RAJA Nur Jannah, (lima dari kiri) bersama ahli jawatankuasa penganjur.
Kusyi Hirdan
wanitametro@hmetro.com.my


Salasilah pelihara silaturahim

Fahamkah kita maksud nasab? Nasab ialah perkataan bahasa Arab yang bermaksud nisbah. Nisbah sesuatu dengan sesuatu yang lain. Dalam hukum Islam, ia mengenai kaitan hubungan seseorang dengan seseorang yang lain.

Mungkin kita tidak nampak kepentingannya kerana berasakan ahli keluarga cukup lengkap dan bahagia. Cukuplah anak kita mengetahui siapa datuk neneknya, ibu dan bapa saudaranya serta sepupu. Mungkin ada yang berkata, Allah tidak memandang manusia berdasarkan keturunannya tetapi ketakwaannya. Jadi nasab apa pun tidak penting.

Ada yang berasakan nasab seperti mengenang peristiwa lalu. Ada pahit manisnya dalam peristiwa lalu maka tidak ramai yang mahu melupakannya. Ramai juga beranggapan mengetahui nasab yang lama tiada manfaatnya.

Mengetahui dan mengesan salasilah nasab tidak harus dilihat dari sudut negatif. Bukan untuk bermegah kerana nasab kita daripada orang alim, hebat atau berilmu tetapi sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang baik. Contohnya, menuruti kebaikan nenek moyang kita, sikap kepemimpinan mereka dan kebaikan yang lain. Jadikan ia teladan demi meningkatkan takwa kepada Allah dan rasul.

Raja Nur Jannah Raja Hirdan, 57, dan beberapa ahli keluarga terdekat mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Pertemuan Waris & Kerabat Orang Kaya-Kaya, Engku Imam Paduka Tuan, Almarhum Raja Yahya Raja Daud Shahid pada 9 Disember lalu di Kuala Kangsar, Perak.

Bagi mereka, ia usaha yang besar kerana julung kali diadakan. Maka beberapa bulan sebelumnya ahli jawatankuasa pe­nganjur ditubuhkan dengan dipe­ngerusikan Raja Dr Elina Raja Aziddin supaya majlis berjalan lancar dan mencapai sasaran. Walau kebanyakan ahli jawatankuasa tinggal di luar Perak, mereka sentiasa memperuntukkan masa untuk saling berhubung dan bermesyuarat.

Majlis diuar-uarkan di laman sosial dan dari mulut ke mulut. Hasilnya 320 orang hadir, majoritinya mahu mengetahui mengenai keturunan Kesultanan Siak yang berada di dalam darah mereka.

MINAT DAN KESABARAN TINGGI

Salasilah yang dikaji bukan sekadar membicarakan garis keturunan sahaja. Ia lebih luas dan besar kerana dalam Islam memang sangat mementingkan silaturahim. Namun begitu, ilmu nasab dan mengesan susur galur salasilah adalah amat sulit, memerlukan kesabaran tinggi dan perlu berhati-hati. Tanpa minat mendalam ia pasti tidak menjadi.

Raja Nur Jannah bersama sepupunya, Raja Noor Sheela Raja Aziddin serta anak saudara, Raja Nor Safrina Raja Shahrul Zaman, berusaha gigih mengemas kini senarai salasilah. Bukan hanya nama dan keturunan yang dicari, ia perlu disahkan dengan orang lain, dikaji dari aspek masa, sejarah, penceritaan orang-orang tua, mencari kubur, melihat tarikhnya, membanding dan berusaha mendapatkan gambar atau pengesahan ahli keluarga terdekat mereka yang dicari itu.

“Moyang kami Raja Yahya Raja Daud Shahid, gelarannya Orang Kaya-kaya, Engku Imam Paduka Tuan negeri Perak yang kedua. Kami mencari maklumat sebanyak mungkin dengan mendapat pelbagai pertolongan daripada ramai ahli keluarga,” katanya.

Dokumentasi dibuat dengan teliti, sekiranya berasa ragu, ia disiasat lagi. Begitu juga sekiranya mendapat tentangan atau maklumat baharu. Ia perlu diubah segera dan diuar-uarkan.

Raja Nur Jannah menegaskan, dia melakukan segala-galanya itu selain mahu mengetahui dengan jelas salasilah keluarga sebelah bapa dan memperkenalkan almarhum kepada warisnya di zaman ini. Selain itu, dia mahu jalinan silaturahim termeterai dan saling mengenali.

Pada majlis itu juga, penyelidik salasilah, yang juga ahli keluarga, Raja Adley Paris Raja Baharuddin, dijemput memberi penera­ngan dan perkongsian ilmu mengenai salasilah Raja Yahya dan ketokohannya.

“Almarhum dilantik sebagai Orang Besar Delapan pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Idris Mursyidul’ Adzam Shah. Dia tokoh ilmuan dan Pakar Salasilah (Geneologis) yang mencatat salasilah raja-raja Perak dan pembesar Perak pada zamannya.

Antara hasil penulisan manuskrip almarhum yang terdapat di dalam ‘Hikayat Negeri Johor’ ialah Manuskrip Maxwell 24 (d) yang disalin semula oleh Uda Hashim pada 6 Ramadan 1299 Hijrah (atas arahan WE Maxwell yang ketika itu Penolong Residen Perak).

Beberapa manuskrip hasil tulisan almarhum kini tersimpan di Perpustakaan The Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland di Bayswater, London, United Kingdom dan perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.”

DARI SIAK KE PERAK

Raja Yahya berketurunan Kesultanan Siak Sri Indrapura dari Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah atau Raja Kecil Siak (Sultan Siak 1), Sultan Muhammad Abdul Jalil Muzaffar Shah atau Tengku Buang Asmara (Sultan Siak ke-2) dan Sultan Ismail Abdul Jalil Jalaluddin Shah (Sultan Siak ke-3).

Juga berkait rapat dengan Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (Sultan Siak ke-7), satu-satunya sultan yang dimakamkan di luar jajahan negerinya iaitu di Kampung Che Lijah, Du­ngun, Terengganu kerana berlaku perebutan kuasa di antara Sultan Yahya dengan saudara dua pupunya, Tengku Udo Syed Ali Syed Usman Syahabuddin (menaiki takhta kerajaan Siak bergelar Sultan as-Sayyid al-Sharif Ali Abdul Jalil Syaifuddin Shah, Sultan Siak ke-8).

Pergolakan keluarga inilah yang membawa penghijrahan nenda Raja Yahya iaitu Tengku Besar Muda Abdul Rahman dan kerabatnya ke Perak.

Raja Yahya mangkat pada 1 Oktober 1904 (bersamaan 22 Rejab 1322) dan disemadikan di Makam Diraja Al-Ghufran Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

“Yang tinggal kini ialah warisan cucunya dan tiada seorang pun sempat bertemu muka dengannya. Saya dan semua ahli jawatankuasa penganjur sangat gembira kerana pertemuan pertama ini berjaya dianjurkan dan insya-Allah, akan ada pertemuan yang seterusnya nanti,” kata Raja Nur Jannah.

Mengetahui susur galur nasab adalah langkah yang pertama namun langkah selepas itulah yang lebih penting. Kini ramai yang berlumba-lumba mahu mengetahui nasab dan asal usul diri. Persoalannya, apakah yang kita lakukan selepas mengetahuinya? Adakah kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja dan sekadar menulis mengenainya di laman sosial atau memperkukuhkan lagi silaturahim sesama keluarga? Itulah yang paling utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:31 AM