ROKAYAH positif anaknya Nuraliya akan pulih seperti sedia kala.
JIA Qing sentiasa ceria ditemani ibunya, Tim.
ZURAIDA setia menemani Nor Nisa menempuh penyakit dihidapinya.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Hati ibu mana tidak luluh melihat anak yang dulunya ceria dan aktif kini perlu meneruskan episod rawatan demi rawatan dek kanser yang menyerang tubuh kecil itu.

Namun, dalam kesedihan melihat anak yang dikandung selama sembilan itu kini menderita penyakit kronik, semangat perlu dikuatkan demi memastikan permata hati mereka turut bangkit melawan penyakit.

Tiga ibu tabah ini berkongsi pengalaman menjaga anak yang menderita kanser dan harapan mereka untuk melihat permata hati itu mampu bangkit dan meneruskan hidup seperti kanak-kanak lain.

Bagi Zuraida Osman, 44, tidak pernah disangka anak bongsunya, Nor Nisa Imanina Roslan, 11, yang aktif dalam sukan menderita leukemia myeloid kronik iaitu antara kanser darah yang kerap menyerang orang dewasa berusia 45 tahun ke atas.

Katanya, penurunan berat badan anak bongsu dari tiga beradik itu pada awalnya dianggap biasa memandangkan berlaku pada bulan puasa namun hatinya mula berasa tidak sedap.

“Nor Nisa mulanya mengalami demam yang tidak menentu, berat badan pula turun sehingga empat kilogram. Tapi, saya ingat ia perkara normal sebab masa itu kebetulan bulan puasa.

“Tapi, apabila demamnya berulang semula, saya rasa ada sesuatu tidak kena dengannya. Saya dan suami terus membawanya ke hospital.

“Bayangkan ketika umat Islam bergembira menyambut kedatangan Syawal tahun lalu, kami pula mendapat berita duka apabila doktor pakar mengesan bengkak berukuran 14 sentimeter (sm) pada bahagian limpa dan hati (8sm) sebelum disahkan kanser darah,” katanya yang tinggal di Sungai Petani, Kedah.

Akibat penyakitnya itu, Nor Nisa memerlukan pemindahan sum-sum tulang dan pembedahan berjaya dilakukan pada Januari lalu dengan kakaknya sendiri sebagai penderma.

Menurut Zuraida, mereka ditempatkan di Rumah Harapan Kanak-kanak oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) sementara menjalani rawatan susulan selepas pembedahan.

Katanya, meskipun dia pernah merasa sangat sedih dan tertekan selepas anaknya disahkan menghidap penyakit itu, dia bagaimanapun bersyukur kerana mendapatkan rawatan dan pengesanan lebih awal.

Selepas diagnosis Nor Nisa mula menjalani rawatan kemoterapi oral untuk mengecutkan bengkak di limpa selama enam bulan sebelum menjalani pembedahan transplan sum-sum tulang.

“Syukur kerana sum-sum tulang kakak Nor Nisa sepadan dengannya dan dia dengan rela hati mahu membantu adiknya supaya segera pulih dan sihat seperti sedia kala.

“Nor Nisa baru saja menjalani rawatan susulan, Alhamdulillah kini hasil transplan itu menunjukkan kesan positif dan berkembang baik. Nor Nisa anak yang kuat, dia sentiasa positif dan mahu segera sembuh, mungkin sebab itu juga dia semakin pulih,” katanya.

Menurut Zuraida, sebagai ibu yang menjaga anak sakit, paling penting adalah kekuatan mental dan emosi kerana ia turut memainkan peranan dalam proses penyembuhan mereka.

Katanya, tipu jika dia tidak menangis mengenang nasib anaknya namun sebagai orang Islam, dia percaya selain usaha, kebergantungan kepada Allah adalah paling utama dan tidak jemu berdoa supaya Nor Nisa segera sembuh.

“Sebagai ibu kita perlu kuat, walaupun hakikatnya hati saya luluh setiap kali melihat perubahan fizikal Nor Nisa. Daripada berkulit cerah kini bertukar gelap kesan rawatan kemoterapi, tapi saya selalu mengingatkannya bahawa ini semua demi memastikan dia cepat pulih.

“Cuma paling meruntun jiwa ketika memujuk Nor Nisa agar bersabar kerana keinginannya untuk ke sekolah begitu membuak-buak. Maklumlah, sebelum sakit ini dia ktif bersukan dan pencapaian akademiknya juga baik.

“Saya difahamkan bagi keadaan seperti Nor Nisa, biasanya pesakit diberi cuti sakit selama setahun, malah tidak boleh bercampur dengan orang lain kerana imun sistemnya amat rendah ketika ini.

