TANGAN robotik Sistem Pembedahan da Vinci.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Jarang sekali orang berasa kagum apabila melangkah masuk ke dewan bedah. Mungkin kerana tujuan kebanyakan daripada kita ke tempat sedemikian untuk mendapatkan rawatan, sudah tentu semuanya nampak mencemaskan.

Kali pertama diberi peluang melangkah masuk ke dewan bedah dan mencuba sendiri konsol Sistem Pembedahan da Vinci yang menjadi tulang belakang teknologi pembedahan robotik, memang cukup menarik.

Sistem Pembedahan da Vinci memungkinkan doktor bedah melakukan pembedahan lebih rumit, kurang risiko pendarahan dan tahap pemulihan lebih singkat berbanding pembedahan konvensional.

Menurut Pakar Bedah Umum Payudara dan Endokrin, Pusat Pakar Swasta UiTM (UiTMPSC), Dr Yahya Mohd Aripin, pembedahan invasif minimal bukan lagi cerita baru dalam sektor perubatan di negara ini, namun menariknya ia terus berkembang dengan pelbagai pendekatan baru untuk mendapatkan kesan prosedur terbaik.

“Mengimbau sekitar 1990-an, kebanyakan prosedur dilakukan secara pembedahan terbuka. Bagi masalah tiroid, pembedahan mungkin meninggalkan kesan parut panjang yang mengerikan di bawah garis kolar.

“Insisi besar untuk bukaan yang luas sebenarnya membawa banyak kesan sampingan. Antaranya, sakit, mudah dijangkiti kuman, risiko pendarahan selepas pembedahan, tempoh pemulihan yang panjang dan paling penting parut yang menakutkan.

“Berikutan itu, pakar bedah mula mencari jalan terbaik untuk keselesaan pesakit. Bermula dengan saiz insisi lima ke tujuh sentimeter, ia dikecilkan kepada dua ke tiga sentimeter.

“Bagaimanapun, fokus utama pakar bedah adalah untuk melakukan prosedur tanpa parut yang besar di bahagian leher. Justeru, apabila pembedahan lubang kunci atau laparoskopi mula dibawa masuk ke Malaysia, pelbagai pendekatan baru diperkenalkan pakar bedah dari semasa ke semasa untuk mendapatkan hasil prosedur terbaik,” katanya.


DR Yahya.

Jelas Dr Yahya, sistem laparoskopi juga dikenali sebagai pembedahan lubang kunci atau invasif minimal. Sejak diperkenalkan, hampir semua jenis pembedahan menggunakan sistem sama, dengan tujuan mengurangkan kesan sampingan yang nyata kepada tubuh pesakit.

“Tidak kira sama ada masalah jantung, paru-paru, hati atau apendiks, semua rawatan dijalankan menggunakan teknik pembedahan invasif minimal. Kesan sampingan berkurang, saiz parut juga semakin mengecil.

“Untuk tiroid, pembedahan endoskopi tidak lagi meninggalkan parut besar di leher. Selepas pelbagai pendekatan daripada pakar bedah, kita dapati insisi kecil di bahagian bawah lengan dan garis coli adalah yang terbaik. Ia bukan saja menyembunyikan parut, menunjukkan kesan pemulihan yang jauh lebih cepat berbanding pembedahan konvensional,” katanya.

Seiring kecanggihan teknologi, UiTMPSC membawakan pula pilihan prosedur invasif minimal menggunakan sistem ini yang membolehkan pakar bedah melaksanakan tugas menerusi penglihatan tiga dimensi (3D) dan menyempurnakan prosedur menggunakan konsol.

Berdasarkan imej tepat, konsol digerakkan dengan dua jari, sementara EndoWrist akan meniru pergerakan jari pakar bedah. Uniknya, ‘tangan robot’ berkenaan mempunyai capaian lebih tepat berikutan mampu membengkok dan berpusing 360 darjah, mengatasi kebolehan tangan manusia.

“Sebelum ini, sistem laparoskopi hanya membenarkan paparan imej dua dimensi. Jadi, kita sukar untuk meneka kedalaman organ ketika melakukan pembedahan. Berbeza dengan sistem baru ini, imej dipaparkan dalam bentuk tiga dimensi, dengan kebolehan capaian yang lebih tepat.

“Ciri-ciri ini menjadikan pembedahan invasif minimal semakin kurang berisiko. Begitupun, sistem ini adalah rawatan pilihan untuk mereka yang sanggup mengeluarkan kos pembedahan yang lebih besar,” katanya.


INSISI pembedahan robotik lebih terselindung berbanding kaedah konvensional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:01 AM