Siti Nadirah Hafidzin

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan dan atas sebab itu juga di dalam beg tangan bahkan di laci tempat kerja pasti ada bekas berisi alat solek.

Tidak kira individu itu seorang yang sering bersolek atau sebaliknya, yang pasti setiap orang mempunyai koleksi alat solek tersendiri atau setidak-tidaknya set asas seperti seperti bedak padat, gincu, pemerah pipi, celak dan bedak asas.

Lain orang lain caranya, ada yang yakin berdepan khalayak dengan wajah polos tanpa secalit solekan namun hampir kebanyakan wanita sudah terbiasa mengenakan solekan ringkas setiap kali keluar rumah.

Tidak kira apa juga pandangan dan jawapan, wanita dan kecantikan bak irama dan lagu. Oleh itu tidak hairan mengapa ramai antara wanita yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam menghadap cermin semata-mata untuk tampil menawan.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, perunding kecantikan Armanorziha Abdul Rahman berkata, solekan antara faktor yang boleh menaikkan semangat dan keyakinan diri wanita.

“Setiap individu ada pandangan tersendiri, namun bagi saya solekan ini antara perkara penting kepada wanita. Tidak perlu mengenakan solekan tebal kerana ia tidak sesuai untuk penampilan harian.

“Hanya dengan mengenakan solekan asas dan ringkas selain menjaga kulit wajah dan penampilan, ia sudah cukup untuk meningkatkan keyakinan diri terutama ketika bertemu orang ramai,” katanya.

ARMANORZIHA saran wanita mengenakan solekan ringkas setiap hari.

Armanorziha berkata, atas faktor itu juga, setiap wanita perlu tahu teknik solekan asas supaya solekan yang terhasil tidak kelihatan janggal atau keterlaluan.

“Terlalu banyak teknik solekan asas terutama di laman YouTube yang boleh dijadikan contoh namun seeloknya belajar daripada individu yang mahir.

“Tidak kira apa juga alasan, setiap wanita perlu tampil menawan dan manis dipandang kerana ia turut mempengaruhi pandangan orang lain terhadap diri kita,” katanya.

Penampilan wajah penting

Bagi pemilik spa, Ruzita Jamaluddin, solekan wajah memainkan peranan paling penting dalam menentukan penampilan keseluruhan seseorang.

“Setiap wanita perlu tahu betapa pentingnya solekan dalam kehidupan seharian kerana penampilan tanpa solekan itu umpama perkara yang tidak sempurna.

“Wajah kelihatan pucat dan tidak bermaya sekiranya tidak disolek. Bukan bermaksud perlu bersolek tebal, cukup sekadar mengenakan bedak asas dan bedak tabur, celak mata, sedikit pemerah pipi serta gincu,” katanya.

Tambah Ruzita, tidak ada gunanya menggayakan sepasang busana mewah yang cantik sekiranya wajah individu tidak dirias dengan baik.

RUZITA mahu semua wanita sentiasa jaga penampilan diri termasuk di rumah.

“Siapa kata solekan itu tidak penting, bukan saja di luar rumah namun wanita juga lebih perlu bersolek dan berhias di rumah untuk tatapan suami.

“Atas sebab itu, setiap wanita perlu sedar betapa pentingnya solekan dalam kehidupan. Jangan pula keterlaluan kerana solekan yang sarat dengan warna dan teknik ini hanya sesuai untuk majlis formal,” katanya.

Ruzita berkata, cerminkan imej yang baik dan menawan dengan penampilan manis supaya mudah didekati sesiapa saja terutama untuk urusan harian.

“Pastikan juga jenis alat solekan yang digunakan itu sesuai dengan diri kita terutama rona bedak asas, pemerah pipi dan gincu kerana sekiranya tersalah pilih, imej yang terhasil kelihatan teruk.

“Sesuaikan dengan diri dan lokasi yang ingin dikunjungi dan paling utama biar solekan yang digayakan itu membuatkan penampilan diri kelihatan manis dan menawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 7:44 AM