VARIASI rekaan daripada ringkas sehinggalah elegan dan anggun.
HM Digital

Industri fesyen Muslimah di negara ini memperlihatkan perkembangan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga lahirnya ribuan butik menyediakan busana yang semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita Islam.

Pemakaian blaus atau fesyen Muslimah yang mengikut syariat tidak terhad buat wanita dewasa saja, malah semakin diminati kanak-kanak perempuan.

Butik kanak-kanak dalam talian Simply Georgeous mengambil peluang itu untuk terus mengembangkan penerokaan dalam industri fesyen kanak-kanak Muslimah.

Pengasasnya, Noraini Rahman berkata, jika ramai memilih untuk fokus terhadap fesyen wanita sebagai sumber perniagaan, dia berasakan fesyen Muslimah untuk kanak-kanak perempuan masih kurang menonjol.

“Saya bermula dengan menjual baju dewasa tetapi ramai ibu bapa yang bertanyakan mengenai baju untuk kanak-kanak. Dari situ saya terfikir untuk menghasilkan pakaian khas untuk si comel.

“Kami membuat kajian mengenai rekaan, permintaan pelanggan dan material kain. Berbekalkan ilmu pemasaran dalam talian yang saya peroleh ketika menjual pakaian dewasa sebelum ini, saya memulakan bisnes ini dengan membuat kedai dalam talian di media sosial,” katanya.

Koleksi pakaian butik itu juga dipastikan supaya patuh syariah, berkualiti tinggi, eksklusif, sesuai dan selesa dipakai kanak-kanak dengan harga berpatutan.

Di samping kanak-kanak boleh bebas bergaya, Noraini juga ingin pelanggan cilik mereka berasa gembira dan cantik apabila mengenakan pakaian menutup aurat, sekali gus mendidik kanak-kanak seawal usia untuk membiasakan diri dengan pakaian yang sopan dan mematuhi syariah.

Koleksi butik itu direka agar sesuai dipakai untuk apa jua majlis sama ada kasual, aktiviti sekolah, majlis perkahwinan yang formal mahupun makan malam istimewa.

“Kami mempunyai variasi rekaan daripada ringkas dan menarik sehinggalah elegan dan anggun untuk digayakan kanak-kanak pada bila-bila masa.

“Oleh kerana tumpuan rekaan kami adalah kanak-kanak, warna ceria, lembut dan comel dipilih sebagai tarikan utama,” katanya.

Dari segi pilihan material, antara yang menjadi kegemaran Noraini adalah kapas, creep dan lycra yang berkualiti tinggi untuk menghasilkan blaus selesa dan terletak cantik ketika digayakan di samping bagi menampakkan elemen kemewahan berbanding material lain.

Menurutnya, kelebihan memiliki anak gadis berusia lapan dan 10 tahun memudahkannya melakukan percubaan terhadap kesesuaian rekaan dan keselesaan untuk digayakan lebih-lebih lagi dalam cuaca panas di negara ini.

Dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM25 hingga RM59 untuk blaus dan RM59 hingga RM89 bagi set baju, Noraini komited untuk terus mengeluarkan koleksi pakaian kanak-kanak mampu milik. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 10:47 AM