MEMBAWA perunding kecantikan bercuti ke luar negara.
NURNABILAH bersama ribuan peserta yang menyertai kelas kecantikannya.
BERSAMA suami yang menjadi tulang belakang selama ini.
Siti Zarinah Sahib


Tinggi lampai orangnya. Berkulit cerah dengan sedikit solekan, dia kelihatan jelita walaupun hanya memakai blaus dan skirt yang pudar warnanya. Aura ditampilkan wanita ini sesuai personalitinya sebagai pengasas Beauty Cartel, satu jenama besar dalam industri perkhidmatan rawatan wajah bergerak.

Tatkala membuka bicara jelasnya, dulu dia tidak begini.

“Dulu saya berperwatakan kasar, berkulit sedikit gelap dan langsung tidak pandai bersolek. Wajah sentiasa kelat dan masam. Pakaian pula seperti lelaki, berseluar dan berkemeja bersama but panjang ketika melawat kawasan pembinaan,” kata Nurnabilah Nashruddin, 31, mengimbau kenangan lalu.

Namun untuk berubah daripada jurutera dengan gaji yang agak lumayan ketika itu, kepada jawatan penggosok muka di rumah bukanlah sesuatu yang mudah. Ditambah pandangan orang mengenai kerjaya yang tidak memerlukan ijazah tinggi turut mempengaruhinya.

“Saya berkelulusan ijazah kejuruteraan elektrik dari United Kingdom. Sebaik sahaja habis belajar saya bekerja selama tiga tahun sebagai jurutera. Selepas berada sendiri dalam bidang ini saya berasakan ia tidak sesuai dengan jiwa. Saya tertekan apabila sering pulang lewat ke rumah, bekerja di kelilingi lelaki yang ada kalanya memandang rendah keupayaan wanita serta dalam persekitaran kurang selesa,” katanya.

Akhirnya selepas berkahwin pada 2012 Nurnabilah tekad melepaskan jawatannya. Tanpa gaji bulanan dan hanya mengharapkan kewangan suami ketika itu sambil mula mencari kerjaya sesuai. Dia cuba menjalankan perniagaan pakaian tetapi tanpa pengalaman bisnes tidak bertahan lama.

Sifat Nurnabilah yang gemar berurut dan mempunyai hampir 30 tukang urut berbeza membuatkan suami mencadangkan agar dia membangunkan sendiri industri kecantikan sebagai perunding kecantikan bergerak.

Mulanya wanita ini kurang yakin, pelbagai persoalan bermain di fikiran. Apa kata keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan. Ada kelulusan tinggi tetapi akhirnya bekerja sebagai penggosok wajah.

“Lama saya berfikir dan mencari jawapan. Ketika itu saya langsung tidak berminat dalam industri kecantikan apatah lagi membelek wajah orang. Ia bukan sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi pandangan ini bertukar selepas bertemu satu produk dari Jepun. Jujur saya akui sebelum ini tidak pernah melakukan rawatan wajah di pusat kecantikan kerana prejudis bahan dan peralatan digunakan.

“Ya, saya sangat cerewet dan penakut. Bimbang jika produk tidak sesuai wajah semakin teruk. Tetapi selepas menggunakan produk ini saya dapat rasakan perbezaannya. Ia bagus kerana selain kualitinya pihak pengurusan juga menyediakan sesi latihan dan penerangan jelas mengenai produk sekiranya saya bercadang menggunakannya dalam sesi rundingan dengan pelanggan nanti. Mereka juga mempunyai khidmat pelanggan yang akan memberikan konsultasi sekiranya terdapat masalah berlaku kepada pengguna,” katanya.

MULA JADI PENGGOSOK WAJAH

Selepas sesi rundingan dan melengkapkan diri dengan ilmu kecantikan, bersama sebuah bagasi kecil Nurnabilah mula bergerak dari rumah ke rumah hanya berbekalkan peralatan merapi wajah. Walaupun ada individu melemparkan pelbagai kata-kata negatif namun Nurnabilah tidak mengendahkannya dia tetap menjalankan khidmat rawatan setiap hari selama 30 hari tanpa bercuti.

