KEMUDAHAN Program Terapi Bermain yang akan diwujudkan di CHH dapat membantu lebih ramai kanak-kanak penghidap kanser.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Penjagaan kanser di Malaysia pada masa ini bertumpu terutama kepada rawatan. Malangnya, kurang tumpuan diberikan kepada keperluan psikososial pesakit kanser, terutama dalam kalangan pesakit muda.

Menyedari jurang ini dan betapa pentingnya menangani masalah berkenaan, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melancarkan Program Terapi Bermain yang pertama di Melaka.

Menerusi pembiayaan sendiri oleh persatuan itu, program berkenaan dibentuk untuk memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada pesakit kanser kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Melalui program ini, NCSM ingin membantu pesakit kanser kanak-kanak memahami, menghadapi dan melawan penyakit dengan lebih baik.

Pelbagai terapi seperti terapi tanah liat, pasir dan seni akan digunakan untuk membantu pesakit kanak-kanak menangani emosi mereka sepanjang perjalanan menentang kanser.

Terapi itu juga membantu kanak-kanak mengatasi rasa takut, bimbang, terpisah, murung dan sakit dengan lebih baik.

Selain itu, program terbabit juga menyediakan kaunseling psikologi untuk ibu bapa atau penjaga supaya menangani tekanan dengan lebih baik.

Melaluinya juga, ibu bapa dan penjaga bukan saja boleh mendapat maklumat mengenai diagnosis kanser dan pilihan rawatan, tetapi juga mempelajari petua menjaga anak yang menghidap kanser.

Kit permulaan akan diberikan kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak yang baru didiagnos menghidap kanser. Kit ini mengandungi barangan penting seperti topeng muka, tisu antibakteria dan bahan pendidikan.

Baru-baru ini , Merck Sharp & Dohme (MSD) Malaysia menjanjikan sokongannya terhadap Program Terapi Bermain NCSM dengan sumbangan RM142,149 melalui bantuan International Neighbour of Choice (INOC), program MSD untuk berbakti kepada masyarakat.


BILIK dan kemudahan Program Terapi Bermain dapat memberi sokongan emosi kepada pesakit memahami kanser.

Sumbangan ini akan membantu NCSM melaksanakan program ini secara lebih meluas dengan membabitkan lebih ramai pesakit kanser kanak-kanak. Di samping itu, program ini memudahkan pesakit kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga mereka mendapatkan sokongan dan maklumat.

Melalui sokongan MSD Malaysia, NCSM kini mampu menawarkan program ini di rumah kebajikan Rumah Harapan Kanak-kanak (CHH) NCSM mulai bulan ini, dengan matlamat meluaskannya ke Hospital Kuala Lumpur.

Program bantuan INOC MSD menyokong usaha cemerlang pertubuhan bukan berkeuntungan untuk meninggikan mutu hidup manusia dan alam sekitar. Program ini dimulakan pada 1990-an dan menyokong usaha pertubuhan bukan berkeuntungan tempatan yang berjuang meninggikan mutu hidup manusia.

Program ini direka untuk menggalakkan pembentukan masyarakat yang lebih sihat melalui sokongan kewangan yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kita.

Pengarah Akses Pasaran, Polisi, Komunikasi dan Unit Perniagaan Fertiliti MSD Malaysia David Lin berkata, syarikat itu komited terhadap usaha meninggikan mutu hidup manusia dan mendorong perubahan yang positif dalam hidup mereka.

Katanya, mereka berpegang teguh pada kepercayaan ini dan melalui sokongan terhadap Program Terapi Bermain NCSM, pihaknya berharap dapat membantu lebih ramai pesakit kanser kanak-kanak.

“Sungguhpun rawatan kanser penting, kesihatan emosi dan psikologi mereka juga sama penting. Kami berharap dapat terus menyokong NCSM dengan usaha mereka membantu masyarakat,” katanya ketika penyerahan cek di ibu pejabat NCSM di Kuala Lumpur.

Ini adalah kali kedua MSD memberikan bantuan INOC di Malaysia. Bantuan INOC yang pertama diberikan kepada EMPOWERED (Persatuan Advokasi Kanser Malaysia) bagi Projek Kesedaran Kanser Kolorektal 2017.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM Dr Saunthari Somasundaram berkata, pengalaman menghidap kanser boleh menyebabkan trauma pada kanak-kanak.

Ini kerana mereka tidak memahami pengalaman yang dilalui dan berasa takut, terasing serta kecewa kerana pesakit kecil ini bukan hanya hanya memerlukan pembedahan, radioterapi atau kemoterapi untuk pulih daripada penyakit ini sebaliknya mereka perlu diberi sokongan emosi.

“Kanak-kanak yang menyertai Program Terapi Bermain kami di Melaka lebih memahami kanser dan bersedia meneruskan rawatan.

“Mereka juga faham bahawa perasaan negatif seperti rasa sedih dan marah adalah biasa dan tidak patut berasa dipersalahkan atas penyakit yang dihidapi. Bahkan mereka juga tidak sepatutnya rasa bersalah dengan tekanan yang dihadapi keluarga.

“MSD Malaysia memang penyokong tegar inisiatif NCSM selama ini dan melalui program ini, kami dapat membantu lebih ramai kanak-kanak yang menghidapi kanser,” katanya.


LIN (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan MSD kepada Dr Saunthari (tiga dari kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 1:11 PM