ERIC (tengah) dan Gunn Jorid (empat dari kanan) bersama pemenang hadiah percutian.
HM Digital

Tindakan pengurus projek, Zul Ilmi Talibin, 45, yang memakai pendakap gigi menggunakan berus khas Jordan untuk membersihkan bahagian oralnya membuahkan hasil apabila memenangi tempat pertama percutian bernilai RM28,000 dalam peraduan sempena ulang tahun ke-180 jenama berkenaan, baru-baru ini.

Zul Ilmi berkata, sejak memakai pendakap gigi beliau berdepan masalah apabila makanan mudah terlekat pada alat terbabit, manakala gusi pula mudah berdarah jika kebersihan mulut tidak diberi lebih perhatian.

“Berus gigi biasa tidak sesuai untuk membersihkan gigi bersama pendakap. Saya pernah mencuba pelbagai jenis berus gigi, tetapi hasilnya bukan saja tidak memuaskan malah menyakitkan.

“Sehingga saya terjumpa berus gigi khas untuk pek kembara Jordan dan mendapati ia sesuai untuk mencuci gigi bersama pendakap.

“Kebetulan pembelian berkenaan disertakan borang peraduan dengan tawaran hadiah percutian dan tanpa berfikir panjang saya terus menyertainya,” katanya dalam majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Duta Norway Ke Malaysia yang baru, Gunn Jorid Roset.

Pengurus Jordan Asia Pacific (JAP) Malaysia, Thailand dan Taiwan, Eric Yong berkata, peraduan berkenaan yang dijalankan selama tiga bulan adalah langkah strategik bagi menghargai pelanggan di rantau Asia Tenggara.

“Peraduan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM180,000 termasuk percutian ke destinasi pilihan, manakala hadiah utama adalah percutian ke Norway iaitu tempat asal pengeluaran jenama ini.

“Ia dijalankan dalam talian dan menarik 2,000 penyertaan dari seluruh negara. Selain percutian, hadiah sagu hati berupa produk kami bernilai RM200 membabitkan 18 pemenang,” katanya.

Eric berkata, pihaknya turut menganjurkan program tanggungjawab sosial (CSR) membabitkan komuniti daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi kebaikan penjagaan gigi.

“Kami berusaha meningkatkan kesedaran dengan mendidik pelajar sekolah di negara ini mengenai kepentingan memupuk sifat penjagaan gigi yang baik.

“Setakat ini, jenama berkenaan mendidik 47,000 pelajar sekolah rendah termasuk komuniti Orang Asli dan menyumbang 60,000 berus gigi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:25 AM