AZIZUL menghadiahkan sumbangan kepada tetamu.
HM Digital

Meraikan semangat kekeluargaan dan keriangan sempena Tahun Baru Cina, eCurve berkongsi kemeriahan bersama 20 warga emas yang juga penghuni Rumah Orang Tua Seri Setia menerusi Sizzling CNY Variety Show di pusat beli-belah berkenaan.

Pengurus Kompleks eCurve, Azizul Hisham Ahmad berkata, program bersama Rumah Orang Tua Seri Setia ini antara usaha dilaksanakan pengurusan eCurve untuk mendekati komuniti.

“Musim perayaan Tahun Baru Cina sentiasa mengingatkan kita mengenai masa berkualiti yang diluangkan bersama keluarga dan sahabat handai.

“Oleh itu, eCurve berbesar hati menerima dan meraikan kehadiran warga emas ini untuk bersama-sama menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk acara kemuncak, Sizzling CNY Variety Show.

“Persembahan ini memaparkan pelbagai aksi jalanan yang menarik termasuk tarian trion hip-hop oleh Straw-Hat, akrobatik gimnas serta pertunjukan wushu yang menggunakan pedang dan lembing sebagai senjata.

“Tidak terlalu serius dalam menghiburkan tetamu, persembahan ini turut diselitkan elemen komedi yang pastinya membuatkan warga emas ini tersenyum gembira,” katanya.

Sebelum menjamu hidangan makan tengah hari dan dihadiahkan sumbangan, tetamu istimewa ini turut disajikan dengan pertunjukan tarian singa aktobatik yang memperlihatkan aksi berani.

Menariknya pengunjung boleh menyaksikan Sizzling CNY Variety Show pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang kempen Tahun Baru Cina di eCurve bermula 19 Januari hingga 18 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 10:23 AM