TENGKU Shaheera bergambar bersama kakitangan FOMEMA Sdn Bhd dan penerima sumbangan.
Siti Nadirah Hafidzin

Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Bagi berkongsi kegembiraan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, 150 anak yatim dan pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darus Syabab, Madrasah Al-Yateem Darul Furqon dan Maahad As-Sobirion Patoni diraikan, baru-baru ini.

FOMEMA Sdn Bhd tampil menghulurkan sumbangan dengan membeli kelengkapan baju raya melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan FOMEMA bagi tahun kedua berturut-turut.

Dengan membawa tema #SepasangBajuRayaMembawaSeribuMakna, program itu bukan saja membawakan kegembiraan malah membantu memberikan semangat untuk menyambut lebaran kepada setiap penerima.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah penerima yang diberi kesempatan keluar dan membeli kelengkapan baju raya mengikut pilihan masing-masing seperti kanak-kanak yang lain.

Ia bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan buat anak-anak yatim dan pelajar tahfiz daripada tiga madrasah ini memilih dan membeli baju raya sendiri apabila tiba lebaran.

Menurut Pengetua pusat tahfiz Muhammad Syahril, ia adalah program CSR pertama yang disertai anak-anak ini.

“Ada anak-anak yang seakan tidak percaya mereka dapat membeli baju raya pada tahun ini. Amat seronok melihat mereka dapat memilih sepasang baju Melayu atau jubah, songkok, samping dan kasut untuk digayakan pada hari raya nanti.

“Syukur atas bantuan diterima yang ternyata memberikan sinar kegembiraan buat semua anak-anak ini,” katanya.


PENERIMA sumbangan memilih baju raya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah FOMEMA Sdn Bhd Tengku Shaheera Tengku Abdullah yang turut hadir dalam program itu berkata, program itu diilhamkan sempena mengimarahkan Ramadan yang penuh barakah di mana umat Islam digalakkan untuk membuat kebajikan dan amal jariah terutama memberi bantuan kepada golongan memerlukan.

“Kami amat bersyukur kerana program ini sudah memasuki tahun kedua penganjuran yang menyebabkan kami mengambil keputusan untuk melebarkan kapasiti program kepada tiga rumah yang memerlukan pada tahun ini.

“Sejak tahun pertama dianjurkan iaitu tahun lalu, program CSR ini dilakukan dengan pemilihan rumah anak-anak yatim yang berlainan untuk menyertai program ini setiap tahun.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama yang positif dari Jabatan Perhubungan Pelanggan, Mydin Mall, program ini dapat dijalankan dengan lancar buat tahun yang kedua,” ujarnya.

Tambahnya, besar harapan pihaknya supaya program inisiatif Ramadan terus berkembang untuk memberi sumbangan lebih besar kepada lebih banyak rumah anak-anak yatim pada tahun akan datang.

“Walaupun mungkin bagi kita sumbangan ini tidak sebesar mana kerana hanya memberi sepasang baju raya dan kelengkapan pakaian lain, tetapi ia amat besar maknanya bagi anak-anak yang sudah kehilangan orang yang tersayang.

“Saya berharap sumbangan ini dapat memberikan senyuman dan sambutan hari raya pada tahun ini akan lebih bermakna buat anak-anak yatim dan pelajar tahfiz,” katanya.

Program itu diakhiri dengan sesi penyampaian duit raya dan penyerahan sumbangan barang-barang keperluan lain disampaikan Tengku Shaheera kepada anak-anak yatim dan pelajar tahfiz dan juga wang sumbangan kepada setiap pusat tahfiz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:46 AM