SAJIAN makan tengah hari enak air tangan Noraidah.
NORAIDAH dibantu anaknya di dapur.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Tiba di pekarangan rumah wanita ini, penulis disalut perasaan kagum. Lorong masuk yang lapang menghala terus ke rumah, dataran menghijau dikelilingi pokok buah-buahan, tumbuh-tumbuhan kekacang melilit di para.

Tanah dusun yang ini terlalu indah untuk digambarkan dengan kata-kata. Sesekali kicauan burung menerjah, bersahut-sahutan. Sampai di muka pintu, penulis terbuai lagi dengan suasana kediaman milik Noraidah Lembang, 62.

Terik matahari yang bersulam dari celah ranting pokok ceri di beranda rumah ini cukup menyenangkan. Jika hendak dibandingkan dengan banglo mewah bertingkat di tengah kota, indah lagi kediaman ringkas ini.

Kata orang, rumah adalah cermin buat pemiliknya. Sebagaimana indahnya halaman dan susun atur perabot, begitulah pesona Noraidah yang mesra disapa Elda ketika menyambut kedatangan wakil media yang mengikuti program Food Discovery with Volkswagen, minggu lalu.

Ibu tunggal ini begitu ramah. Usai berbasa basi, Noraidah ligat kembali di dapur menyediakan hidangan tengah hari. Dua anak lelakinya turut membantu di dapur.

Khas buat tetamu hari itu, Noraidah menyediakan pelbagai masakan kampung enak antaranya daging dendeng, ikan siakap goreng bawang putih, bendi goreng, kacang panjang, jantung pisang hutan serta air asam. Semuanya enak hinggakan sukar untuk bangkit mencuci tangan.

Kata Noraidah, itu konsep yang ditawarkan kepada tetamu yang berkunjung ke Elda’s Farmhouse. Rumah kampung di Semenyih, Selangor itu menyediakan dapur persendirian buat mereka yang inginkan kelainan dalam cita rasa, hidangan dan suasana.

LARI DARI KESIBUKAN KOTA

Ditanya berkenaan idea untuk mengadakan dapur persendirian di teratak miliknya, Noraidah berkata, semuanya bermula daripada cadangan rakan dan tetamu yang kerap berkunjung ke rumahnya tiga tahun lalu.

“Sebelum ini saya pernah bekerja di pejabat kedutaan, kemudian menjadi perancang perkahwinan dan berada dalam industri makanan. Saya mementingkan hasil dan kualiti. Jadi, setiap kali diberi kepercayaan melakukan sesuatu, saya pastikan hasilnya terbaik.

“Selepas bergelar ibu tunggal, saya memilih untuk kembali ke kampung dan membesarkan anak. Kalau dulu, saya biasa tinggal dalam kelompok masyarakat elit, di sini saya menjalani kehidupan kampung yang ringkas sebagaimana kecil dulu.

“Ternyata ini kehidupan sebenar yang saya cari. Mungkin kerana dari kecil sudah terbiasa bermain di kebun, dusun dan sawah, saya tenang menikmati alam semula jadi. Saya jarang ke bandar dan mula bercucuk tanam. Jika hendak bertemu rakan, saya ajak mereka ke rumah untuk sesi makan-makan.

“Begitu rutin selama beberapa tahun hingga seorang rakan mencadangkan supaya saya mengenakan bayaran pada tetamu yang datang untuk makan dan berehat. Mereka segan menikmati hidangan percuma, sedangkan saya tidak bekerja,” katanya.

Selepas memikirkan cadangan itu, Noraidah dan anak-anaknya sepakat memperkenalkan dapur persendirian. Memandangkan lokasi berkenaan adalah kediaman peribadinya, Noraidah mengambil pendekatan untuk bersikap memilih.

Ia bermakna, hanya tetamu terpilih yang diterima datang berkunjung ke terataknya. Kebanyakannya pelancong dari luar negara, artis, usahawan, anggota profesional dan ahli politik.

“Saya cukup sukakan pengalaman yang diperoleh sepanjang membuka dapur persendirian. Tetamu yang datang biasanya mahukan kelainan. Saya seronok melihat mereka menikmati hidangan, kemudian berkongsi cerita dan menikmati suasana kampung.

“Misalnya, jika tetamu datang dari Jepun, mereka akan bercerita berkenaan adat budaya dan negara mereka. Pernah sekumpulan pakar bedah datang ke sini, mereka juga berkongsi cerita penyakit yang dirawat dan pengalaman masing-masing.

“Ada waktunya, saya tahu lebih banyak cerita menarik yang mungkin tidak diketahui umum. Perkara sebegini yang menjadikan saya teruja setiap kali menerima tetamu,” katanya.

Walaupun demikian, kata Noraidah, dia masih mengutamakan hak dan privasi tetamu ketika mereka berada di sini. Sesuai dengan khidmat dapur persendirian, Noraidah lebih banyak menyimpan cerita dan gambar tetamu.

“Semua yang datang ke sini mahukan privasi. Jadi, kalau ada artis atau kenamaan yang datang, saya biasanya akan tanya tetamu sama ada mereka beri kebenaran untuk gambar dikongsikan di laman sosial atau tidak.

“Kalau mereka kata tak boleh, jadi saya takkan muat naik ke laman Facebook dan sebagainya,” katanya.

WANITA POSITIF

Ketika bersembang dengan Noraidah, penulis dapat melihat semangat, kekentalan dan keunikan yang ada dalam diri wanita ini. Andai kebanyakan wanita mudah menyalahkan diri saat terumbang-ambing dalam hidup, wanita ini melihat dari sudut berlainan.

“Saya sentiasa percayakan kemampuan diri. Saya tahu bahawa diri saya seorang yang rajin dan boleh melakukan banyak benda. Saya juga percaya bahawa bukan semua orang memerlukan sijil kelayakan akademik yang cemerlang untuk berjaya dalam hidup.

“Apabila saya tengok orang memasak, saya mesti nak belajar masak. Saya banyak belajar daripada pengalaman. Keluarga saya juga memang ramai dalam industri perhotelan.

“Kalau tanya soal cabaran, bagi saya semua yang sudah dilalui sepanjang hidup ini cukup indah. Saya pernah melalui masa sukar dan mengalami saat perit dalam hidup, namun sampai suatu masa, saya jatuh hati dengan semua yang berlaku.

“Saya bersyukur dengan dugaan dan ujian yang datang. Saya suka kerana setiap cabaran, kesukaran dan perit yang dilalui menjadikan diri saya yang hari ini. Lebih dari itu, ia menjadikan saya semakin kuat dari sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 12:52 PM