SARINGAN kesihatan turut diadakan.
PROGRAM kecergasan antara pengisian program.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Obsesi untuk tampil cantik dan berkulit cerah menjadikan ramai wanita sanggup meletakkan nyawa sendiri di dalam risiko dengan mengambil pelbagai produk makanan tambahan yang diragui keselamatannya.

Bagi mereka, asalkan produk itu memberi kesan yang pantas, maka ia menjadi pilihan hingga ada antaranya sanggup menghabiskan wang gaji untuk mencapai impian.

Hakikatnya, penggunaan kosmetik dan produk makanan tambahan yang semakin berleluasa dalam kalangan wanita di negara ini berisiko diserang penyakit kronik, antaranya masalah buah pinggang.

Lebih membimbangkan, produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hidrokuinon dan tretinoin ini memberikan kesan sampingan kepada kesihatan.

Antara masalah kerap dihadapi sensitif terhadap matahari, radang kulit, gangguan sistem saraf, ruam dan boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak.

Pakar Perunding Nefrologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Nor Fadhlina Zakaria, jika label kandungan bahan sesuatu produk itu tidak diteliti sebelum digunakan, ia berisiko memudaratkan kesihatan dalaman.

“Kajian menunjukkan produk makanan tambahan yang mengandungi bahan kimia berlebihan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang. Ini sekali gus menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang.

“Selain itu, bahan merkuri yang kerap digunakan dalam kosmetik juga menyebabkan masalah buah pinggang. Bahan ini unik kerana kemampuannya meresap masuk dalam kulit dan salur darah apabila disapu pada kulit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Hari Terbuka Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2018, baru-baru ini.

Menurut Dr Nor Fadhlina, agak membimbangkan apabila sejak kebelakangan ini, semakin ramai mengambil produk makanan tambahan tanpa nasihat doktor terutama wanita yang ghairah untuk cantik.

“Trend terkini menunjukkan semakin ramai wanita mengalami kegagalan buah pinggang berbanding lelaki. Antara sebabnya adalah pengambilan bahan terlarang yang terdapat dalam produk kecantikan,” katanya.

Justeru beliau menegaskan agar pengguna sentiasa berwaspada dan mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang makanan tambahan atau menggunakan produk kosmetik selain memastikan ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu, sempena Hari Terbuka NKF, pelbagai aktiviti dianjurkan badan itu bagi memberi maklumat berkenaan penyakit bahaya itu.

Antara aktiviti dijalankan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan dan kempen pendermaan organ bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya membantu pesakit yang memerlukan organ seperti buah pinggang.

MINUMAN BERKARBONAT TEMAN SETIA

Dalam pada itu, seorang pesakit buah pinggang kronik, A Kamalam, 68, berkata, amalan pemakanan kurang sihat sejak usia muda menjadikan wanita itu kini berdepan pelbagai penyakit kronik.

Menurutnya, minuman berkarbonat dan coklat antara makanan yang wajib ada dalam menu sehariannya, malah sejak usia remaja lagi wanita itu menjadikan minuman berkarbonat sebagai teman setia.

Akibatnya, apabila usianya menginjak 30 tahun dia didiagnosis menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi hingga menjejaskan tahap kesihatannya.

“Saya mula bekerja di kilang pada usia 12 tahun. Ketika itu saya masih terlalu muda untuk menjadikan pemakanan sihat sebagai amalan. Coklat dan minuman berkarbonat menjadi santapan harian kerana mudah dibeli.

“Jadual makan pula tidak teratur disebabkan saya sibuk bekerja sepanjang hari. Jadi, saya hanya bawa air berkarbonat dan mengambil roti disapu mentega kacang sebagai bekal.

“Pada usia yang masih muda saya disahkan doktor menghidap diabetes, darah tinggi dan komplikasi jantung, selain masalah buah pinggang enam tahun lalu,” katanya.

Akibat kegagalan buah pinggang yang dihidapi, Kamalam terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu di NKF dan kini sudah masuk tahun keenam menerima rawatan itu.

Katanya, dia menyedari akibat tidak menjaga pemakanan sejak usia muda menyebabkan dia menanggung natijahnya kini dan berharap dua orang anaknya tidak mengikut jejak langkahnya.

“Pada tahun pertama mendapat tahu buah pinggang tidak lagi berfungsi, dialisis tidak dapat dilakukan kerana jantung saya masih lemah. Sebelum ini, saya juga pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Sebelum dikesan menghidap masalah buah pinggang, beberapa gejala dialami seperti kaki bengkak, tidak boleh bernafas dan cepat letih apabila berjalan.

“Kini pergerakan saya agak terbatas kerana penyakit ini, saya hanya boleh melakukan aktiviti seperti memasak saja. Kerja rumah juga dilakukan menantu kerana saya tidak berdaya dan cepat lesu,” katanya.

Ibu tunggal itu juga menasihatkan golongan muda supaya mengelakkan minuman berkarbonat dan makanan manis secara berlebihan kerana ia berisiko tinggi merosakkan fungsi organ dalaman.

Katanya, kesihatan perlu dihargai kerana kos yang perlu ditanggung tidak murah, malah membebankan bukan saja diri sendiri malah keluarga dan orang tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:35 AM