SUASANA mesra ketika sesi penyerahan sumbangan.
SUASANA mesra ketika sesi penyerahan sumbangan.
MEMBAIKI laluan untuk kenderaan pacuan empat roda.
MEMBAIKI laluan untuk kenderaan pacuan empat roda.
HM Digital

Perlu menempuh jalan tidak bertar sejauh 150 kilometer membabitkan laluan dipanggil ‘Route O’ menuju ke destinasi perkampungan komuniti Orang Asli Temiar menjadi rutin setiap hujung tahun buat aktivis Yayasan Al-Khalifah (YAK), Azhar Mohamed.

Menyifatkan misi bantuan dinamakan Monsoon Trail iaitu aktiviti konvoi bersama sukarelawan menempuh perjalanan dari Kuala Betis, Pos Hau, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Bihai dan kembali ke Kuala Betis membabitkan perjalanan satu pusingan besar, siapa sangka perjalanan itu memerlukan empat hari untuk menjayakannya.

Menurut Azhar, program itu memerlukan komitmen besar, apatah lagi YAK selaku penganjur menyifatkan laluan berkenaan cukup sukar. Laluan boleh bertukar kepada trek yang hampir mustahil dilepasi kenderaan apabila tanah merah menjadi lumpur selain arus air sungai deras.

“Bagi YAK dan 75 rakan pacuan empat roda yang saban tahun menyertai misi Monsoon Trail sejak 2012 lagi, sudah menjadi resam sukarelawan bersalut dengan lumpur. Adegan tarik-menarik selain kereta terdampar senario biasa buat kami sepanjang menjalankan misi kemanusiaan.

“Tetapi terdapat juga kebimbangan terutama kemungkinan menghadapi cuaca tidak menentu berdasarkan ramalan Jabatan Kaji Cuaca mengenai Kelantan berdepan tempias Taufan Kai selain monsun iaitu hujan sepanjang hari membuatkan kami mengambil pendekatan berhati-hati.

“Sokongan diterima daripada puluhan kelab pacuan empat roda dan NGO membuatkan YAK meneruskan perjalanan seperti dijadualkan dan boleh dikatakan hampir semua kawasan dirancang menerima bantuan berjaya diakses sukarelawan.

“Dalam misi ini, 400 kit bantuan musim tengkujuh berjaya diagihkan membabitkan keperluan makanan antaranya beras, gula, tepung, minyak dan keperluan ubat-ubatan bagi menghadapi musim tengkujuh.

“Biasanya ketika musim ini penduduk yang tinggal di hulu pedalaman seperti Pos Balar atau Pos Belatim terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan. Apa yang membimbangkan YAK ialah kanak-kanak serta warga emas masyarakat Orang Asli berdepan cuaca sejuk tanpa keperluan atas.

“Atas sebab itu, setiap tahun YAK mengumpulkan bantuan khas untuk lebih 400 keluarga masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman Gua Musang.

“Selain bantuan makanan, YAK turut dibantu NGO lain seperti sumbangan baju dan perubatan daripada Respond and Relief Team (IMARET ) diketuai Dr Ahmad Yusuf Yahaya yang melakukan pemeriksaan kesihatan percuma untuk penduduk.

“Kami mengalu-alukan sumbangan baik barangan seperti keperluan harian, lampu solar, buku dan paling penting kewangan bagi membantu kelangsungan sukarelawan hakiki terus menempuh belantara demi tanggungjawab amal dan kemanusiaan,” katanya. - Nurul Husna Mahmud

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 11:16 AM
Digital NSTP Subscribe