PESERTA gembira sumbang tenaga pulihara hutan bakau.
HM Digital

Seramai 33 belia terbabit menjayakan kem #Mangrove4U di Pulau Bait Semporna, Sabah bagi memelihara bakau. Hampir 60 peratus bakau boleh didapati di negeri berkenaan dan Semporna kawasan yang mempunyai hutan simpan bakau. Bakau memainkan peranan yang sangat penting sebagai kawasan nurseri, habitat dan tempat sumber makanan kepada ekosistem sekelilingnya termasuk manusia.

Selain menjadi benteng penahan pesisir, bakau juga membantu dalam menjaga kualiti air dengan menapis bahan buangan daripada kawasan daratan.

Pengarah Perhutanan Semporna Norahmad Jumain berkata, bakau di Semporna tidak terkecuali mengalami ancaman pelbagai aspek yang turut menyukarkan pihak penguat kuasa.

katanya, hampir keseluruhan kawasan bakau di daerah ini dilindungi dan pihaknya masih meneruskan pencarian kawasan hutan bakau baru yang boleh diwartakan lagi.

“Antara ancaman yang sedang dihadapi termasuk aktiviti pembalakan haram, perumahan pesisir bakau, pembuangan sampah sarap dan pembukaan kawasan bakau untuk pembangunan,” katanya.

Peserta, Mohd Absyah Wahab berkata, aktiviti berkenaan satu-satunya program yang memberi kesedaran mengenai pemuliharaan bakau di Semporna.

“Walaupun membesar dan tinggal di kawasan simpan hutan bakau saya tidak tahu pokok bakau ini dilindungi dan penting.

“Semporna sangat beruntung kerana turut mempunyai kawasan hutan bakau yang menjadikan lautan di sini semakin unik dan cantik.

“Ia juga turut menjadi sumber perusahaan yang semakin membangun dalam sektor pelancongan. Oleh itu bakau juga perlu diberikan perhatian kerana kepentingannya dalam alam sekitar dan ekonomi tempatan,” katanya.

Pembantu Ketua Projek #Mangrove4U camp, Herminatalia Tabar berkata, dalam berdepan cabaran perubahan iklim, penekanan pemulihan perlu diberikan sebagai langkah mitigasi.

“Bakau juga dikenali sebagai ‘simpanan karbon biru’ kerana kelebihannya dalam menyerap karbon yang kita lepaskan setiap hari. Bakau dan ekosistemnya memberikan banyak khidmat percuma kepada kita dan itulah sebabnya ia perlu dilindungi,” katanya.

Program #Mangrove4U camp dianjurkan bersama oleh Green Semporna atau Kelab Pencinta Alam Semporna. Program ini ditaja oleh 1Malaysia For Youth dan Young Southeast Asian Leaders Initiative sempena sambutan YOUnified di seluruh negara ASEAN dengan lebih 100 aktiviti dijalankan yang 16 daripadanya di Malaysia.

Program ini turut dianjurkan dengan kerjasama dan sokongan Pejabat Perhutanan Daerah Semporna, JKKK Pulau Bait, WWF-Malaysia Semporna Marine Program dan Project RAW: Protect Mangroves, Protect Us.

Diharapkan dengan pendidikan kesedaran seperti ini, lebih ramai belia sedar mengenai tugas dan peranan mereka sebagai generasi dalam melindungi alam sekitar khususnya di daerah Semporna. Program ini dirangka dengan pengisian untuk memperkukuh kepemimpinan muda dan pengetahuan alam sekitar. -Hidayatul Akmal Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:40 AM