MAJLIS pelancaran Pink InspirerS, baru-baru ini.
Siti Nadirah Hafidzin

Pfizer Malaysia bersama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) melancarkan Pink InspirerS yang juga kumpulan sokongan pimpinan pesakit yang pertama di Malaysia bertumpu kepada Kanser Payudara Metastatik (mBC), baru-baru ini.

Pink InspirerS bermatlamat untuk mengembalikan semangat semua wanita yang menghidap mBC di Malaysia supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dalam menentang kanser.

Kanser Payudara Metastatik (mBC) atau juga disebut kanser payudara lanjut, berlaku apabila kanser payudara merebak ke bahagian badan yang lain.

Kajian menunjukkan pesakit mBC mudah berasa tersisih, keseorangan, murung, terabai dan kurang diwakili dalam komuniti kanser payudara yang lebih umum.

Tekanan psikologi akibat rawatan seumur hidup dan beban kewangan tidak hanya dirasai pesakit itu sendiri, tetapi juga penjaga dan keluarga, terutama yang baru didiagnosis dan memerlukan perhatian khas serta rangkaian sokongan yang kukuh untuk menghadapi penyakit ini.

Pengasas Pink InspirerS Chang Chu San berkata, pihaknya sentiasa memerlukan sokongan dan galakan kerana perlu kerap menjalani rawatan.

“Malangnya, masyarakat kini ramai yang kurang bersimpati dan memahami perjuangan dan keperluan pesakit mBC.

“Pink InspirerS bermatlamat menjadi ‘suara’ yang membawa harapan kepada semua wanita yang menghidap kanser payudara lanjut. Kami saling memberikan sokongan dengan cara berkongsi pengalaman dan memberi semangat antara satu sama lain.

“Kami juga mahu mendidik orang ramai mengenai penyakit ini dan mengingatkan pesakit bahawa mereka tetap boleh menjalani kehidupan yang memuaskan dan bermakna dengan adanya penjagaan lebih baik, rawatan lebih berkesan dan sokongan kukuh keluarga,” katanya.

Sebagai salah satu inisiatif penting bagi tahun ini, Pink InspirerS akan melancarkan program capaian seluruh negara untuk mendampingi pesakit mBC dan mereka yang baru didiagnosis menghidapnya supaya dapat memberikan latihan sokongan kepada rakan seperjuangan dan kemahiran asas mengenai cara menghadapi perjalanan menentang kanser.

Antara perkara yang diutamakan ialah perhubungan yang lebih baik antara doktor dengan pesakit, latihan psikososial, cara menangani hal kewangan dan pekerjaan.

Pelancaran Pink Inspirers oleh BCWA sebagai pelantar interaktif yang menghubungkan dan menyokong wanita yang menghidap mBC di Malaysia adalah sebahagian daripada inisiatif Pfizer dalam membantu komuniti setempat.

Pfizer baru sahaja melancarkan buku panduan menyeluruh bertajuk Your Journey Starts Here: Living with Metastatic Breast Cancer (Perjalanan Anda Bermula Di Sini: Kehidupan Sebagai Penghidap Kanser Payudara Metastatik) yang disusun untuk membantu pesakit mBC.

Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan Dan Nilai, Pfizer Malaysia, Noor Yang Azwar Kamarudin menegaskan ada keperluan yang mendesak untuk merapatkan jurang yang begitu nyata dari segi sokongan, kesedaran dan dasar awam antara mBC dengan kanser payudara peringkat awal.

“Kami percaya wanita yang menghidap kanser payudara metastatik amat penting untuk diberi sokongan pendidikan, emosi dan psikososial apabila mereka melalui perjalanan menentang penyakit ini.

“Paling penting, jangan biarkan mereka berasa keseorangan dalam perjuangan ini. Disebabkan kesan menangani mBC yang begitu perit, ramai wanita terpaksa mengorbankan kerjaya dan masa kerja, malah ada yang tidak lagi berdaya untuk menjaga keluarga masing-masing,” katanya.

Sempena acara pelancaran rasmi itu, Pfizer Malaysia menghadiahkan bantuan kewangan RM60,000 untuk membantu Pink InspirerS menubuhkan kumpulan sokongan dan melancarkan program capaian di seluruh negara ini.

Maklumat lanjut mengenai Pink InspirerS, sila layari www.facebook.com/pg/AdvancedBreastCancer/.


PFIZER Malaysia menghadiahkan bantuan kewangan RM60,000 untuk membantu Pink InspirerS menubuhkan kumpulan sokongan dan melancarkan program.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 12:51 PM