Yusliza Yakimir Abd Talib

Agak mustahil buat wanita tampil di khalayak ramai tanpa secalit solekan kerana penampilan memainkan peranan penting untuk menggambarkan personaliti mereka.

Kuasa solekan sangat mengagumkan kerana ia boleh menjadikan wanita apa saja yang diinginkan sama ada kelihatan remaja, cantik semula jadi atau tampil aneh.

Solekan memberi kesan besar terhadap wajah manusia terutama jika ingin dilihat lebih muda daripada usia sebenar atau ingin menutup sebarang kecelaan kecil diri.

Malah, solekan boleh menterjemahkan apa saja maksud yang ingin disampaikan diri anda dalam bentuk santai dan bergaya. Pokok pangkalnya, mainan warna digunakan boleh menzahirkan apa yang ada di dalam isi hati anda.

Himpunan gaya musim panas 2018 jenama kosmetik By Terry menampilkan gaya cukup santai, bersifat lembut dan sesuai dengan semua jenis tekstur kulit, warna atau dalam hawa yang agak panas.

Oleh itu, wanita Asia, sama ada bertudung atau tidak, boleh menggayakan teknik solekan diperkenalkan dengan himpunan ini.

Menariknya, himpunan kali ini mengulangi semula aura musim panas 70-an sekali gus menjadi koleksi bergaya dan mudah. Selain memperlihat warna cerah bak matahari terbenam, meraikan semangat hippy yang riang dan bebas.

Capai wajah berseri meskipun dalam kehangatan musim panas dengan palet serba guna diperkenalkan pada musim ini.


PAUL menunjukkan solekan ringkas musim panas.

Sun Designer umpamanya memberikan rupa yang menyeluruh, berseri, secerah matahari sama ada untuk mereka yang berkulit cerah atau sawo matang.

Kedua-dua palet hibrid ini menampilkan enam warna yang elegan dan berkilauan, memainkan peranan bukan saja sebagai pembayang mata malah berfungsi sebagai bronzer, pemerah pipih serta penyerlah untuk meningkatkan penampilan keseluruhan kulit wajah.

Langkau tutorial bibir yang rumit dengan koleksi Twist-on-Lip yang berupaya mencapai kemasan bibir profesional hanya dalam satu calitan. Ciptaan inovatif gincu dwitona ini mencipta bibir sempurna tanpa perlu bersusah payah.

Baru-baru ini, Ketua Jurulatih Global by Terry Paul Marsh yang ditemui pada acara pelancaran gaya solekan musim bunga dan koleksi terbaru by Terry di ibu kota, menunjukkan gaya solekan ringkas bertemakan Hippi Chic.


SOLEKAN dimulakan dengan mengaplikasi palet pada mata.

MENGGUNAKAN berus sapukan palet sebagai pemerah pipi.

PALET yang sama, gunakan rona perang untuk bentukkan tulang pipi.

WAJAH Hippi Chic selepas dirias.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 11:12 AM