Skip this ad x
CANTIK dan terkini.
Siti Nadirah Hafidzin

Menawarkan pelbagai busana fesyen bermula daripada tudung, selendang, jubah, baju, gaun dan pelbagai aksesori wanita di dalam satu tempat pastinya memudahkan pelanggan untuk mendapatkan semua keperluan fesyen tanpa perlu membuang masa.

Keistimewaan itu menjadikan Xiomara Haute Couture di Taman Tas, Kuantan, Pahang sebagai gedung fesyen yang dapat membantu wanita untuk bergaya dengan mudah.

Menggabungkan pelbagai konsep fesyen daripada jenama sendiri juga pelbagai jenama lain menjadikan butik yang baru dilancarkan baru-baru ini, memudahkan penggemar fesyen di Kuantan, Pahang juga kawasan sekitar mendapatkan koleksi dikehendaki tanpa perlu ke ibu kota, Kuala Lumpur.


REKAAN terkini.

Menurut pemiliknya, Nurul Iman Fatihah Abdul Razak, dengan membawa konsep busana harian juga koleksi lebaran, pihaknya yakin dapat memuaskan hati setiap pelanggan.

“Koleksi terbaru kami adalah Xiomara Exclusive iaitu kurung moden yang mempunyai renda menarik menambahkan lagi kemanisan pemakai.

“Selain itu, kami turut mempunyai 25 koleksi fesyen berbeza yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Apa yang kami tawarkan adalah yang terbaik dan menepati kehendak pelanggan rata-ratanya mahukan fesyen terkini namun tetap selesa digayakan.


SELESA dan menepati kehendak pelanggan.

“Lebih menarik, kami bukan saja menawarkan koleksi busana wanita kerana turut mempunyai pilihan untuk koleksi lelaki dan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Nurul Iman Fatihah, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu serendah RM5 hingga RM3,500. Pelanggan juga berpeluang memilih koleksi busana yang menepati kehendak dan kemampuan diri.

“Selain untuk pakaian harian dan lebaran, kami juga menawarkan koleksi busana pengantin yang sangat eksklusif kerana setiap satu busana hanya didatangkan dalam satu helaian.

“Untuk koleksi pengantin, kami amat menjaga nilai eksklusif namun pelanggan boleh datang berbincang sekiranya mahukan rekaan busana pengantin mengikut cita rasa sendiri,” ujarnya.


ANGGUN menawan.

Kata Nurul Iman Fatihah, lebih memudahkan apabila pelanggan yang datang boleh terus memilih selendang mahupun tudung untuk dipadankan dengan busana.

“Saya berusaha memudahkan pelanggan membeli-belah dan atas sebab itu juga saya berusaha menyediakan semua koleksi busana di satu lokasi.

“Selain itu, kami bukan saja menawarkan koleksi busana bersaiz biasa kerana kebanyakan busana didatangkan bermula saiz XS sehingga saiz 4XL,” katanya.


MANIS digayakan pada pagi lebaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 1:27 AM