GABUNGAN songket, renda dan satin menampilkan gaya moden kontemporari.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Dahulu jika ditanya kepada bakal pengantin busana persandingan pada hari bahagia, rata-rata mahukan baju daripada fabrik renda dihiasi manik penuh. Jarang sekali anak gadis ingin menggayakan padanan tradisional seperti songket yang dikatakan panas dan keras.

Sering dianggap sebagai fabrik yang tidak pernah lapuk ditelan zaman, songket melalui evolusi yang kian berkembang sama ada dari segi rekaan dan potongan. Walaupun pelbagai jenis fabrik datang silih berganti, fabrik tradisional ini masih diminati dan mempunyai peminat tersendiri.

Mengenakan baju songket klasik corak bunga tabur, bersanggul goyang atau sanggul cina yang diselit bunga melur, bergelang tangan besar dan bergelang kaki sememangnya nampak lebih elegan.

Selain dijadikan helaian baju kurung dan kebaya yang digayakan pada acara keraian, kini songket melalui perubahan yang unik namun terus mengekalkan nilai tradisional.


SONGKET hijau berpotongan peplum anggun digayakan mempelai.

Ketidakselesaan mengenakan songket kerana panas dan gatal adalah perkara kecil kerana ini kebanyakan rumah mempunyai alat pendingin hawa. Malah rekaan kini yang meletakkan kain alas lembut bagi setiap helaian songket mengatasi masalah ketidakselesaan.

Menurut pengasas jenama Nurin Wedding, Nurul Adlina Basir, dia memilih songket disebabkan permintaan yang tinggi, pemakaiannya nampak klasik dan mewah. Walaupun banyak menghasilkan rekaan daripada fabrik sifon dan renda namun padanan songket masih mendapat permintaan. Ini kerana Nurul Adlina melakukan pengubahsuaian pada potongannya.

Tidak mahu kekal dengan rekaan yang sama dia menghasilkan potongan peplum yang diberi suntikan elemen songket digabungkan bersama fabrik moden lain.


MERIAH busana persandingan dengan perincian sarat manik pada busana.

“Selepas menyedari kebanyakan mempelai inginkan rekaan tradisional dengan konsep moden kontemporari, saya melakukan gandingan fabrik. Ketika memilih busana, perlu ingat potongan peplum lebih sesuai untuk mempelai berbadan kecil dan langsing saja.

“Bagi mereka yang berbadan besar saya tidak menggalakkannya kerana ia menampakkan kekurangan pada potongan badan. Namun, jika mereka tetap mahukannya saya akan melakukan sedikit perubahan menerusi tambahan ropol yang jatuh ke bawah dan kurang kembang,” katanya.

Menurut Nurul Adlina, dia sering menerima permintaan daripada pengantin bertubuh besar. Ada yang inginkan rekaan peplum yang sebenarnya kurang sesuai kerana ia membuatkan tubuh tampak lebih besar. Sebagai jururunding dia akan menasihati mereka membuat pilihan yang tepat dan sesuai mengikut bentuk badan.


PUTIH menyerlah menerusi potongan kembang bawah menggunakan fabrik net.

“Apa yang penting padanan dipakai perlu menutup aurat dan memudahkan pergerakan,” katanya yang membuka butik di Negeri Sembilan.

Menggunakan beberapa jenis songket dari Terengganu dan India dengan beberapa motif seperti bunga tabur serta bunga penuh, dia menampilkan beberapa rekaan seperti baju kurung moden, kurung tradisional, gaun kontemporari dan potongan peplum.

Kesemua rekaan songket ini boleh dibeli, disewa mahupun ditempah. Bagaimanapun jika inginkan keselesaan dan baju mengikut potongan tubuh atau ingin mengubah sedikit rekaan, eloklah ditempah. Harga pakej untuk pengantin bermula pada harga serendah RM2,000. Selain busana, Nurin Wedding turut menyediakan perkhidmatan pelamin, solekan, katering dan juga kelengkapan acara berendoi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 9:31 AM