Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kemurungan antara gangguan kesihatan mental paling lazim dihidapi rakyat negara ini. Malah, statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan kira-kira 29.2 peratus individu tanpa mengira umur, bangsa dan taraf ekonomi mengalami masalah kesihatan mental.

Menjelang 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar menjejaskan rakyat negara ini selepas penyakit jantung! Oleh itu, pentingnya kesedaran dan langkah penyelesaian awal untuk membendung peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Pfizer Malaysia baru-baru ini melancarkan aplikasi telefon pintar Moodigo yang membolehkan pengguna menjejaki mood, menetapkan matlamat dan menentukan rutin untuk membantu individu menjalani kehidupan harian yang sihat.

Lebih menarik, aplikasi mesra pengguna ini menyediakan ruangan diari, ujian mengesan kemurungan, maklumat dan tip kesihatan mental serta khidmat jurulatih maya.

Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai Pfizer Malaysia Noor Yang Azwar Kamarudin berkata, aplikasi Moodigo dilancarkan sempena kempen kesedaran awam #EVERYBODYISATRISK di seluruh negara.

“Kempen ini dijalankan Pfizer dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) serta beberapa institusi pengajian tinggi. Ia merangkumi forum awam, bengkel latihan, pertunjukan jalanan dan buku panduan Talk Depression yang disusun khas untuk menyampaikan pengetahuan penting mengenai kemurungan.

“Kempen ini juga bertujuan melenyapkan anggapan karut dan salah faham ramai mengenai gangguan mental, di samping menghapuskan stigma sosial yang masih ada dalam kalangan masyarakat di Malaysia,” katanya.


DARI kiri Noor Yang Azwar, Dr Hazli dan Dr Ng melancarkan aplikasi Moodigo baru-baru ini.

Jelas Noor Yang Azwar, seiring peningkatan peratus individu menghadapi masalah mental beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya mahu orang ramai bersikap peka dengan mengenal pasti simptom awal kemurungan, meningkatkan kesedaran mengenai emosi diri dan menjejak perubahan mood menerusi aplikasi terbabit.

“Melalui aplikasi ini, pengguna dapat menyimpan maklumat mengenai perubahan mood, menjejaki aktiviti rutin seperti jam tidur dan bersenam. Paling penting, aplikasi ini turut memberikan beberapa petua berguna mengenai cara menjaga kesihatan mental dan menyediakan pautan untuk bantuan pakar, jika perlu.

“Semua ciri dan kemudahan disediakan aplikasi ini dijangka dapat memberi maklumat asas untuk membantu pesakit pada peringkat awal. Kita tahu, ramai yang mungkin terlepas pandang pada simptom awal kemurungan. Ada juga yang sedar, namun tidak tampil untuk mendapatkan rawatan sepatutnya kerana bimbang dengan stigma dan pandangan orang di sekeliling.

“Justeru, dengan adanya aplikasi sebegini, kami harap lebih ramai dapat membincangkan isu penyakit jiwa di Malaysia dengan lebih terbuka menerusi program komuniti seperti forum awam dan bengkel,” katanya.


SENAMAN membantu tubuh menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Profesor Madya Ng Chong Guan berkata, kemurungan masih boleh dicegah dan dirawat sekiranya orang ramai lebih bersikap terbuka serta sanggup menghulurkan tangan, membantu mereka yang berdepan masalah kejiwaan.

“Kami harap kempen #EVERYBODYISATRISK dapat meningkatkan lagi kesedaran ramai mengenai penyakit jiwa, mengenali tanda gangguan mental pada peringkat awal dan bersikap terbuka untuk mendapatkan rawatan yang betul.

“Memandangkan kes kemurungan kian bertambah, kami optimis bahawa aplikasi Moodigo dapat menarik perhatian rakyat dalam meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan mental,” katanya.

Melengkapkan majlis, Pfizer turut mengundang Naib Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria. Beliau yang juga Pensyarah Kanan dan Perunding Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia turut berkongsi pendapat mengenai kesan kemurungan dan tekanan mental.

“Kemurungan lazimnya menyebabkan seksaan jiwa dan mengganggu keupayaan seseorang melakukan tugas harian yang mudah. Orang yang menderita kemurungan mungkin berasa terasing dan tertewas. Inilah yang boleh mengubah segala aspek kehidupannya.

“Jika tidak dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal, masalah ini boleh membawa banyak kesan buruk lain antaranya sikap menyepi, hilang selera makan, perbuatan mencederakan diri sendiri dan tidak mustahil membunuh diri.

“Begitupun, sama seperti penyakit lain, masalah mental, sakit jiwa dan kemurungan masih boleh dirawat dengan ubat dan kombinasi terapi bersesuaian,” katanya.


MAKLUMAT kesihatan mental sebagai panduan.

Moodigo

1. Menetapkan matlamat

Anda boleh menetapkan matlamat yang hendak dicapai berserta langkah tindakan yang jelas untuk membantu mencapainya. Matlamat boleh ditentukan bagi satu kategori atau lebih termasuklah kategori kerja, rumah dan keluarga, atau aktiviti sosial. Matlamat ini boleh diubah selepas beberapa lama dan ditukarkan kepada tabiat yang membantu, sebagai rutin berterusan.

2. Menjejak mood

Suatu skala yang ringkas membenarkan pesakit menjejaki perasaan dirinya mengikut kesesuaian waktu masing-masing, sama ada beberapa kali sehari ataupun sekali-sekala sahaja. Alat penjejak mood ini penting untuk meningkatkan kesedaran pesakit terhadap emosi dirinya. Ia juga membolehkan laporan dibuat pada masa nyata dan memudahkan pola jangka panjang dikenal pasti.

3. Petua dan Direktori Kesihatan Mental

Petua menangani tekanan jiwa dan mencapai kehidupan yang lebih seimbang dengan menggunakan senarai tugas serta direktori pakar kesihatan mental tempatan. Aplikasi Moodigo boleh dimuat turun secara percuma ke dalam telefon iPhone (Apple App Store) dan Android (Google Play Store).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 2:34 PM