SIDDIQ membesar dengan sihat.
MULA minum susu menerusi botol pada usia 4 bulan.
SIDDIQ selepas dilahirkan dengan berat 670g.
Siti Zarinah Sahib

Melihat bayi kecil seberat 670 gram (g) yang sepanjang botol mineral 500 mililiter, tiada siapa menyangka bayi istimewa ini mampu bertahan dan kini membesar dengan sihat sama seperti kanak-kanak seusia. Malah selepas dilahirkan, doktor sendiri tidak memberikan jaminan dan meminta ibunya, Noorahiza Azami bersabar dan sentiasa berdoa agar Allah memberikan keajaiban.

Kali pertama melihat Muhammad Siddiq yang diletakkan di dalam inkubator Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selepas tiga hari bersalin, hati keibuannya cukup tersentuh. Mana tidaknya, dengan tubuh berselirat wayar, dicucuk tangan dan kaki sememangnya ia meruntun kesayuan.

Bagaikan tidak percaya dia adalah bayi yang dikandung selama 22 minggu. Namun ibu tiga cahaya mata ini perlu kuat bagi memastikan Siddiq juga kuat meneruskan perjuangan untuk hidup.

“Kali pertama melihat Siddiq tiada air mata yang mengalir. Saya terpegun melihat keagungan Ilahi yang memberikan peluang untuk merasai nikmat melahirkan anak kali ini walaupun bayi tidak cukup bulan.

“Saya cukup bersyukur kerana Siddiq boleh bernafas dan berpeluang menjengah dunia walaupun ketika itu saya tidak pasti sepanjang mana hayatnya. Apa yang saya fikirkan untuk terus melihat Siddiq kuat dan membesar seperti bayi lain, walaupun ada kala saya berasakan harapan itu sangat tipis,” kata Noorahiza.

Walaupun langsung tidak menitiskan air mata, ujar wanita ini, emosinya cukup terganggu tatkala melihat bayi pramatang lain sedang bertarung nyawa. Di sebelahnya ada si kecil dengan berat 650g meninggal dunia selepas dua minggu dilahirkan. Ada pula bayi yang dilahirkan pada usia enam dan tujuh bulan mengalami pelbagai komplikasi, malah ramai ibu yang datang menangis setiap kali melihat anak mereka.

“Memang inilah situasi yang saya lalui setiap hari. Saya hanya memandang dan memahami perasaan mereka. Namun mungkin yang membezakannya adalah semangat dan kekuatan. Doktor sendiri berkali-kali berpesan agar saya tidak menangis di hadapan bayi kerana si kecil memahami naluri si ibu. Mujur saya seorang yang periang dan gemar ketawa. Mungkin perwatakan ini menyebabkan saya tidak menunjukkan kesedihan ini di hadapan sesiapa termasuk keluarga sendiri.

“Tipu jika saya tidak sedih. Namun kesedihan saya lebih kepada ketidaksanggupan melihat kepayahan dan kesakitan yang dilalui Siddiq. Saya sedar dia sedang bertarung nyawa untuk hidup. Saya mahu dia kuat dan terus kuat, itu saja yang saya katakan setiap kali bertemu Siddiq,” katanya.

Siddiq yang dilahirkan pada 8 September 2015, sepatutnya menjalani kelahiran secara pembedahan apabila kandungan memasuki 37 minggu iaitu 31 Disember 2015. Namun disebabkan komplikasi pendarahan sejak kandungan berusia tiga bulan doktor meminta Noorahiza bersedia untuk bersalin awal. Dua cahaya mata lelaki sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah dan dilahirkan dalam tempoh matang.

“Saya akui kandungan ketiga sedikit bermasalah. Sejak disahkan mengandung saya kerap mengalami pendarahan. Namun janin membesar dengan sempurna, sehinggalah pada minggu ke-22 berlaku pendarahan yang banyak diikuti kontraksi bersalin. Saya langsung tidak menyangka akan bersalin seawal itu,” katanya.

HOSPITAL RUMAH KEDUA

Selepas dilahirkan Siddiq ditempatkan di dalam NICU dan perlu bernafas menggunakan mesin oksigen kerana paru-parunya masih belum matang. Susu ibu juga diberi menggunakan tiub khas bergantung pada keperluan bayi. Siddiq tidak boleh minum susu formula bagi memastikan tumbesarannya dan mengurangkan jaundis.

Sama seperti bayi pramatang lain, Siddiq perlu menjalani pelbagai pemeriksaan seperti paru-paru, jantung dan penglihatan bagi memastikan matanya dapat berfungsi dengan baik selain diberi darah tambahan.

“Saya sedih apabila doktor memberitahu kemungkinan Siddiq mengalami kecacatan mata atau tidak boleh melihat. Saya terfikir bagaimana masa depan anak kecil ini sekiranya dia buta. Memang pelbagai persoalan bermain di fikiran. Sukar untuk saya menerima kenyataan.

