KAYAP pada dermatom T4 sebelah kanan badan.
KAYAP di T10 kiri.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Berulang kali membelek wajah di depan cermin. Rasa gatal di bahagian tengah kepala kian merenyam hingga sukar ditahan. Sejak kelmarin, wajah Amin juga berubah menjadi menakutkan.

Pada kelopak matanya, berdekatan kening, tumbuh bintik merah berair seakan-akan bisul. Apabila diraba atas kepala, Amin bertambah hairan. Sebelah daripada bahagian kulit kepalanya benjol dan berlekuk. Tanpa sedar, bintik air di celah rambutnya pecah. Pedih, sakit dan berdenyut hingga ke pangkal tengkuk.

Pada sangkaannya, bintik di wajah adalah jerawat. Namun apabila dua tiga bintik merah serupa naik di beberapa bahagian kanan muka, Amin jadi bingung. Tambahan kepala terus sakit, miang dan merenyam seolah-olah ada serangga kecil merayap tanpa henti.

Terdetik di hatinya, keadaan itu berpunca daripada alahan. Namun selepas difikirkan berkali-kali, mengapa hanya sebelah wajahnya yang terjejas? Malah, gatal semakin teruk apabila dia berpeluh. Kanan wajahnya bengkak, merenyam dan sakit.

Berikutan itu, Amin hilang fokus kepada kerja. Dia malu berdepan majikan dan kawan. Kondisi tubuhnya juga berubah, sekejap lemah, lesu dan hilang selera makan.

Selepas hari ketiga menderita sakit dan gatal, barulah Amin ke klinik. Dia tergamam apabila diberitahu kesan lepuh, gatal dan sakit pada kanan wajahnya disebabkan kayap muka. Mujur dia tidur berasingan dengan isteri dan anaknya sejak mengalami gatal dan sakit kepala. Bau tidak menyenangkan daripada kesan luka yang berair menyebabkan Amin menjauhkan diri daripada seluruh ahli keluarganya.

Dua minggu selepas diberi ubat antiviral, barulah Amin beransur pulih. Itu pun luka dan lepuh pada wajahnya masih meninggalkan parut yang dalam.

Menurut Pakar Kulit Hospital Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) Dr Kartini Farah Rahim, kayap atau nama lainnya herpes zoster adalah sejenis penyakit kulit menular yang menyakitkan, berpunca daripada jangkitan virus Varicella zoster.

“Kayap terjadi selepas pengaktifan virus dari pusat saraf tunjang. Virus ini berhibernasi atau dorman (tidak aktif) di situ selepas individu terbabit mendapat cacar air dan kemudian menjadi aktif semula.

“Antara faktor yang boleh mendorong virus ini kembali aktif adalah tekanan, jangkitan kuman atau pengaruh virus lain. Dalam perubatan, virus ini dikenal pasti sebagai penyebab cacar air dan kayap.

“Cacar air biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak, sementara kayap terjadi kepada orang dewasa atau mereka yang berusia,” katanya.

Jelas Dr Kartini, sepanjang hayat seseorang, kira-kira 10 hingga 30 peratus individu akan menghidapi penyakit ini. Mereka yang berisiko adalah individu yang mempunyai sistem imun rendah disebabkan kesan ubat kemoterapi, menghidapi kanser atau HIV.

“Bagaimanapun, sesiapa saja masih boleh mendapat jangkitan virus ini terutama bagi mereka yang sudah lanjut usianya. Pengaktifan virus ini dari pusat saraf tunjang menyebabkan sifat kayap itu ‘menular’ kerana mengikut perjalanan saraf itu keluar dari pengkalannya di bahagian tulang belakang dan dibawa ke hadapan setengah bahagian badan dan muka atau turun ke bawah untuk tangan dan kaki.

“Dalam bahasa perubatannya ia disebut dermatom. Malah ada yang menggelarkan kayap sebagai ‘penyakit ular’ kerana sifatnya mengeliling dan menjalar setengah bahagian badan atau muka, lengan atau kaki,” katanya.

VIRUS BERJANGKIT

Mengulas lanjut, Dr Kartini berkata, virus Varicella zoster boleh berjangkit dengan mudah melalui sentuhan, cecair hidung atau batuk.

“Anak di sekolah senang menjangkiti antara satu sama lain. Begitu juga dengan ahli keluarga apabila individu yang dijangkiti berada di rumah. Lazimnya, orang dewasa yang sudah dijangkiti virus ini ketika kecil, lebih berisiko mendapat kayap, terutama selepas mereka menjangkau umur 60 tahun.

“Apabila semua gelembung air sudah kering dan berkerak, virus berkenaan tidak akan lagi menjangkiti orang lain. Namun sebelum ia kering, cubalah mengasingkan diri. Sebab itu, sesiapa yang mengalami cacar air atau kayap aktif perlu menjauhi orang lain, khususnya kanak-kanak dan ibu mengandung bagi mengelakkan jangkitan,” katanya.

Tanda paling awal sebelum munculnya ruam adalah rasa pedih seperti terkena percikan api atau tajam seperti dicucuk pisau di kawasan dermatom terbabit. Selepas beberapa hari, pesakit mungkin akan berasa sakit kepala dan lemah badan, diikuti kemunculan ruam dan gelembung kecil, mengandungi cecair jernih, keruh atau gelap.

Apabila kering, ia akan berkerak dan kadangkala meninggalkan parut gelap atau putih. Sekiranya gelembung ini pecah atau jenis jangkitan yang teruk, ia mungkin meninggalkan parut dalam (ulser) yang kekal.

