PEMAIN TLFC berkesempatan bertemu Dwight baru-baru ini.
Nurul Husna Mahmud


Terus menyokong perkembangan bola sepak peringkat global, Epson mempunyai cara tersendiri termasuklah menjadi antara penaja korporat aktif dalam perkembangan sukan itu.

Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Epson sedia menjadi rakan kongsi rasmi global bagi pasukan tersohor liga Eropah iaitu Manchester United sejak 2010 lagi.

Sebagai meraikan komitmen itu, Epson Malaysia turut menjayakan kempen sama untuk melahirkan pelapis sukan itu menerusi program ramah mesra bersama bintang legenda Manchester United, Dwight Yorke di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Epson Malaysia yang sebelum ini pernah memeterai perjanjian sebagai rakan penaja utama Kelab Bolasepak Tunas Lagenda (TLFC) menyifatkan program membawa pemain pelapis ini bertemu dengan bintang kelahiran Trinidad dan Tobago itu boleh memberi perkongsian baik dari segi pengalaman di padang mahupun perjalanan kariernya bergelar pemain profesional.

Menurut pemain TLFC, Wan Muhammad Shahrom Ibni Bakri, kesempatan bertemu legenda tersohor itu memang menjadi impiannya yang berhasrat menjadi pemain profesional dalam sukan bola sepak.

“Seperti mimpi rasanya boleh berjabat tangan dengan Dwight Yorke yang pernah menyinar dalam pasukan The Red Devils sekitar 1999 hingga 2002. Dia yang bermain di barisan hadapan banyak membantu mencipta peluang jaringan gol suatu ketika dulu.

“Saya berharap penajaan ini membuka lebih banyak peluang pemain muda seperti kami bertemu ramai pemain bertaraf antarabangsa agar dapat menimba ilmu dalam bergelar pemain profesional sekali gus boleh mengharumkan nama negara,” katanya yang juga anak legenda bola sepak Malaysia era 70-an dan 80-an, Bakri Ibni.

Bagi jurulatih TLFC Norkhairilnizan Azimbazri, kehadiran 20 pemain dan empat pegawai dalam program berkenaan diharap boleh mendorong semangat lebih ramai lagi pemain lain untuk merebut peluang selain meningkatkan tahap kemahiran mereka ketika beraksi di padang.

“Sebenarnya mereka terpilih mengikuti program kali ini berdasarkan prestasi mereka. Jika pemain TLFC menunjukkan peningkatan dan skil mereka, semestinya ganjaran seperti ini boleh diperoleh.

“Mereka dapat lihat bagaimana layanan yang diterima oleh pemain hebat. Dalam sudut lain mereka juga belajar mengenai sikap sewajarnya yang perlu pada atlet iaitu komited dan mempunyai keghairahan dalam sukan yang diceburi,” katanya.

Pada masa sama, Dwight turut berkongsi tip mengenai perjalanan karier selaku pemain bola sepak profesional sehingga diintai penilai bakat dari kelab ternama iaitu Manchester United.

“Bergelar pemain bola sepak profesional ibaratnya berada dalam satu gelembung udara dan dunia anda ketika itu hanyalah bola sepak. Setiap hari saya perlu melihat dan memikirkan bagaimana hendak menjadi pemain yang lebih baik dan cemerlang selain memberi komitmen penuh kepada latihan. Tidak boleh hilang fokus,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Epson Malaysia, Daisuke Hori berkata, pihaknya gembira dapat menunaikan impian terutamanya peminat pasukan Manchester United dan tidak lupa pemain muda TLFC.

“Bola sepak bukan hobi semata-mata sebaliknya ia sukan yang menyatukan semua bangsa di Malaysia. Bagi kami peluang untuk berkongsi keghairahan terhadap sukan ini bersama peminat Manchester United dan peminat sukan bola sepak di Malaysia adalah satu penghormatan.

“Lebih penting lagi, kami memberi peluang kepada TLFC untuk bertemu dengan legenda ini dan diharap ia memberi inspirasi kepada mereka dalam mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam sukan bola sepak tempatan dan lebih baik jika dapat mengorak langkah ke persada antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:35 AM