PENILAIAN masalah kulit pelanggan dibuat terlebih dulu sebelum memulakan rawatan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Tompok gelap, jeragat dan ton kulit tidak sekata sering menjadi kebimbangan setiap orang dan bagi mengembalikan kecantikan kulit, pelbagai jenis produk penjagaan dicuba.

Hakikatnya, semakin meningkat usia, kulit wajah juga akan jadi berusia. Tanda penuaan atau sebarang masalah kulit lain akan mula menampakkan kesannya.

Malah beberapa faktor seperti gaya hidup dan pendedahan terlalu lama kepada cahaya matahari yang mengandungi sinaran ultra ungu (UV) juga mempercepatkan proses penuaan dan pigmentasi.

Bagaimanapun, masalah kulit boleh diatasi sekiranya setiap orang mengetahui keadaan sebenar kulit mereka dan mendapatkan rawatan serta penjagaan yang bersesuaian.

Kedutan, jerawat dan jeragat adalah masalah biasa dihadapi seiring peningkatan usia. Menerusi inovasi dan kemajuan teknologi, kini terdapat rawatan pantas dan selamat yang boleh memberikan hasil dan berkesan dalam mengatasi masalah itu.

Rawatan dermapen iaitu suntikan jarum antara rawatan yang boleh membantu mengurangkan kemunculan kedutan, parut, kesan regangan dan parut jerawat secara semula jadi dan tidak menyakitkan.

Menggunakan pelbagai jarum mikroskopik untuk menembusi lapisan permukaan kulit, dermapen mewujudkan corak luka yang sangat kecil untuk memecahkan rantaian kolagen lama dan mencetuskan proses penyembuhan untuk meratakan kemunculan kedut, parut dan bekas jerawat.

Jarum pakai buang boleh laras digunakan pada dermapen untuk menampung kawasan berbeza pada kulit yang memerlukan tahap penembusan berbeza untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Ia adalah satu kaedah meremajakan kulit untuk mengembalikan penampilan kulit sihat dengan kesan sampingan yang minimum.

Di MBH Medispa, pusat rawatan kecantikan itu antara terawal menawarkan kaedah dermapen untuk membantu pelbagai masalah kulit.

Terbaru, butik kecantikan itu menawarkan kaedah rawatan terkini iaitu Skin Growth Factor (SGF) yang berkesan merawat masalah parut dan kerosakan kulit dan dikatakan 10 kali ganda berkesan berbanding rawatan parut yang lain.

Rawatan SGF yang berlangsung selama dua jam 30 minit itu dapat membantu merawat jeragat, parut jerawat, kedutan dan kulit kusam dengan berkesan.

Kesannya boleh dilihat selepas seminggu iaitu sebaik kulit bertindak balas dengan esen khas yang diletakkan pada permukaan kulit ketika rawatan menghasilkan sel kulit baru dan membuang sel kulit mati.

Menurut pengasasnya Yaya Mohammad, meskipun rawatan itu menggunakan kaedah sama iaitu dermapen, namun kehadiran esen EGF (faktor pertumbuhan epidermis) memberikan tempoh pemulihan lebih pantas berbanding sebelum ini.

Katanya, rawatan menggunakan esen digabung bersama teknik jarum mikro berfungsi mempercepatkan proses penyerapan bahan itu di setiap lapisan kulit.

“Proses ini juga akan menghasilkan lebih banyak protein dan akhirnya merangsang semula kolagen di bawah lapisan kulit,

“Dengan merangsang peredaran darah, pertumbuhan kolagen pada kulit semakin meningkat dengan lebih cepat dan pantas menutup lekuk parut, pori yang terbuka dan masalah kulit yang dikenal pasti.

“Berbanding penggunaan serum sebelum ini, rawatan yang dinaik taraf ini menggunakan esen yang kepekatannya lebih tinggi berbanding serum. Selain itu masker EGF turut digunakan dan gel aqua yang mengandungi asid hialuronik berfungsi mempercepatkan penyembuhan kulit.

“Proses pengelupasan minimum kemudiannya mampu menghasilkan kulit baru yang bebas kusam dan menjadikan wajah lebih cerah dan berseri secara semula jadi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setiap individu yang ingin mendapatkan rawatan menghilangkan parut, jerawat atau masalah berkaitan akan diberi penerangan jelas mengenai kaedah yang paling bersesuaian dengan kulit mereka.

Ini kerana, tidak semua orang boleh mendapat rawatan ini terutama bagi mereka yang mempunyai jerawat masih aktif, mengambil ubat tertentu, kencing manis serta penyakit membabitkan sistem darah.

Katanya, pada dua hingga tiga hari pertama, kulit akan sedikit kemerahan. Pesakit akan diberikan tatacara penjagaan kulit selepas menjalani rawatan. Tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya pesakit mengikut dengan teliti tatacara yang diberikan.

“Konsep kaedah ini adalah kita [rosakkan’ kulit untuk hasilkan kulit baru yang lebih elok dan menggalakkan kolagen kulit,” katanya.

Menurut Yaya, penjagaan selepas rawatan juga amat penting bagi memastikan keberkesanannya dan pelanggan harus mengikuti setiap saranan dan panduan yang diberikan oleh ahli terapi.

Paling penting adalah mengelakkan terdedah pada cahaya matahari selama seminggu selepas rawatan dan mereka digalakkan memakai topi dan topeng muka jika keluar.

Selain itu, pelanggan turut dinasihatkan untuk minum air yang mencukupi iaitu sebanyak tiga liter sehari dan dilarang menggunakan sebarang produk penjagaan kulit selain yang disarankan.

Selepas rawatan juga, pelanggan tidak boleh mengambil sebarang minuman kesihatan atau suplemen kerana rawatan ini membabitkan proses dalaman atau lapisan kulit paling dalam yang mungkin akan mempengaruhi keberkesanan rawatan.

1. BERSIHKAN kulit wajah daripada solekan diikuti mencucinya dengan pembersih wajah.

2. SAPUKAN ubat kebas di seluruh wajah dan dibalut selama 30 minit dan tanggalkan.

3. RAWATAN menggunakan dermapen dimulakan.

4. ESEN diletakkan sepanjang proses.

5. SELEPAS selesai, topeng wajah khas dipakaikan selama 10 minit.

6. TERAPI cahaya LED (merah) selama 15 minit.

7. GEL aqua diratakan pada bahagian rawatan diikuti aplikasi krim tabir suria SPF50.

WAJAH selepas rawatan akan kemerahan sedikit selama dua hari ke seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 2:22 PM