Siti Zarinah Sahib

Adelia, 22, menghadapi masalah kulit yang sangat teruk. Kulitnya bukan saja dipenuhi jerawat besar sebaliknya kemerah-merahan hampir semua bahagian termasuk pipi, dahi dan dagu. Menurut Adelia sebelum ini dia

memang mempunyai jerawat tetapi tidak seteruk ini. Semuanya berlaku selepas menggunakan produk pembersih dan krim yang dikatakan mampu menghentikan pertumbuhan jerawat menyebabkan kulitnya kemerahan seperti kesan terbakar.

Lebih menakutkan selepas berhenti menggunakan produk itu jerawat semakin banyak disertai nanah pada setiap bahagian muka. Ini menyebabkan keyakinan Adelia semakin menurun dan dia trauma bertemu orang ramai.

"Saya malu bertemu orang ramai. Akibatnya saya terpaksa memohon cuti seminggu bagi mencari rawatan sesuai meredakan masalah kulit. Ia bukan saja menyebabkan kulit semakin teruk, wang juga perlu dikeluarkan untuk mendapatkan rawatan," katanya yang enggan mendedahkan identiti sebenar.


MASALAH kulit memberi tekanan kepada sesiapa saja.

Adelia juga turut tertekan dengan masalah dihadapi dan mula mencari pelbagai rawatan yang dapat memulihkan wajah dengan segera. Ini kerana dia tahu sekiranya dia terus dalam keadaan begitu kulitnya akan semakin kehitaman dan membuatkan parut sukar hilang.

Menurut Perunding Perubatan Idealyst Medispa, Bangi Gateway Nur’Ain Zunairah Abdul Aziz, dia kerap menerima kunjungan pelanggan seperti Adelia yang menghadapi masalah kulit akibat penggunaan produk terlarang. Kebanyakannya mengakui menggunakan satu-satu produk tanpa diselidik disebabkan terpengaruh dengan kecantikan, kecerahan dan kelicinan kulit testimoni yang dikatakan menggunakan produk itu.

“Saya akui ada sesetengah produk memberikan kesan yang cepat. Kulit mulai mengelupas dan meninggalkan bahagian kulit yang lebih lembut serta cerah selepas seminggu menggunakannya. Namun ia hanya seketika, rangsangan mulai berlaku disebabkan kandungan bahan kimia di dalamnya. Lebih memburukkan keadaan sebaik saja berhenti menggunakan produk masalah seperti jerawat batu, jeragat, kemerah-merahan dan kulit seperti terbakar mulai kelihatan dan sukar diubati,” jelasnya.


DAPATKAN nasihat pakar untuk rawatan kulit.

Apabila bertemu pakar ia mengambil masa untuk menghentikan jerawat dan menyebabkan pembaziran wang. Dalam kes Adelia selain penggunaan produk yang tidak sesuai, gaya hidup tidak sihat, mengambil makanan segera dan snek turut menjadikan kulit bermasalah. Seelok-eloknya elakkan makanan berminyak dan pedas. Makanan pedas jika selalu diambil boleh mengaktifkan keradangan pada jerawat. Ia banyak berlaku kepada wanita dan juga lelaki dalam lingkungan usia 14 tahun sehingga 30 tahun. Golongan ini dikatakan mengutamakan kerjaya dan sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa memilih makanan sihat.

Bagi remaja pula jerawat dikaitkan dengan hormon yang tidak seimbang yang kerap berlaku terutama mereka yang baru datang haid.

“Bagi remaja, jerawat disebabkan oleh kelenjar sebaceous yang mengembang dan mengeluarkan lebih banyak sebum di bawah pengaruh hormon dikenali sebagai androgen. Sebab itu lebih ramai dalam kalangan remaja perempuan dan awal dewasa mengalami masalah jerawat berbanding wanita dewasa. Bagaimanapun, kebiasaannya, liang sebaceous yang hasilkan sebum ni akan semakin berkurangan apabila meningkat dewasa,” ujarnya.

Stres penyebab jerawat

Stres yang teruk dan keterlaluan juga boleh menyebabkan radang terhadap jerawat. Ini kerana adrenalina dan hormon androgen yang ada dalam badan dikeluarkan secara berlebihan. Oleh itu individu yang tertekan seharusnya cuba mencari penyelesaian dan bersikap tenang dalam setiap masalah yang dihadapi. Senaman adalah cara yang boleh mengurangkan stres.

“Berterusan dalam stres hanya akan memburukkan lagi simptom jerawat namun dengan rawatan yang betul, jerawat masih boleh dicegah,” katanya yang turut menasihati wanita agar mengelak daripada menyentuh kulit kerana ia akan memburukkan keadaan.