“Alhamdulillah saya mendapat sokongan kuat daripada suami, keluarga dan kumpulan sokongan di sini. Di rumah ini pun kami sudah seperti keluarga dan banyak berkongsi kesedihan, suka dan duka bersama,” katanya.

Zuraida berkata, selepas pembedahan itu, Nor Nisa memerlukan penjagaan rapi dari segi makan minum dan pakaian yang semuanya perlu dipastikan bersih kerana tubuh pesakit terlalu sensitif, sekali gus mengubah 100 peratus gaya hidup mereka.

“Selain NCSM, kumpulan sokongan anak-anak kanser juga banyak membantu memberi sokongan moral. Saya tidak rasa keseorangan menguruskan anak sakit, saya juga banyak bertanya pengalaman ibu yang menjaga anak pesakit kanser sebelum ini,” katanya.

KETABAHAN ANAK PENGUAT SEMANGAT

Bagi Tim Kam Yoong, 52, menjaga anaknya, Lee Jia Qing, 12, yang menghidap kanser otak banyak mengajarnya menjadi seorang yang positif dan kuat semangat.

Mengimbas kembali saat pertama anaknya itu dikesan menghidap kanser, tidak terlintas dirinya mampu menjadi setabah itu, namun kekuatan yang ditunjukkan Jia Qing benar-benar mengembalikan semangatnya.

“Jia Qing anak yang sangat kuat, saya sering memberitahunya, kalau menghidap kanser kita tidak boleh sedih dan susah hati kerana ia akan menyebabkan penyakit lambat sembuh. Syukurlah, dia faham dan tabah melalui sesi rawatan.

“Dia tetap menunjukkan perwatakan yang ceria terutama pada hari dia berasa segar sedikit. Di sekolahnya, dia pelajar yang aktif dan pastinya keinginannya ke sekolah amat tinggi.

“Tambahan pula, dia rapat dengan abang kembarnya. Ada masa, dia mahu sangat ke sekolah, namun apakan daya keadaannya masih tidak mengizinkannya aktif seperti biasa.

“Semalam sesi rawatan radioterapi ke-30 dan terakhir buatnya. Lepas ini kami hanya ke sini untuk rawatan susulan, tetapi apapun semuanya bergantung kepada keadaannya,” katanya yang menetap di Ipoh, Perak.

Teng berkata, anaknya itu dikesan mengalami ketumbuhan dalam kepala pada November 2016 selepas menjalani ujian imbasan Imej Resonans Magnetik (MRI) namun masih pada peringkat awal.

Menurut Teng, Jia Qing sebelum itu sering mengadu sakit kepala. Namun disebabkan ketumbuhan itu makin membesar, ia menghimpit kelenjar tiriod hingga dia sukar bernafas.

September lalu, anaknya terpaksa menjalani pembedahan membuang kanser apabila doktor mendapati ketumbuhan berkenaan membesar dengan pantas tidak sampai setahun selepas dikesan.

“Pembedahan berjalan lancar dan dia perlu jalani beberapa siri rawatan radioterapi pula. Walaupun ada kalanya luluh hati saya melihat keadaannya, tapi saya tetap bersyukur melihat perkembangan positif Jia Qing hari demi hari.

“Apa yang penting adalah sokongan dari keluarga untuk melihat dia pulih. Selain itu, dia mungkin juga dilihat begitu kuat melawan penyakitnya kerana mempunyai kembar yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi dan menjadi sumber kekuatannya selama ini.

“Saya dan seisi keluarga sememangnya tidak sabar melihat dia sembuh dan dapat ke sekolah semula,” katanya.

Bagi Rokayah Sharaee, 38, dari Sungkai, Perak, menyifatkan ketumbuhan dalam kepala yang dihadapi anak keduanya, Nuraliya Najwa Mohd Azirin, 11, sebagai ujian yang harus ditempuhi dengan sabar.

Menurutnya, Nuraliya dikesan mengalami ketumbuhan pada Ogos tahun lalu dan perlu menjalani rawatan radioterapi. Mereka akan menginap di Rumah Harapan Kanak-kanak NCSM apabila diarahkan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Saya reda dengan dugaan ini, apa yang penting adalah sabar dan sentiasa mengikut apa yang disarankan doktor. Mereka lebih arif dan mahukan yang terbaik untuk setiap pesakit. Sebagai ibu, saya sentiasa positif dan tidak putus berdoa supaya Nuraliya kembali pulih seperti sedia kala dan aktif seperti kanak-kanak sebayanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 10:29 AM