CARIESSA (kiri) menyampaikan sijil ICDL kepada Woon (tengah) di Montfort Boys Town, Shah Alam.
CARIESSA (kiri) menyampaikan sijil ICDL kepada Woon (tengah) di Montfort Boys Town, Shah Alam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Teknologi Maklumat (IT) memainkan peranan penting terhadap pembangunan masyarakat terutama di negara membangun dalam dunia digital yang pantas berubah hari ini.

Impaknya begitu besar yang mana IT sudah menjadi antara keperluan penting dalam kehidupan.

Namun, kekangan kewangan menyebabkan ada di antara kita tidak mampu mendapat peluang mempelajari kemahiran komputer yang amat diperlukan pada masa kini.

Justeru, Fraser & Neave Holdings Berhad (F&NHB) berusaha merapatkan jurang itu dengan memperkenalkan program Lesen Memandu Komputer Antarabangsa atau International Computer Driving License (ICDL) kepada pelajar di Montfort Boys Town, Shah Alam.

Montfort Boys Town adalah sebuah institusi pendidikan holistik membantu belia kurang bernasib baik dalam persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif.

F&NHB memulakan program Sudut IT F&N pada 2010 dan sejak 2011, program ICDL sudah memberi peluang kepada hampir 400 pelajar menjalani kursus pensijilan ICDL selama enam hingga lapan bulan.

Majlis tamat program diadakan bagi menyampaikan sijil ICDL kepada 35 pelajar tahun akhir Montfort Boys Town, berusia antara 16 hingga 19 tahun, baru-baru ini.

Tahun ini, seramai 20 pelajar menerima sijil dalam bidang Rekaan Grafik dan Multimedia yang pertama kali bagi Montfort Boys Town, manakala 15 pelajar lain lulus dalam bidang Penyenggaraan Komputer.

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&NHB Cariessa Goh berkata, objektif utama projek berkenaan adalah mewujudkan peluang kepada remaja untuk membangunkan kemahiran teknikal dan vokasional bagi membolehkan mereka berdikari mendapatkan pekerjaan.

“Dunia kini sudah bersifat global akibat pengaruh IT dan remaja tidak seharusnya ketinggalan dalam menguasai kemahiran itu.

“Kami ingin bantu remaja kurang bernasib baik meningkatkan keyakinan diri dan memanfaatkan platform ini bagi mencapai kehidupan lebih berjaya,” katanya.

Pelajar Rekaan Grafik Woon Jia En, 19, dan adiknya Woon Jia Le, 17, yang mengikuti kursus penyelenggaraan komputer gembira kerana memperoleh manfaat daripada program pensijilan itu.

“Sijil ini seperti mengiktiraf kami mempunyai pengetahuan asas dalam penyuntingan imej dan akan membuka peluang lebih mudah untuk mendapatkan pekerjaan.

“Apa yang kami belajar di Montfort Boys Town ialah kemahiran hidup sebenar, bukan teori semata-mata tetapi amali dan pengetahuan berasaskan latihan menangani situasi hidup sebenar,” katanya.

Difahamkan, F&NHB memperuntukkan lebih RM135,000 untuk membiayai program ICDL dan juga melengkapkan kemudahan di Montfort Boys Town di Shah Alam dan Melaka dengan peralatan komputer, pencetak, projektor, akses Internet dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:27 AM