PERHATIAN diberikan ibu bapa mampu cegah masalah sosial remaja.
PERHATIAN diberikan ibu bapa mampu cegah masalah sosial remaja.
Siti Nadirah Hafidzin

Pelbagai masalah sosial membabitkan remaja membimbangkan banyak pihak. Ada yang sering pulang lewat malam, berpeleseran di pusat beli-belah sehinggakan ada yang langsung tidak pulang ke rumah.

Sepanjang 2017 saja, terdapat banyak kes pembuangan bayi berlaku di negara ini dipercayai angkara remaja yang terlanjur bersama kekasih hati.

Walaupun pada usia masih belasan tahun dan bersekolah, senario itu kini dilihat bukan asing jika dibandingkan 10 hingga 15 tahun lalu apabila remaja lebih banyak menghabiskan masa di rumah atau mengikut ibu bapa ke mana saja ketika hujung minggu atau cuti sekolah.

Lebih membimbangkan apabila ramai remaja kini yang terdedah dengan pelbagai pengaruh luar menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang amat terbuka.

Kesibukan ibu bapa yang terikat dengan tuntutan tugas di pejabat mengeruhkan lagi keadaan menyebabkan remaja kini semakin liar dan sukar dikawal.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia, Ko Teik Yen berkata, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai masa mencukupi dalam mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

Menurut Ko, faktor kesibukan dalam menguruskan anak di samping tuntutan tugas di pejabat menjadikan kebanyakan ibu bapa sering mengabaikan diri sendiri serta individu di sekelilingnya.

BERI perhatian sepatutnya kepada anak.
BERI perhatian sepatutnya kepada anak.

“Anak memerlukan pendekatan berbeza mengikut peringkat usianya terutama ketika mereka meningkat dewasa. Waktu remaja antara waktu yang paling mencabar dan disebabkan itu remaja memerlukan pendamping yang sesuai.

“Sifat keterbukaan dalam mendidik anak bukan sesuatu yang salah namun ia boleh mengakibatkan pelbagai impak negatif sekiranya dilakukan dengan kaedah yang salah.

“Jadi rakan terbaik, dengar segala rungutan dan masalah emosi anak bagi memastikan mereka cenderung memilih ibu bapa sebagai rakan baik berbanding individu lain,” katanya kepada Hati, baru-baru ini.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu mengawal penggunaan Internet yang semakin berleluasa kerana ia antara medium yang memberi pengaruh besar dalam kehidupan seharian.

Layan anak sebaiknya

Pada usia remaja, kebanyakan mereka mudah tertekan tanpa sebab kukuh menyebabkan golongan itu mudah memberontak.

Ko berkata, jangan sesekali melayan anak remaja dengan cara layanan seperti kebudak-budakan kerana ia memberi kesan kepada emosi dan pemikiran mereka.

“Jadi rakan paling karib kepada anak sehingga mereka sanggup berkongsi segala suka dan duka kehidupan mereka.

“Ia seterusnya memudahkan usaha membimbing anak remaja itu kerana mereka lebih mempercayai ibu bapa berbanding individu lain,” katanya.

IBU bapa perlu berenggang dengan telefon bimbit.
IBU bapa perlu berenggang dengan telefon bimbit.

Menurut Ko, langkah terpenting bagi ibu bapa sebaik saja pulang ke rumah adalah ketepikan gajet elektronik dan rakan sosial maya.

“Sebelum mengawal anak, ibu bapa terlebih dulu perlu menghentikan aktiviti melayan rakan maya hingga anak ketandusan perhatian dan kasih sayang.

“Bukan tidak boleh namun lebih penting untuk beri anak-anak perhatian diperlukan terutama pada waktu malam,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 2:02 AM