“Memang saya melakukannya bersungguh-sungguh. Tiada istilah berehat atau bercuti. Saya tidak mahu berlengah-lengah kerana saya percaya perniagaan ini mempunyai masa depan yang cerah,” katanya yang mula membina pendapatan lima angka dalam tempoh sebulan menjalankannya.

Pada masa sama, suami memberikan sokongan dengan menyediakan platform pemasaran menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram. Dia juga diajar cara membuat ‘live’ menerusi kedua-dua saluran ini kerana ia lebih meyakinkan pelanggan.

“Suami adalah tulang belakang saya. Dia banyak membantu dari segi pemasaran dan promosi serta pelan mengembangkan perniagaan. Bermula seorang diri, suami mencadangkan saya memperluaskan lagi perniagaan dengan membantu wanita memperkasakan diri mereka menerusi latihan sebagai perunding kecantikan,” katanya.

Tanpa berfikir panjang Nurnabilah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada latihan dan juga perkhidmatan sama ada berkumpulan atau perseorangan. Lebih meyakinkan setiap peserta diberikan sijil daripada pihak berwajib.

Selepas dua tahun, kini Nurnabilah memiliki hampir 2,000 perunding kecantikan di seluruh negara termasuk Indonesia. Lebih membanggakan kumpulan ini bukan sahaja terdiri daripada suri rumah tetapi golongan profesional seperti doktor, guru dan peguam.

“Kesemua perunding kecantikan kami sangat meyakinkan. Mereka tahu selok belok kecantikan wajah kerana sudah menjalani latihan amali. Produk dan peralatan pula dibekalkan daripada jenama antarabangsa dan diakui keberkesanannya. Tanpa kesilapan dan pastinya kesan serta-merta menjadikan khidmat perunding kecantikan bergerak sangat dinanti-nantikan,” katanya.

Menariknya perunding kecantikan juga tidak dihadkan keupayaan mereka sebaliknya dibenarkan memberi khidmat tambah untuk pelanggan seperti urutan badan atau berbekam. Ini dilakukan agar mereka mampu menambah kecekapan dan pengalaman.

Bukan itu sahaja, sejak membuka peluang wanita menjana pendapatan dia melihat lebih ramai yang dapat dibantu. Jika dulu mereka suri rumah biasa sahaja tetapi kini mampu memiliki apa yang diinginkan. Suami juga tidak terbeban kerana mendapat sokongan isteri. Jika dilakukan bersungguh-sungguh tidak mustahil mereka mampu membangunkan pusat kecantikan mereka sendiri.

“Dulu ketika mula mengusahakannya saya tidak pernah terfikir ia akan melalui fasa yang panjang. Apa yang ada di fikiran hanya ingin membina kerjaya sendiri tanpa dibelenggu ketetapan masa di pejabat dan bebas kerja. Tetapi selepas dua tahun, semakin ramai perunding kecantikan bergerak berjaya dihasilkan saya merasakan perlu merancang satu perniagaan yang membolehkan jenama ini menjadi lebih kukuh dan diyakini pengamalnya. Jadi setiap kelas yang dianjurkan sangat menepati silibus sendiri. Malah perunding perlu mengikut piawaian standard ditetapkan,” katanya.

Dalam waktu terdekat, Nurnabilah dan suami merancang membawa jenama ini ke Filipina dan berhasrat memberikan latihan kepada wanita di sana.

“Kami berharap dengan mengadakan sesi latihan lebih ramai perunding kecantikan bergerak dapat dilahirkan di sana. Selain Filipina, Indonesia juga adalah negara yang turut diberikan perhatian. Kami berharap dapat mengembangkan jenama ini sehingga ke luar negara. Insya-Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 9:38 AM