SUASANA hijau di Kebun-Kebun Bangsar.
Nurul Husna Mahmud

Terletak di antara bangunan konkrit selain di bawah laluan tiang pencawang milik Tenaga Nasional Berhad membuatkan lokasi Kebun-Kebun Bangsar Kuala Lumpur tersorok dan tidak ramai yang menyedari kewujudannya walaupun setiap hari lalu di situ.

Kawasan seluas 3.2 hektar itu sebenarnya sudah menempatkan lebih 150 jenis tanaman sama ada sayur-sayuran, herba dan pokok bunga yang boleh dijadikan hiasan.

Menariknya mengenai kawasan tanaman itu yang diasaskan arkitek landskap ternama Ng Sek San pertengahan September lalu di bawah Kelab Kebun Bandar, kini menjadi tempat komuniti untuk berkumpul mempelajari ilmu tanaman. Malah ia turut menjadi ‘pusat pengeluaran sayur-sayuran’ kerana hasil yang dituai diagihkan secara percuma kepada kelompok yang memerlukan.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Kelab Kebun Bandar yang juga sukarelawan aktif komuniti terbabit, Jewel Ling, 30, pendekatan diketengahkan menerusi Kebun-Kebun Bangsar bukanlah berorientasikan nilai wang sebaliknya memfokuskan elemen semangat suka membantu dan mencintai alam semula jadi.


MENANAM bunga di kawasan yang belum ditanam.

“Idea asal adalah untuk memanfaatkan tanah kosong milik Tenaga Nasional Berhad ini yang tidak diusahakan sejak 50 tahun supaya ia menjadi kawasan hijau dan dapat digunakan orang ramai untuk tujuan kebajikan.

“Dalam pada lain peranan kami ialah mendedahkan ilmu pertanian dan menyemai rasa cintakan alam hijau kepada golongan muda yang boleh dikatakan semakin kurang mengenali tanaman apatah lagi kerja bertani.

“Bayangkan pelbagai jenis tanaman makanan seperti bendi, keledek, kangkung, terung, ginseng, pandan dan paling menarik ialah sawah padi ada di sini. Ia menjadi medium baik untuk mempelajari mengenai tumbuhan dan kemahiran bercucuk tanam.


SUKARELAWAN menanam bunga.

“Kami mempunyai arkitek landskap, Lim Khim Joe, 27, yang bersedia membantu dari segi kaedah penanaman selain pakar botani mempunyai kepakaran dalam tumbuh-tumbuhan penawar. Mereka berdualah banyak membantu membangunkan kebun yang ada di sini.

“Ketika ini sumber air kami adalah air hujan yang ditakung menggunakan konsep graviti mengalir ke pusat air. Sukarelawan akan mengangkut air untuk kerja penyiraman di tempat penanaman.

“Ketika ini kami bergantung penuh kepada sukarelawan yang datangsetiap hujung minggu selain mempunyai dua tukang kebun untuk membantu memastikan operasi pada hari biasa,” katanya.


KAWASAN mengambil air untuk menyiram.

Mengenai perancangan masa depan komunitinya, kata Jewel, dia berharap lebih ramai sukarelawan komited membantu Kebun-Kebun Bangsar. Untuk perancangan masa panjang pula, dia mahu melihat ada komuniti kebun bandar lain yang akan bercambah menerusi inisiatif komuniti terbabit.

“Sebenarnya kami berharap adanya kesinambungan usaha ini dengan mewujudkan komuniti tani bandar dalam membantu meningkatkan ekonomi dan memenuhi keperluan isi rumah.

“Tambahan pula kos sara hidup di bandar cukup tinggi membuatkan kita berharap golongan kurang berkemampuan mengambil inisiatif untuk menanam sayuran untuk keperluan sendiri. Setidak-tidaknya, ia boleh mengurangkan kos perbelanjaan mereka untuk makanan,” katanya.


ORANG-orang membantu menghalau burung.

Kata Jewel lagi, sejak inisiatif Kebun-Kebun Bangsar dimulakan lima bulan lalu, dia melihat satu perkara yang membanggakan iaitu apabila terjalinnya kerjasama antara sukarelawan, badan sukarelawan dan agensi lain yang komited membantu menjayakan projek itu.

“Kami menerima sumbangan biji benih daripada Thinkcity dan orang awam. Begitu juga dengan baja, ramai yang datang membawa sisa domestik bagi untuk membolehkan kami menghasilkan baja kompos atau baja organik menggunakan bahan dapur. Ia secara tidak langsung menggalakkan aktiviti kitar semula.

“Kami turut bekerjasama dengan Dapur Jalanan dan perumahan rakyat berhampiran selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang membenarkan kami menggunakan tapak ini untuk bercucuk tanam,” katanya.


GIGIH sukarelawan melakukan kerja menanam.

Sementara itu wakil Dapur Jalanan Mohd Ezzuandi Ngadi berkata, dia gembira dapat membantu dalam kerja berkebun kerana komuniti itu memberi sumbangan besar dengan membekalkan sumber sayur yang menjimatkan kos menyediakan makanan buat golongan gelandangan.

“Rasa syukur dan seronok tidak terhingga apabila pada penghujung tahun lalu salah seorang sukarelawan menghubungi saya dan memaklumkan mereka sudah bersedia untuk membekalkan sayur secara percuma.

“Memang banyak perbelanjaan yang dapat dijimatkan. Kini sayur yang menjadi antara komponen utama dalam bahan masakan kami tidak lagi perlu dibeli. Saya berharap komuniti ini akan terus subur kerana impaknya sangat besar kepada masyarakat khususnya golongan susah,” katanya.

Orang ramai berminat untuk menyertai aktiviti bertani bersama komuniti itu boleh melayari laman Facebook Kebun-Kebun Bangsar.


TIDAK kekok menggunakan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 11:43 AM