BUKU panduan untuk kanser payudara diberi percuma kepada orang ramai.
Siti Zarinah Sahib


Tiada yang lebih menggembirakan bagi Chang Chu San, 54, apabila disahkan bebas daripada kanser payudara selepas menjalani pelbagai rawatan termasuk pembedahan mastektomi, 15 sesi radioterapi dan enam kemoterapi.

Dia kemudian menjalani kehidupan normal sebagai guru di sekolah menengah di Subang Jaya dan aktif dalam pelbagai aktiviti sukan seperti berkayak, berbasikal serta mendaki gunung.

Namun kerisauan yang selama ini menghantui fikiran menjadi kenyataan apabila selepas enam tahun bebas kanser nasib tidak menyebelahi Chang kerana pada Jun 2014 doktor mengesahkan sel kanser itu merebak ke hati.

“Saya ingatkan saya sudah bebas kanser, rupanya dalam diam sel kanser merebak ke organ lain pula. Memang saya rasa sedih dan amat tertekan apatah lagi memikirkan dua anak yang memerlukan perhatian.

“Tetapi memikirkan kehidupan ini perlu diteruskan, saya rasa bersemangat semula. Selagi hayat dikandung badan saya perlu kuat melawan penyakit,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Buku Panduan Kanser Payudara Metastatik di Sri Hartamas, baru-baru ini.

Walaupun mempunyai pengalaman yang agak menyakitkan ketika menjalani kemoterapi, Chang tetap meneruskan rawatan yang diterima sebelum ini. Dia bersyukur kerana keluarga sangat memahami dan membantu mendapatkan info mengenainya.

“Saya beruntung tinggal di Kuala Lumpur kerana mempunyai akses yang sangat luas untuk mendapatkan rawatan. Banyak hospital dan doktor pakar dalam bidang ini, jadi mengapa perlu saya takut. Apa yang penting adalah bertemu doktor dan mendapatkan pandangan mereka,” katanya.

Enggan menyerah kalah selain mendapatkan rawatan moden, Chang juga mencari kumpulan sokongan bagi mendapatkan kekuatan mental dan emosi.

Bagi wanita ini memang dia mempunyai rakan sekerja serta saudara-mara yang sangat positif namun hati dan perasaannya hanya akan puas dan kembali bersemangat apabila mendengar keluhan, pengalaman, kekuatan yang dialami pesakit kanser payudara sendiri.


MAJLIS pelancaran buku panduan untuk pesakit kanser payudara metastatik.

“Mendengar cerita mereka yang senasib dengan saya ibarat ubat paling mujarab. Daripada situ saya menyertai kumpulan sokongan dan bertemu wanita hebat yang berjaya meneruskan kehidupan walaupun pelbagai halangan dilalui. Ia menguatkan semangat untuk terus hidup,” katanya.

Bagi Chang di sebalik ujian yang menimpa dirinya, dia tetap berfikiran positif dan tidak pernah menunjukkan wajah sedih dan murung di hadapan orang ramai terutama anaknya.

“Saya tidak percaya apabila diberitahu sel kanser merebak ke hati sehingga anak bertanya adakah saya akan mati disebabkan perkara ini. Jauh di dalam hati, saya tetap berdoa dan berharap agar sembuh sepenuhnya,” luahnya.

Selepas menjalani beberapa kali rawatan, sel kanser didapati berkurangan dan keadaan Chang juga bertambah baik. Sepanjang tempoh rawatan, suaminya mengambil alih tugas di rumah termasuk menghantar anak ke sekolah.

“Dia juga meminta saya supaya banyak berehat dan tidak perlu kembali bekerja. Sudah tentulah dalam hati, saya takut kanser itu akan datang kembali. Saya tahu emosi perlu stabil, kuat dan sihat demi keluarga,” ujarnya.

mBC - Perjalanan kedua

Chang boleh dikatakan bertuah kerana mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi mengenai kanser payudara metastatik (mBC). Sedangkan masih ramai wanita kurang sedar mengenai mBC malah ada yang langsung tidak pernah mendengarnya.

Ini dibuktikan menerusi tinjauan dalam talian yang dijalankan Pfizer di Asia Pasifik tahun lalu, mendapati masyarakat masih kurang kesedaran dan kefahaman mengenai kanser payudara metastatik.

Dianggarkan 35 peratus rakyat Malaysia tidak pernah mendengar mengenai kanser payudara metastatik manakala tujuh daripada 10 mempunyai fahaman yang tidak tepat bahawa kanser jenis ini boleh diubati.

Menurut Pakar Perunding Onkologi Institut Kanser, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) Dr Mastura Md Yusof, kanser payudara metastatik adalah kanser payudara tahap empat yang membabitkan penularan sel kanser ke bahagian organ lain seperti tulang, paru-paru, hati dan otak.

Dianggarkan 20 hingga 50 peratus pesakit yang pada mulanya dikesan menghidap kanser payudara primer lama-kelamaan akan mengalami peringkat metastatik.

“Bagi pesakit kanser metastatik, biasanya mereka dibayangi dengan kematian dan ramai yang tidak mempunyai semangat untuk hidup. Wanita yang menghidap mBC mungkin berasa terasing, mengalami kemurungan dan ketakutan.

