan sisik ikan yang perlu dicantum satu persatu hingga menjadi bunga yang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 2:05 PM