SAMPAH yang mencemarkan sungai dikutip supaya bekalan air bersih terjamin.
AHLI persatuan bergotong-royong membersihkan kawasan sungai bersama penduduk kampung.
HM Digital

Masyarakat perlu menyedari sungai adalah khazanah alam yang perlu dipelihara supaya fungsinya dalam kehidupan seharian sentiasa berkekalan. Sungai yang turut menjadi antara punca utama sumber air mestilah diuruskan dengan baik dan melindunginya daripada segala bentuk pencemaran.

Selain itu, pencemaran dan kekurangan sumber air dari sungai akan meningkatkan kos rawatan dan bekalan yang boleh membebankan pengguna. Malah, sungai yang kotor dan tidak terurus juga memberikan imej negatif kepada kepemimpinan sesuatu tempat.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penjagaan dan pengurusan sumber air yang baik, Water Heroes Society tampil menyumbang kepada masyarakat dengan penganjuran program membersihkan sungai ‘River Rehab 2018’ di Kampung Sungai Mahang, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Water Heroes Society adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai 25 pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Graduate School of Business (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai objektif memberikan akses infrastruktur air bersih dan mendidik masyarakat mengenai kepentingan air bersih.

Presidennya, Muhammad Zulkarnain Shaharudin berkata, kesedaran penduduk negara kita terhadap penjagaan sumber air seperti sungai ketika ini amat membimbangkan berikutan pelbagai kegiatan yang mencemarkan kualiti air sungai dilakukan oleh masyarakat sendiri.

“Walaupun banyak kegiatan manusia bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan kualiti air sungai, sumbangan besar sungai jarang dihargai.

“Antara kegiatan yang dikenal pasti mencemarkan kualiti air sungai adalah pertanian, penternakan dan perindustrian yang sewenang-wenangnya melepaskan sisa kumbahan dan bahan domestik ke dalam sungai,” katanya.

Katanya, masyarakat wajar menyedari sebagai sumber air yang sangat bermanfaat, sungai juga boleh digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan.

“Air sungai mampu memenuhi keperluan harian sebagai bekalan air minum, masak, mandi dan mencuci. Oleh itu, usaha menjaga sumber air seumpama ini sudah tentunya dapat meningkatkan taraf kehidupan yang sejahtera dan pada masa sama mengelakkan pencemaran dan penyakit.

“Program ini bertujuan memastikan sungai bebas daripada sampah-sarap yang menyumbang pencemaran air. Malah, aktiviti gotong-royong juga diadakan dengan harapan ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai pentingnya menjaga kebersihan sungai kita,” katanya.

Program sehari itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan II Senator Datuk Chong Sin Woon. Selain membersihkan sungai, acara dilanjutkan dengan gotong-royong membersihkan dan memasang penapis air di surau Kampung Sungai Mahang, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pembukaan perpustakaan mini di balai raya kampung berkenaan. -Zaitie Satibi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:32 AM