“Lazimnya penderita mBC mengalami beban emosi yang sangat berat. Pesakit mudah berasa terasing, keseorangan, dilupakan dan kurang diwakili dalam komuniti kanser payudara. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kurangnya maklumat yang tepat dan boleh dipercayai mengenai pengurusan penyakit serta rangkaian sokongan sosial yang tidak mencukupi, menyebabkan kebanyakan penghidap kanser payudara metastatik berasa bingung dan tiada arah tujuan,” katanya.

Berbeza dengan kanser pada peringkat awal yang lebih diberikan perhatian di Malaysia, kanser mBC kurang diperkatakan sekali gus menyebabkan tiada sumber dan bahan pendidikan mencukupi.

Menyedari hal ini, dalam usaha memperkasakan pesakit kanser payudara menerusi pengetahuan yang lebih mendalam dan jaringan sokongan yang lebih kukuh dalam menguruskan mBC, Pfizer Malaysia mengambil inisiatif kesedaran komuniti dan menghasilkan buku panduan pesakit yang komprehensif mengenai kanser payudara peringkat metastatik.

Oleh itu sebuah buku panduan mengenai mBC ini membolehkan lebih ramai wanita yang didiagnosis dengan kanser tahap serius ini mengendalikan pengurusan penyakit mereka dan membuat keputusan sewajarnya dengan objektif dan jangkaan yang lebih jelas.

Buku panduan bertajuk ‘Your Journey Starts Here: Living with Metastatic Breast Cancer’, mengandungi 75 muka surat ini adalah buku panduan pertama seumpamanya yang akan menjadi sumber rujukan tidak ternilai bagi pesakit mBC dan ahli keluarga mereka dalam menghadapi penyakit ini.

Maklumat perbaiki kualiti hidup

Mengenai rawatan pula menurut Pakar Perunding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr Ho Gwo Fuang, kanser payudara metastatik mungkin tidak dapat disembuhkan, tetapi ia pastinya boleh dirawat bergantung pada tahap pesakit dan sejauh mana sel kanser sudah merebak.

Selepas pesakit dirujuk di hospital, doktor akan menilai dan mencadangkan jenis rawatan sesuai untuk pesakit. Ini termasuk sama ada pesakit boleh menerima terapi hormon, kemoterapi, radioterapi atau pembedahan payudara.

“Untuk pesakit mBC terdapat pilihan rawatan yang membantu mengecilkan tumor, memperbaiki kualiti hidup dan membolehkan pesakit hidup lebih lama. Walaupun pembedahan dan radiasi mungkin bermanfaat dalam sesetengah situasi, terapi sistemik adalah kaedah utama buat masa ini.

“Ini termasuk kemoterapi, terapi hormon, terapi sasaran atau kombinasi modus terbabit. Adalah penting bagi pesakit kanser payudara untuk mendapat akses sepenuhnya pada maklumat yang tepat untuk membuang sebarang tanggapan yang salah dan mengelakkan mereka daripada menghentikan rawatan akibat maklumat yang tidak tepat mengenai kanser payudara metastatik,” katanya.


DARI kiri Dr Ho, Noor Yang Azwar, Chang dan Dr Mastura menunjukkan buku panduan untuk pesakit kanser payudara metastatik.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai Pfizer Malaysia Noor Yang Azwar Kamarudin berkata, pihaknya ingin memperbaiki jurang maklumat antara penyakit pada peringkat awal dan metastatik.

Namun, apa yang lebih penting adalah untuk menggalakkan perbincangan yang produktif mengenai rawatan dan pengurusan kanser payudara metastatik.

“Kebanyakan program dan aktiviti kesedaran komuniti lebih tertumpu pada pengesanan awal dan rawatan kanser payudara sehingga menyebabkan adanya ruang kosong berkenaan pendidikan dan maklumat mengenai kanser payudara peringkat serius.

“Pesakit mBC dan keluarga mereka tidak mempunyai panduan mencukupi untuk mengekalkan kualiti hidup terbaik selama yang mungkin.

“Mereka memerlukan maklumat yang tepat dan komprehensif mengenai penyakit yang amat digeruni itu, pilihan rawatan dan cara untuk menghadapi kesan sampingannya,” katanya.

Buku panduan pesakit mBC ini dipersembahkan dalam format yang mudah dibaca, lengkap dengan ilustrasi grafik supaya pesakit dapat memahami fakta penting dan maklumat perubatan berkenaan kanser payudara metastatik.

Buku ini yang disemak dan disunting oleh Dr Mastura dan Dr Ho bagi membantu pesakit membuat keputusan yang sewajarnya berhubung pelbagai kaedah rawatan yang berbeza dan pusat perubatan yang menyediakan rawatan untuk mBC.

Buku panduan pesakit mBC ini boleh diperoleh di semua pusat kanser kerajaan dan swasta di seluruh negara serta kumpulan sokongan pesakit kanser.

Pesakit juga boleh mendapatkan salinan buku itu di klinik onkologi mereka. Selain untuk pesakit, buku ini juga boleh dijadikan rujukan penjaga dan pakar perubatan lain mengenai cara memberikan sokongan serta bantuan yang sewajarnya kepada sesiapa yang menghidapi mBC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:02 AM