HASNIZA bertugas hampir 15 tahun sebagai penghantar barang.
HASNIZA bertugas hampir 15 tahun sebagai penghantar barang.
Siti Zarinah Sahib


Setiap pagi rutin harian Hasniza Hashim, 39, bermula seawal jam 10 pagi. Sebagai penghantar barang dia perlu memastikan semua surat dan barang untuk kawasan Petaling Jaya disediakan terlebih dulu sebelum dimasukkan di dalam kotak penyimpanan di tempat duduk belakang motosikalnya. Bermula penghantaran ke kawasan paling dekat dalam wilayah Petaling Jaya hingga ke bahagian paling jauh, semua urusan ditentukan Hasniza sepenuhnya.

Menurut Hasniza sebagai penghantar barang di UPS (United Parcel Service) Malaysia, dia diibaratkan pengurus dan perlu mengendalikan semua barangan supaya selamat sampai ke tangan penerima secepat mungkin, cekap dan berada dalam keadaan asal. Berpegang kepada prinsip ini sepanjang 15 tahun bertugas dia sentiasa memastikan disiplin dan amanah menjadi teras dalam kerjaya.

“Disiplin bermaksud barang perlu dihantar mengikut waktunya, tidak boleh terlewat walau sesaat. Pada masa sama amanah melakukan tugasan supaya barang sampai kepada penerima,” katanya.

Menjadi satu-satunya penunggang motosikal wanita di UPS, pemilihan kerjaya sebagai penghantar barang bermula pada 2003. Minat menunggang motosikal mendorong menceburi kerjaya ini walaupun sedar ia berisiko. Namun sebaik saja selesai menjalani latihan selama sebulan sedikit demi sedikit dia mulai jatuh cinta dan terus menjadi penghantar barang hingga sekarang.

HASNIZA (tengah) bersama rakan sekerja.
HASNIZA (tengah) bersama rakan sekerja.

“Saya akui ada rasa malu disebabkan saya seorang saja wanita dalam kumpulan lelaki. Tapi apabila difikirkan saya mencari rezeki halal perasaan malu itu hilang serta-merta.

“Malah sepanjang bertugas saya diterima baik dalam kalangan rakan dan mereka banyak memberikan semangat sekiranya saya hilang arah. Saya juga menjadi tempat meluahkan masalah rakan sekerja memandangkan pendapat saya berbeza dengan rakan lain,” katanya sambil tersenyum.

Melihat cara dia bekerja ramai beranggapan tugas menghantar barang sesuatu yang mudah. Namun sebenarnya ia mempunyai cabaran tersendiri. Dia bukan saja membuat penghantaran ke sesebuah syarikat tapi turut membabitkan individu dan barangan hospital.

Untuk itu dia perlu teliti pada setiap yang alamat diberikan. Konsepnya cari sampai jumpa jika tidak, dia tidak dibenarkan pulang ke pejabat. Namun setakat ini tiada sebarang masalah berlaku kerana setiap orang mempunyai telefon bimbit dan dia boleh bertanya lokasi sebenar pelanggan.

“Walaupun terpaksa memasuki hingga ke ‘ceruk’ kawasan, saya akan memastikan barang sampai kepada penerima walau dengan apa cara sekali pun. Teknologi WhatsApp dan peranti Waze memudahkan saya mencari lokasi sebenar pelanggan,” katanya.

Jaga keselamatan di jalan raya

Ibu kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan ketika menjalani latihan dia sudah diajar menjaga keselamatan diri. Walaupun berpegang kepada prinsip cepat dan selamat, sebagai penunggang motosikal isu keselamatan sangat dititikberatkan.

“Keselamatan diri paling utama dalam memastikan penunggang motosikal tidak terbabit dalam kemalangan. Untuk itu saya perlu merancang sebelum memulakan perjalanan. Memang saya sudah terbiasa ‘menyelit’ terutama ketika jalan sesak. Tapi saya perlu memastikan ia tidak membahayakan nyawa. Tambahan pula setiap motosikal dibekalkan tong besar di belakang, jadi ada kala ia tersangkut pada kenderaan lain yang boleh menyebabkan motosikal terbalik,” katanya.

Diberikan tugasan menghantar barang ke 30 tempat berlainan dan mengambil barang di 10 lokasi berbeza. Berbekalkan 40 kawasan hentian dalam masa bekerja 10 pagi sehingga 7 malam dia perlu melakukan tugasan mengikut waktunya. Menjadi penunggang yang sangat berhati-hati setakat ini Hasniza tidak pernah terbabit dalam kemalangan.

“Rahsianya setiap kali menunggang motosikal apa yang sering terbayang di fikiran adalah wajah suami dan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang saya. Jadi apabila ada perasaan ingin meningkatkan kelajuan motosikal wajah mereka terbayang-bayang di ruangan mata,” katanya tegas.

HASNIZA di samping motosikal kesayangannya.
HASNIZA di samping motosikal kesayangannya.

Katanya, dalam setiap perniagaan kerenah pelanggan perlu dihadapi dengan sabar. Ada kala Hasniza perlu menunggu pelanggan memberikan barang mereka, ada juga mereka membuat pembayaran pada waktu itu. Pernah dia terpaksa menunggu hingga 30 minit untuk mendapatkan pembayaran dari pelanggan. Sudah tentu ia membuang masa. Tetapi disebabkan berpegang prinsip pelanggan adalah betul, dia perlu memastikan perkhidmatan untuk pelanggan didahulukan berbanding yang lain.

Faktor cuaca juga menyebabkan mengapa pekerjaan ini berisiko tinggi. Dalam keadaan panas, hujan atau ribut petir sekalipun penghantar barang perlu memastikan barang mereka tiba dengan selamat. Walaupun terpaksa bermotosikal dalam hujan keselamatan perlu dijaga.

Suami dan anak memahami

Memiliki tiga cahaya mata yang semakin membesar jelas Hasniza ketika ingin menceburi kerjaya ini dia tidak mendapat sokongan suami. Tapi selepas memberikan penjelasan berkenaan tanggungjawab terhadap keluarga tidak akan diabaikan akhirnya suami memberikan keizinan.

Cuma saat paling menyedihkan apabila dia tidak dapat berbuka puasa bersama anak disebabkan lewat tiba ke rumah. Namun sebelum keluar dia sudah menyediakan hidangan atau meninggalkan duit untuk mereka membeli makanan sendiri. Memanglah sedih kerana berbuka puasa sendiri namun demi kerjaya inilah pengorbanan yang terpaksa dilalui.

“Apabila anak semakin besar mereka memahami saya bekerja mencari rezeki. Jadi tiada lagi pertanyaan setiap hari,” katanya yang setia bersama UPS disebabkan menerima kelebihan tiada pada syarikat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 1:29 PM