DR KONG (dua dari kanan) menunjukkan model bahagian buah pinggang rosak bersama Dr Loh (tengah), Dr Shane (kiri), Prof Chee dan Dr Cheah (dua dari kiri) ketika sesi dialog mengenai penyakit buah pinggang peringkat akhir di IMU Kampus Bukit Jalil, baru-baru ini.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Ketika doktor memberitahu buah pinggang atau ginjal anda tidak lagi berfungsi, saat itu tentunya dirasakan kehidupan tidak lagi bermakna. Terlintas di fikiran bagaimana keadaan anda kelak dan adakah ia memberi kesan terhadap kualiti hidup?

Ramai tidak sedar penyakit buah pinggang adalah masalah kesihatan jangka panjang dan tidak dapat disembuhkan. Namun begitu dengan rawatan yang betul, penjagaan pemakanan dan perubahan gaya hidup, ia dapat meningkatkan kualiti, sekali gus memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada pesakit.

Menurut Pakar Nefrologi Pusat Dialisis IMU Healthcare yang juga Perunding Nefrologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kong Wei Yen, dalam pengurusan penyakit buah pinggang peringkat akhir pesakit perlu mendapatkan rawatan yang betul iaitu melalui dialisis dan ubat-ubatan.

“Apabila doktor memberitahu anda memerlukan dialisis jangka panjang sebenarnya ia bukan pilihan sebaliknya rawatan ‘wajib’ bagi membolehkan anda menjalani kehidupan sihat selepas buah pinggang gagal berfungsi dengan sempurna. Secara umumnya buah pinggang berperanan menapis racun dan mengekalkan bahan-bahan diperlukan di dalam badan.

“Bagaimanapun, apabila buah pinggang gagal berfungsi dengan baik, pesakit memerlukan penapis tiruan untuk membersihkan toksin dalam badan. Dialisis biasanya membuatkan pesakit berasa lebih baik selepas beberapa bulan dilakukan. Ia meningkatkan kualiti dan memanjangkan umur kebanyakan mereka,” katanya.

Pesakit berhadapan kegagalan buah pinggang peringkat akhir boleh memilih sama ada ingin melakukan hemodialisis atau dialisis peritoneal. Walaupun dialisis jangka panjang dikatakan mampu meningkatkan kualiti hidup untuk kebanyakan pesakit, namun sebenarnya ia bukan jaminan kehidupan mereka akan bertambah baik.

“Ini kerana apabila buah pinggang gagal berfungsi, organ lain juga mengalami nasib yang sama. Apabila dialisis jangka panjang dilakukan kebiasaannya pesakit sudah mempunyai masalah kesihatan serius termasuk diabetes, penyakit jantung dan darah tinggi, “ kata Dr Kong.

Oleh itu, pengambilan ubat sangat penting terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit buah pinggang akibat kencing manis. Di Malaysia, satu daripada empat pesakit diabetes mempunyai penyakit buah pinggang dan enam daripada 10 pesakit yang menjalani dialisis adalah pesakit diabetes.

Walaupun statistik ini menakutkan, malangnya ramai pesakit mengambil mudah berkenaan ubat-ubatan yang perlu dimakan secara berkala. Ini diakui Perunding Endokrinologi IMU Healthcare, Dr Loh Vooi Lee, bahawa tahap glukosa tinggi sebenarnya boleh merosakkan saluran darah dalam buah pinggang.

Apabila ini berlaku, ia merosakkan keseluruhan buah pinggang, sekali gus memberi kesan kepada saluran darah sekiranya tidak dikawal. Ini juga berpunca daripada pelbagai mitos berkenaan ubat-ubatan yang mengancam peranan buah pinggang sekiranya ia kerap diambil.

“Padahal ia tanggapan salah. Sebaliknya ubat-ubatan ini akan melindungi buah pinggang daripada kerosakan lebih teruk. Dos akan diselaraskan mengikut keadaan pesakit dengan syarat pesakit perlu mengambilnya sepanjang masa, “ kata Dr Loh yang turut menasihati pesakit supaya menjalani gaya hidup sihat dengan berhenti merokok, mengehadkan pengambilan garam, bersenam, mengawal berat badan dan rehat yang cukup untuk memastikan kesihatan buah pinggang terjaga.


DIALISIS perlu dilakukan untuk pesakit buah pinggang peringkat akhir untuk kualiti hidup dan jangka hayat lebih lama.

Perlu jaga diet

Secara umumnya diet memainkan peranan penting terutama untuk pesakit buah pinggang.

Menurut Pensyarah di Jabatan Pemakanan & Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Prof. Winnie Chee Siew Swee, kira-kira 40 hingga 50 peratus pesakit dialisis dikatakan mengalami masalah kekurangan nutrisi disebabkan proses dialisis yang akan memecahkan protein dalam tubuh dan menjadikan tubuh kehilangan nutrien.

“Oleh itu penting pesakit mengambil makanan sihat ketika menjalani dialisis. Walaupun ada anggapan pesakit perlu mengurangkan makanan berprotein kerana ia mengumpul sisa produk pada buah pinggang. Tapi, bagi individu yang sedang menjalani dialisis sebenarnya perlu meningkatkan pengambilan protein.

“Ini kerana proses dialisis sendiri akan merosakkan protein dan untuk mendapatkan semula nutrisi ini mereka perlu beralih kepada diet tinggi protein,” kata Prof Chee yang menasihati pesakit agar berhati-hati dengan buah-buahan dan sayur-sayuran tinggi kalium. Ini kerana bahan ini turut dikeluarkan menerusi buah pinggang.

Menyedari emosi pesakit buah pinggang yang kerap terganggu disebabkan perlu mengambil cuti, mengawal pemakanan dan memikirkan berkenaan masa depan, Pakar Perunding Psikiatri, IMU Healthcare Dr Shane Varman juga mengakui dialisis boleh menyebabkan bebanan serta sekatan gaya hidup ditambah kos kewangan yang tinggi.

“Ia menyebabkan pesakit kehilangan kualiti hidup dan ramai yang memikirkan kematian, apatah lagi mengenangkan mereka perlu bergantung kepada mesin dan ubat-ubatan sepanjang hayat,” katanya dan meminta keluarga membawa pesakit bertemu kaunselor, ahli psikologi atau psikiatri di hospital kerajaan dan swasta bagi membantu mendapatkan nasihat untuk kehidupan yang lebih bermakna.

Pada akhirnya didiagnos sebagai pesakit buah pinggang tahap akhir bukanlah pengakhiran hidup, tapi yakinlah ia peluang kedua yang diberi Tuhan untuk kekal sihat, secara relatif. Caranya dengan mengikut arahan doktor, jururawat dan pakar pemakanan untuk kehidupan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 2:35 AM