Jelas Nur’Ain, kulit yang disentuh menggunakan jari tidak bersih menyebabkan wajah mudah terdedah dengan bakteria Propionibacterium acnes. Sumber makanan bakteria ini ialah sebum dan sel mati pada permukaan kulit. Orang yang mempunyai masalah jerawat biasanya mempunyai lebih banyak bakteria ini pada kulit mereka.

Berpengalaman dalam membantu wanita menangani masalah kulit berjerawat dan berjeragat, Nur’Ain turut menasihati wanita mengutamakan krim pelindung matahari sebelum mengenakan solekan.


NUR’AIN Zunairah menganalisis kulit terlebih dulu bagi memastikan rawatan sesuai.

Ia sangat penting kerana Malaysia memiliki cuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Berhadapan dengan cahaya matahari dengan kerap akan membuatkan kulit kekeringan seterusnya muncul masalah seperti berkedut, jerawat dan pigmentasi, walaupun cahaya matahari bukanlah penyebab utama jerawat. Bagaimanapun, haba yang dihasilkan oleh cahaya matahari boleh menyebabkan kulit berpeluh dan berminyak sekali gus liang roma tersumbat.

“Ramai wanita Malaysia mengabaikan pemakaian krim pelindung matahari. Walaupun ia bukan boleh melindungi 100 peratus kulit, namun hampir 70 peratus kulit akan dilindungi sekiranya wanita memakai krim tabir suria yang mempunyai nilai 30 hingga 50 SPF. Mereka yang berkerja dalam bidang yang memerlukan lebih banyak masa di bawah mentari seperti atlet perlu memakai krim pelindung setiap tiga atau empat jam sekali,” nasihatnya.

Rawatan Magic Peel

Menyediakan pelbagai rawatan untuk setiap masalah kulit, Idealyst Medispa mengkhususkan perkhidmatan untuk kulit secara lebih intensif dan mendalam. Ini kerana semua terapi dan perunding kecantikan terlatih mengendalikan mesin khas yang dikhususkan untuk setiap masalah berbeza.

Untuk jerawat dan jeragat rawatan Magic Peel menggunakan cecair khas yang diletakkan ke atas kulit membantu mengecutkan jerawat. Namun sebelum rawatan dilakukan kulit akan dianalisis terlebih dulu bagi mengetahui masalah dan rawatan sesuai.

“Bagi kulit bermasalah seperti jerawat penggunaan sejenis cecair membantu meresap ke dalam kulit bagi mengecutkan jerawat. Ia mampu mengawal kadar pertumbuhan jerawat supaya tidak menjadi lebih teruk. Kesannya bergantung kepada tahap keterukan.

“Ada yang merasai sedikit gatal, kemerah-merahan dan kurang selesa disebabkan tindak balas bahan kimia. Namun ia hanya bersifat sementara. Untuk mendapatkan kesan yang optimum pelanggan digalakkan melakukan dua minggu sekali dan sekiranya jerawat semakin terkawal mereka boleh melakukannya sekali sebulan,” katanya.

Selepas sapuan cecair dilakukan ke seluruh wajah, kulit akan dibiarkan seketika sebelum dibersihkan. Kemudian topeng LED akan diletakkan ke muka dalam masa 10 minit bagi membantu mencegah pigmentasi dan mencerahkan kulit. Pada masa sama lampu LED ini dapat mengaktifkan kolagen pada kulit,” katanya.


TOPENG LED dengan cahaya merah berfungsi mengaktifkan kolagen pada kulit.

Bagi wanita yang ragu-ragu memilih produk penjagaan wajah seharusnya mereka tidak terpengaruh menerusi testimoni sebaliknya mendapatkan pengesahan dengan memeriksa kod dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi yang sudah menggunakannya pastikan produk tidak meninggalkan kesan radang seperti merah, gatal, panas atau ditumbuhi jerawat serta-merta. Sekiranya semua kesan ini ada berhenti menggunakannya. Kebiasaannya produk yang bagus dan tidak mengandungi bahan kimia hanya akan menunjukkan perubahan selepas empat atau enam minggu menggunakannya.

“Sekiranya kesan terlalu cepat dikhuatiri ia mengandungi bahan kimia berlebihan. Selain pemakaian produk, minum air kosong lapan gelas sehari, cuci muka secara teratur dan menjaga pemakanan turut menyumbang kepada kulit yang sihat dan bersih.

“Dapatkan nasihat pakar sekiranya anda kurang arif mengenai jenis produk untuk kulit dan berkunjung ke pusat rawatan kulit untuk mendapatkan penjagaan kulit secara teratur,” nasihatnya.


CECAIR diletakkan ke atas kulit dan dibiarkan meresap bagi mengecutkan jerawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 2:57 PM