SUAMI isteri perlu bekerjasama terutama ketika Ramadan.
Siti Nadirah Hafidzin

Kedatangan Ramadan disambut penuh semangat dan keterujaan setiap umat Islam. Selain memperbanyakkan ibadat rata-rata wanita dilihat semakin sibuk dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga terutama menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

Wanita terutama yang bergelar isteri dan ibu pastinya tidak mahu melepaskan peluang merebut pahala melakukan tugasan harian di rumah walaupun pada siangnya sibuk dengan tuntutan tugas di pejabat.

Namun, sehebat mana pun wanita bergelar isteri pastinya mengharapkan bantuan dan kerjasama suami terutama dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga ketika bulan mulia ini.

Pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar berkata, apabila kedua-dua pasangan keluar bekerja, soal pembahagian tugas perlu dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan hubungan terbina berkekalan dan tidak terlalu membebankan isteri.

Menurutnya, jika pembahagian tugas tidak dilakukan dengan adil terutama ketika Ramadan, ia akan merosakkan keharmonian kekeluargaan yang terbina terutama apabila isteri banyak memendam rasa.

“Seperti yang semua sedia maklum, tugas wanita semakin bertambah pada Ramadan terutama bagi wanita yang bekerja. Sebaik saja pulang ke rumah, mereka terus bersiap sedia menyediakan juadah berbuka manakala sebelum tidur pula memastikan bahan untuk sahur disiapkan lebih awal untuk memudahkan kerja keesokan paginya.

“Ini belum masuk tugas hakiki menguruskan anak, mengemas rumah dan membasuh pakaian. Pastinya mereka berasa penat dan ramai wanita mengakui mengharapkan suami turut membantu dalam melaksanakan tugas di rumah supaya isteri juga dapat menunaikan ibadat terutama menunaikan solat Tarawih,” katanya.

Katanya, tugas di rumah sepatutnya perlu dilakukan bersama-sama demi mengecapi kebahagiaan sebenar dan tanpa ada rasa dendam mahupun keterpaksaan dalam hati.

“Suami idaman ialah yang dapat menenangkan isterinya dan memahami apa yang tersurat mahupun tersirat di sudut hati isteri bukanlah hanya memerintah atau duduk goyang kaki menghadap telefon pintar masing-masing.

“Disebabkan itu, jalan terbaik bagi lelaki ialah membantu isteri di mana yang patut. Jangan asyik duduk bersenang lenang apabila pulang ke rumah dan mengharapkan isteri menyediakan semuanya kerana isteri juga penat bekerja,” ujarnya.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, Mohd Hafiz Zahidi, 30, berkata, membantu isteri di rumah terutama ketika Ramadan antara perkara paling penting dan memainkan peranan terbesar dalam hubungan suami isteri.

“Isteri saya sering mengadu penat dan tertekan untuk menguruskan kerja rumah. Bagi saya ia adalah normal kerana isteri juga bekerja. Saya berusaha membantunya mengikut kemampuan diri.

“Saya akan mengemas rumah pada hujung minggu seperti menyapu keseluruhan kawasan. Sesekali saya juga cuba menyediakan hidangan di dapur kerana soal menjaga anak banyak diuruskan isteri,” katanya.

Menurutnya, biasanya sepanjang Ramadan, dia juga akan pastikan membantu membasuh pinggan dan mangkuk pada waktu malam juga kadang kala memberikan isterinya ‘cuti rehat memasak’ dengan membeli juadah berbuka di luar.

“Ini bukan soal takut kepada isteri tetapi bagi saya adalah cara untuk menghargai isteri. Lebih manis untuk kami melakukannya bersama-sama bagi mengelak sebarang masalah yang mungkin boleh terjadi pada kemudian hari.

“Syukur, hubungan kami semakin erat apabila mengamalkan kerjasama ini terutama pada bulan puasa di mana setiap individu berlumba-lumba mengumpul pahala masing-masing,” ujarnya.

MOHD Hafiz dan keluarga.

Sementara itu, bagi Armanorziha Abd Rahman, bantuan diberikan suami dalam menguruskan rumah tangga dapat meringankan bebanan dan menjadikan isteri lebih dihargai.

“Wanita kini banyak tanggungjawab sama ada di rumah mahupun di tempat kerja dan disebabkan itu juga bantuan suami terutamanya ketika Ramadan amat penting bagi merasai maksud sebenar perkahwinan iaitu perkongsian.

“Suami isteri bukan saja perlu berkongsi suka duka, malah perlu berkongsi melakukan tugas tidak kiralah menguruskan anak atau hal rumah tangga lain,” katanya.

Tambahnya, ia juga dapat mengurangkan tekanan yang dialami dan menambahkan kemesraan suami isteri.

ARMANORZIHA dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 2:39 PM