“Tetapi saya berfikiran positif dan menganggap ia hanya jangkaan doktor. Tidak semestinya ia tepat, kerana Allah yang lebih berkuasa dan menentukan semuanya. Pada saat itu saya lebih insaf dan banyakkan berdoa kepada Allah selebihnya saya bertawakal.

“Alhamdulillah selepas pemeriksaan mata kali kedua, doktor memberitahu saraf matanya kembali normal dan penglihatannya pulih seperti bayi normal yang lain. Sekali lagi saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang sentiasa mendengar doa saya,” katanya.

Jelas Noorahiza, memiliki bayi pramatang memerlukan kekuatan dan semangat tinggi yang bukan saja untuk diri tetapi bayi yang dilahirkan. Sejak dibenarkan pulang ke rumah pada hari keenam, bermulalah rutin kehidupan baru apabila hospital menjadi rumah kedua mereka. Selain berpantang dia juga perlu mengepam susu mengikut waktunya. Tidak dapat menyusukan Siddiq sejak hari pertama turut memberikan kesan kepada Noorahiza kerana susu tidak mahu keluar.

“Puas saya mengepam namun jumlah diperoleh sangat sedikit. Akibatnya saya tertekan sendiri. Saya teruskan juga mengepam sehingga akhirnya mampu menghasilkan susu secara konsisten. Setiap pagi, tengah hari, petang dan malam susu perlu dihantar ke hospital.

“Hanya pada waktu pagi saya berada bersama Siddiq untuk memberikan kata-kata semangat, menyapu minyak zaitun ke seluruh badannya, menyentuh dan membelai kulitnya serta berbual-bual dengannya,” katanya yang bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami dan bersama-sama membantu menguruskan penjagaan anak di rumah.

Selain suami, Noorahiza turut mendapat bantuan ibu dan adik untuk menguruskan dua anak di rumah sekiranya dia serta suami perlu ke hospital.

Percaya kepada setiap yang dilalui pasti ada hikmah tersembunyi, berkat kesabaran dan semangat yang ditunjukkan Noorahiza, Siddiq menunjukkan perkembangan positif. Berat badan semakin bertambah setiap minggu. Begitu juga dengan otot dan organ yang semakin sempurna.

Doktor juga memberitahu Siddiq antara bayi yang hebat dan kuat kerana mampu membesar dengan sihat lagi sempurna.

Hanya selepas berat badan meningkat 1.9kg Siddiq ditempatkan di wad penjagaan rapi kanak-kanak. Ketika inilah setiap pagi Noorahiza perlu datang ke hospital untuk mempelajari penjagaan bayi pramatang agar dapat menguruskan sendiri di rumah. Antaranya memberikan susu menerusi botol, memandikan dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya bayi berhenti bernafas.

“Saya perlu belajar semua perkara ini, selama tiga bulan Siddiq dijaga rapi doktor dan jururawat, sudah tiba masanya saya menjaga sendiri di rumah. Memang mulanya agak kekok kerana walaupun ketika keluar beratnya sudah meningkat 2.2kg namun tubuhnya masih lembut.

“Perkara pertama yang saya lakukan sebelum membawa pulang Siddiq adalah memastikan rumah berada dalam keadaan bersih dan mempunyai pengudaraan yang baik. Ini kerana bayi pramatang sangat sensitif kepada habuk yang boleh menyebabkan dia dijangkiti demam atau selesema,” katanya.

Ujar Noorahiza, sebagai ibu dia perlu memberikan perhatian setiap saat kepada Siddiq. Sehinggakan tidurnya juga tidak nyenyak kerana bimbang keadaan Siddiq yang mungkin tersedak, sawan atau berhenti bernafas. Dia juga mempraktikkan apa yang dipelajari di hospital apabila Siddiq tersedak susu sehingga kebiruan dan berhenti bernafas.

“Latihan kecemasan di rumah sangat membantu untuk menangani sebarang komplikasi yang berlaku ke atas Siddiq. Alhamdulillah setakat ini saya dapat melaluinya dengan tenang. Selesema, batuk berkahak dan demam perkara biasa dan setiap kali apabila Siddiq tidak sihat saya akan ke hospital mendapatkan rawatan,” katanya.

Kini anaknya sudah berusia dua tahun tiga bulan dan membesar dengan sihat. Walaupun perkembangannya tidak sama seperti bayi seusia dari segi kebolehan berjalan, Noorahiza tidak pernah membandingkannya dengan anak yang lain.

“Saya cukup bersyukur atas semua pemberian Allah. Walaupun Siddiq lambat berjalan, dia membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain. Tiada apa yang perlu dibimbangkan cuma dia masih menjalani rutin pemeriksaan di hospital dan pemeriksaan mata setiap dua minggu sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 12:57 PM