PANGGILAN video antara pesakit dan doktor secara privasi.
PANGGILAN video antara pesakit dan doktor secara privasi.
KUMPULAN yang membangunkan doctoroncall.com.my terdiri daripada doktor dan kakitangan.
KUMPULAN yang membangunkan doctoroncall.com.my terdiri daripada doktor dan kakitangan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Dunia serba canggih menjadikan segala urusan begitu mudah di hujung jari, sekali gus memberi kelebihan buat generasi masa kini untuk melakukan tugas seharian.

Perkembangan pesat teknologi juga menjadikan urusan berkaitan perubatan tidak terkecuali melalui revolusi ini dan memudahkan masyarakat untuk berhubung dengan pakar perubatan menerusi perkhidmatan teleperubatan.

Di Amerika Syarikat, 1.25 juta panggilan didokumentasikan pada 2015 dan permintaan untuk perkhidmatan teleperubatan dijangka meningkat dengan mendadak kepada 27 juta panggilan pada 2018.

DoctorOnCall.com.my antara platform telekesihatan dalam talian pertama di negara ini yang menghubungkan pesakit dengan rangkaian doktor dan pengamal perubatan yang luas melalui kemudahan panggilan audio atau video.

Ditubuhkan pada 2016, DoctorOnCall.com.my adalah talian perkhidmatan perundingan perubatan berpusat di Malaysia yang menghubungkan pesakit dengan doktor dan pengamal perubatan di seluruh negara yang diiktiraf dan berpengalaman.

Menerajui usaha mereka dalam menjadikan rawatan perubatan yang mampu milik dan mudah, DoctorOnCall.com.my berazam untuk meningkatkan sektor teleperubatan di Malaysia.

Pengasas bersama platform itu, Hazwan Najib dan Maran Virumandi berkata, bagi mendahului permintaan teleperubatan di Malaysia, ia menyediakan pesakit dengan akses kepada penjagaan kesihatan bukan kecemasan pada bila-bila masa dan di mana saja terutamanya dari segi keselesaan di rumah mereka sendiri.

Menurutnya, dengan rekaan yang mudah dan laman web mesra pengguna, pesakit boleh mendapat perkhidmatan yang berkualiti, ketersediaan tinggi dan masa menunggu minimum hanya lima hingga tujuh minit.

Ia juga katanya, mempunyai integrasi pembayaran yang selamat dan diterima oleh semua bank utama dan kad kredit.

“Privasi dalam rawatan perubatan adalah penting kepada kami. Dalam privasi rumah mereka sendiri, pesakit boleh menimbulkan persoalan mengenai kesihatan seksual, gangguan haid, mati pucuk, penyakit kelamin (STD) dan HIV.

“Sebagai contoh, seorang pesakit lelaki boleh membincangkan mengenai STD atau HIV dengan doktor kesihatan seksual lelaki melalui panggilan audio.

“Platform ini juga menyediakan kemudahan untuk memuat naik laporan perubatan atau gambar simptom yang dialami seperti ruam dan kecederaan untuk doktor mereka,” katanya.

Menurutnya, kebolehcapaian perubatan adalah objektif utama bagi perkhidmatan itu dan platform ini memenuhi keperluan untuk teleperubatan di bandar jauh dan negeri yang kurang mempunyai liputan perubatan di Malaysia.

Katanya, dengan kemudahan atas talian, pesakit boleh mendapatkan pendapat kedua mengenai pelbagai perkara yang membabitkan kesihatan dan perubatan.

DoctorOnCall.com.my juga menjadi langkah untuk menjadi farmasi atas talian berpreskripsi pertama di Malaysia.

Majoriti talian farmasi di Malaysia tidak dapat membekalkan maklumat untuk ubat-ubatan berpreskripsi kerana tiada kelulusan daripada doktor. Rangkaian doktor dan katalog perubatan yang komprehensif adalah asas kepada platform itu.

Hazwan berkata, farmasi dalam talian juga menawarkan penghantaran untuk pelbagai jenis ubat dengan masa penghantaran hanya mengambil empat ke enam jam bagi kawasan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang dan sehari sehingga dua hari untuk tempat lain di Malaysia.

“Untuk mengekalkan standard penjagaan perubatan yang tinggi, perkhidmatan ini membentuk kerjasama dengan institusi perubatan tersohor dan rangkaian farmasi.

“Setiap doktor juga sudah disemak untuk kriteria pensijilan, pengalaman dan kepakaran sebelum menyertai DoctorOnCall.com.my.

“Pada masa akan datang, pesakit juga boleh memperoleh rangkaian doktor pakar yang lebih luas dalam platform. DoctorOnCall.com.my juga menjalin bekerjasama dengan Farmasi AA untuk mendapatkan kerjasama dengan pembekal perubatan ekonomikal dan rangkaian lain di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:26 PM