SENTIASA beri perhatian pada kebersihan dan penjagaan wajah.
SENTIASA beri perhatian pada kebersihan dan penjagaan wajah.
AKTIF menyertai majlis.
AKTIF menyertai majlis.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kelibat gadis cantik ini kerap muncul di majlis pertunjukan atau pelancaran jenama fesyen. Gayanya ringkas, namun membawa personaliti menawan dan sentiasa elegan.

Nama Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira mungkin tidak asing dalam kalangan mereka yang aktif di media sosial khususnya Instagram. Bijak memilih gaya, penampilan gadis berusia 20 tahun ini tidak pernah mengecewakan.

Meneliti sedikit latar belakang anak sulung daripada dua beradik ini, ternyata Sharifah Rose Sabrina bukan gadis sembarangan. Pelajar Asasi Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini pandai mencuri ruang dan peluang untuk mengukir kerjaya pada usia muda.

Selain aktif di media sosial, gadis ini juga menjadi peragawati sambilan dan menyandang tanggungjawab sebagai duta jenama pakaian Umma dan kosmetik Anasism.

Alang-alang bertegur sapa, Hati mengambil kesempatan bertanyakan berkenaan petua kecantikan gadis kelahiran Shah Alam ini. Katanya yang mesra disapa Rose, dia sukakan produk organik.

“Saya mula memberi perhatian kepada penjagaan diri seawal umur 16 tahun. Ketika itu, hormon mula tidak stabil dan muka mudah ditumbuhi jerawat. Suka atau tidak, sejak dari itulah saya mengambil inisiatif mencuba produk penjagaan kulit,” katanya.

Senang memilih produk sedia ada di pasaran, Sharifah Rose Sabrina berkata, dia selesa menggunakan tiga jenama kegemarannya.

“Kebiasaannya, saya akan mencuci muka sebaik bangun dan sebelum tidur. Saya juga menggunakan penyegar, pelembap dan mengekalkan rutin berpupur setiap tiga hari sekali.

“Satu rutin wajib yang akan saya lakukan setiap pagi adalah minum segelas air. Mungkin kerana tidur malam menggunakan penghawa dingin, tekak dan kulit mudah menjadi kering,” katanya sambil tersenyum.

Melihat cara gadis ini menjaga kebersihan diri, peralatan menyolek, rutin harian dan keseimbangan hidup, tidak hairan jika dia mampu kekal menyinar di platform digital pada masa akan datang.

Ketika gadis seusianya tidak mengambil berat soal penjagaan alat solek dan kesan solekan, Sharifah Rose Sabrina memastikan perkara yang dianggap remeh itu menjadi antara keutamaan penting buat dirinya.

“Untuk wajah sentiasa dalam keadaan baik, saya akan pastikan muka dalam keadaan betul-betul bersih sebelum mula bersolek. Selain itu, saya juga akan mencuci kelengkapan solekan seperti berus mengikut keperluan supaya kekal bersih.

“Selebihnya, sama seperti orang lain yang mengenakan mekap, saya juga akan pastikan muka dicuci bersih untuk mengelakkan liang pori tersumbat. Bagi Sharifah Rose Sabrina, petua untuk mendapatkan wajah berseri sentiasa berkait rapat dengan pemakanan seimbang dan tidur yang cukup.

“Jadi, kalau belajar dan pada masa sama bekerja, mungkin agak susah untuk tidur awal. Begitupun, saya akan cuba dapatkan tidur yang secukupnya,” katanya.

Tambahnya, dia percaya bahan semula jadi sentiasa menjadi pilihan terbaik kerana kurang pengaruh kimia yang boleh memudaratkan kulit dalam jangka panjang.

“Mungkin kita tidak nampak kesannya sekarang, tetapi dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita akan lihat kulit lebih cepat menjadi tua. Jadi, sebaiknya kurangkan penggunaan pelbagai produk penjagaan yang mudah dibeli di pasaran. Kekalkan pembersih wajah, penyegar dan pelembap saja.

“Saya juga meminjam petua emak yang mengamalkan pengambilan madu pada pagi dan malam sebelum tidur. Sebagaimana diketahui umum, madu memang mempunyai banyak manfaat dari segi kesihatan dan juga kecantikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 10:44 AM