“Proses penyembuhan kayap mengambil masa antara dua hingga empat minggu. Kesakitan yang bermula pada awalnya boleh berpanjangan sehingga berbulan-bulan lamanya walaupun ruam sudah surut.

“Ramai pesakit yang mengalami kulit sangat sensitif terhadap sebarang sentuhan walaupun geseran baju yang lembut. Ini kerana sentuhan membawa kesan sakit mencucuk-cucuk atau perit bagai disambar api. Bagi sesetengah kes, kesakitan yang dialami penghidap kayap juga boleh mengelirukan doktor kerana kelihatan seperti sakit tulang, jantung dan sebagainya.

“Paling utama, kayap juga boleh berulang bagi empat hingga tujuh peratus pesakit yang pernah mengalaminya. Keadaan ini dipercayai boleh berlaku dalam tempoh lapan tahun selepas menghidapi kayap buat pertama kali,” katanya.

MITOS KAYAP

Meneliti keadaan kebanyakan pesakitnya, Dr Kartini berkata, ramai mengalami rasa sakit yang sukar digambarkan sehingga susah menumpukan perhatian terhadap tugasan harian. Ada juga yang mengalami kemurungan kerana parut kayap berada di kawasan terdedah seperti muka.

“Komplikasi yang berpanjangan disebut sebagai ‘postherpetic neuralgia’. Ia biasanya terjadi kepada 30 peratus pesakit yang berumur 80 tahun ke atas. Mereka akan terus berasa sakit di kawasan kayap walaupun ruamnya sudah pulih. Keadaan ini mungkin boleh berterusan selama lebih tiga bulan.

“Manakala komplikasi lebih teruk berlaku apabila kayap naik di kawasan mata yang boleh menyebabkan keradangan mata dan glaukoma. Sekiranya kayap menyerang saraf muka, ia juga boleh menyebabkan kelemahan (paralisis) otot muka, meningitis (radang pada selaput meninges otak akibat jangkitan kuman) dan sebagainya.

“Tidak kira apa pun komplikasi yang berlaku, sentiasa fokus kepada rawatan yang dicadangkan doktor. Ini penting kerana ada mitos yang mengatakan kayap berlaku kesan daripada perbuatan khianat (menurut pandangan bomoh, pawang dan sebagainya). Ini jelas kefahaman yang salah kerana penyakit ini berpunca daripada serangan virus herpes zoster,” katanya.

Kata beliau, kayap juga tidak mempunyai variasi ular, api dan sebagainya. Ia hanya sejenis penyakit, tetapi boleh dikategorikan kepada kawasan dermatom yang terbabit dan boleh dirawat sama ada menggunakan ubat antivirus, penahan sakit atau jenis sapu untuk ruam.

“Ketika ini, ubat antivirus seperti acyclovir dan valacyclovir berfungsi untuk mengurangkan keterukan kayap dan tempoh ia menyerang pesakit. Begitupun, ubat ini tidak dapat membunuh virus, tetapi menghentikan serangannya supaya ia kembali dorman di saraf tunjang.

“Lazimnya, ubat makan antivirus adalah paling berkesan jika diambil pesakit dalam tempoh 72 jam selepas ruam bermula. Jika individu itu mempunyai sistem imun yang rendah, maka suntikan ubat antivirus akan dimulakan oleh doktor di hospital. Penggunaan ubat antivirus dalam masa beberapa jam selepas gelembung air timbul pada kulit dapat membantu mengelakkan komplikasi, mengurangkan tempoh jangkitan dan mengehadkan jangkitan daripada terus merebak.

“Sementara ubat penahan sakit secara kombinasi akan di berikan doktor mengikut tahap kesakitan dialami pesakit. Contoh ubat adalah paracetamol, ubat antiradang bukan steroid (NSAIDS) dan jenis opioid.

“Ada beberapa jenis ubat lagi yang boleh diberikan jika contoh berkenaan tidak membantu pesakit seperti ubat neurooaktif amitriptyline dan gabapentin. Namun demikian, pengambilan ubat ini memerlukan pemantauan doktor pakar,” katanya.

Bagi mengurangkan rasa tidak selesa pada permukaan kulit, Dr Kartini mencadangkan pengambilan ubat sapu yang sesuai, bergantung kepada peringkat penyakit terbabit.

Katanya, ketika bintik kecil mula naik, adalah penting untuk pesakit sentiasa mengeringkan kesan lepuh dan mengelak daripada menyentuh luka yang berair.

Cara pengeringan adalah dengan menekap gelembung air yang pecah dengan lembut menggunakan kain bersih dicelup dalam air garam (normal saline) atau potassium permanganate yang dicairkan.

“Sebaik saja gelembung ini kering atau berkerak, sapu pelembap di kawasan terbabit. Kesan lepuh yang kering tidak boleh dikopek untuk mengelak berlakunya parut yang tebal. Jika terdapat nanah atau tanda jangkitan bakteria, dapatkan ubat antibiotik daripada doktor,” katanya.

TIP MENCEGAH PENYAKIT KAYAP

Vaksin untuk herpes zoster adalah efektif untuk mereka berumur 50 tahun ke atas. Hal ini penting kerana umur dalam kategori inilah yang kebiasaannya mendapat kayap. Vaksin boleh memendekkan tempoh dan keterukan jangkitan, dan menurunkan kadar risiko untuk kayap tumbuh. Di sesetengah negara, vaksin ini di berikan secara percuma untuk warga tua berumur 60 ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 12:42 PM