IBU dan individu terdekat perlu bersabar dalam menangani perkara ini.
Siti Nadirah Hafidzin

Runsing dan sedih apabila memikirkan anak tersayang yang baru dilahirkan menolak untuk menyusu menggunakan botol.

Lebih memeningkan apabila si ibu bakal kembali memulakan tugas selepas tamat tempoh cuti berpantang dan perlu meninggalkan si kecil di rumah pengasuh atau taska.

Pelbagai cara dan tip sudah dilakukan termasuk menukar jenis botol susu namun si kecil tetap menolak kerana hanya mahu menyusu badan.

Ternyata masalah ini tidak mudah diatasi dan berdasarkan pengalaman penulis, perkara ini sering terjadi ketika bayi yang mula menginjak usia sebulan.

Ia tidak terjadi pada semua bayi kerana terdapat juga bayi yang menerima dengan mudah proses penyusuan melalui botol. Namun apa juga alasan dan cara, si ibu dengan bantuan individu terdekat perlu mencuba dan terus mencuba untuk memberikan susu menggunakan botol.

Menurut pakar perunding laktasi bertauliah Dr Nurhaya Yacob, dalam menangani perkara ini, si ibu terutamanya perlu bersabar dalam memastikan proses penyusuan melalui botol dapat dijalankan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah dalam menangani anak kecil yang tidak mahu menyusu melalui botol. Disebabkan terlalu selesa dan biasa menyusu badan secara terus menjadi antara penyebab perkara ini.

“Selain ibu, individu terdekat terutama bapa, ibu, ibu mentua atau pengasuh perlu membantu serta memainkan peranan masing-masing dalam menyelesaikan masalah ini.

“Namun, ada juga sesetengah bayi yang terus-menerus tidak mahu menyusu menggunakan botol. Si ibu boleh berbincang dengan pengasuh untuk menggunakan kaedah lain seperti sudu, cawan, picagari atau sudu makanan yang boleh dipicit,” katanya.


DR Nurhaya.

Dr Nurhaya berkata, perlu diingat, walaupun proses penyusuan diberikan melalui botol atau kaedah lain, si ibu perlu mengepam susu badan untuk diberikan kepada bayi.

“Bayi perlu diberikan susu ibu hingga berusia dua tahun yang ditambah dengan pemberian makanan bersesuaian dengan usia selepas melepasi usia enam bulan,” ujarnya.

Langkah mudahkan penyusuan

Dr Nurhaya berkongsi 10 langkah yang boleh diambil kepada bayi yang enggan menyusu menggunakan botol:

1. Jadikan masa penyusuan botol seperti satu sesi bermain bukan satu sesi yang memberi tekanan. Lakukan pada ketika pagi kerana si kecil tersayang berada dalam keadaan ceria dan segar.

2. Elakkan daripada terus penyusuan badan ketika bayi menolaknya menggunakan botol, lanjutkan sesi dengan bermain dengannya dan cuba sekali lagi memberikan botol.

3. Boleh juga memberi penyusuan menggunakan botol ketika keadaan si kecil baru bangun daripada tidur dan masih mamai.

4. Sekiranya si kecil hanya menghabiskan setengah jumlah susu, ibu boleh lanjutkan dengan penyusuan secara terus sekiranya perlu.

5. Berikan botol susu di dalam kerusi bayi, kereta dorong bayi atau di atas sofa namun perlu pastikan posisinya dalam keadaan tegak dan selamat.

6. Cuba berikan botol susu ketika sedang bersiar-siar di luar rumah.

7. Si ibu boleh memulakan sesi penyusuan dengan payudara sebelum diteruskan dengan pemberian susu botol.

8. Elakkan daripada anak kelaparan semata-mata kerana mahukan mereka menyusu menggunakan botol.

9. Sekiranya si manja menolak pemberian susu menggunakan botol yang diberikan si ibu, boleh meminta bantuan individu terdekat lain seperti suami, ibu, ibu mentua namun dalam masa sama si ibu perlu berada di tempat lain.

10. Sekiranya si manja masih menolak, jangan terlalu risau, kadangkala si comel menerima penyusuan botol ketika berada di rumah pengasuh atau taska.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:31 AM