BENJOLAN payudara yang dikesan menerusi imbasan ultra bunyi.
Intan Mas Ayu Shahimi

Wanita begitu sensitif setiap kali berbicara mengenai benjolan pada payudara. Mungkin kerana terlalu takut kepada risiko kanser, ramai wanita mengambil jalan tengah, berdiam diri sekiranya mendapati keganjilan atau perubahan kecil pada payudara.

Ada juga wanita yang lebih cenderung membuat telahan sendiri dengan menganggap benjolan kecil yang timbul sebagai kelenjar susu, tambahan jika masih menyusukan bayi.

Sebenarnya, wanita mempunyai banyak pilihan untuk tidak terus terikat dengan perasaan bimbang dan cemas. Menjalani ujian imbasan ultrabunyi payudara umpamanya, prosedur ini tidak rumit, malah menggunakan prinsip serupa seperti pemeriksaan bayi dalam perut.

Menurut sonografer berpengalaman di Klinik Pakar Wanita Azalea, Nur Marni Ahmad, wanita tidak seharusnya takut menjalani pemeriksaan payudara kerana imbasan ultrabunyi tidak membabitkan radiasi dan selamat untuk semua peringkat usia.

“Ada tiga tujuan utama pemeriksaan ultrabunyi payudara perlu dilakukan. Pertama untuk mengenal pasti jenis benjolan atau ketulan tisu payudara. Oleh kerana prosedur yang mudah dan cepat, ultrabunyi digunakan sebagai ujian pengesanan awal sekiranya terdapat keganjilan ketika pemeriksaan fizikal oleh doktor atau pemeriksaan sendiri di rumah. Antara keganjilan yang biasanya memerlukan pemeriksaan ultrabunyi jika terdapat ketulan payudara atau cairan keluar daripada puting susu.

“Kedua, tujuannya untuk pengesanan barah payudara. Sekalipun mamogram masih dianggap teknik pengimejan utama dalam rutin mengesan barah payudara, namun ia menggunakan prinsip radiasi ion dan tidak digalakkan untuk wanita di bawah usia 40 tahun, terutama mereka yang berisiko tinggi. Tambahan wanita di bawah umur 40 tahun juga terdedah kepada risiko barah payudara, jadi imbasan ultrabunyi lebih banyak menjadi pilihan.

“Selain itu, imbasan ini juga digunakan ketika prosedur biopsi. Sekiranya ketulan atau benjolan yang ditemui dalam imbasan ultrabunyi meragukan, doktor akan menjalankan biopsi dengan bantuan imbasan ini. Biopsi adalah prosedur mengambil sedikit tisu benjolan untuk dihantar ke makmal. Sampel berkenaan akan dikaji sama ada mengandungi sel kanser atau tidak,” katanya.

Jelas Nur Marni, imbasan ultra bunyi payudara hampir sama dengan imbasan bayi dalam kandungan, tetapi menggunakan transducer berfrekuensi lebih tinggi.

“Pemeriksaan ini tidak memerlukan wanita membuat sebarang persediaan tertentu. Sebaik-baiknya hadir dengan pakaian yang ringkas dan selesa kerana mereka akan diminta menanggalkan pakaian dan menyarung gaun pemeriksaan.

“Sesetengah klinik atau hospital akan meminta supaya menanggalkan barang kemas. Namun pemakaian perhiasan tidak akan menjejaskan keputusan imbasan ultrabunyi. Selepas menukar gaun, anda akan diminta berbaring secara telentang. Sonografer akan mula menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap tisu payudara.

“Sebaik saja gel diletak, transducer akan dilalukan di keseluruhan permukaan payudara termasuk ketiak. Songrafer akan memerhatikan komposisi tisu payudara dalam skrin ultrabunyi. Sekiranya tumor dapat dikesan, klasifikasi tumor akan dilakukan untuk menentukan rawatan susulan dan sebagainya,” katanya.

Tambah Nur Marni, imej yang diperoleh sepanjang pemeriksaan ultrabunyi akan disemak oleh pakar radiologi atau doktor bertauliah. Keputusan itu kemudian akan diterangkan bersama laporan bertulis untuk rekod.

“Perlu difahami bahawa tidak semua jenis tumor dapat dikesan melalui pemeriksaan sendiri di rumah, terutamanya jika ia kecil atau terletak di lapisan payudara dalam.

“Bahkan, ramai wanita mengalami situasi ini tanpa mengetahuinya. Inilah antara sebab wanita digalakkan menjalani pemeriksaan rutin berdasarkan faktor risiko.

“Antara kelompok wanita yang kita galakkan termasuk mereka yang memiliki benjolan di kawasan payudara atau di bawah ketiak, keluar lendir daripada puting payudara sama ada jernih, nanah atau darah, bentuk payudara yang tidak sekata (tertarik ke satu bahagian atau salah satu payudara bertambah saiznya dalam tempoh yang singkat), puting tiba-tiba tenggelam, rasa bengkak yang berlarutan, tompokan warna kulit berbeza yang baru terbentuk, mempunyai sejarah keluarga menghidap barah payudara dan semua wanita berumur 40 tahun ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 12:44 PM