Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Tahun ini tema tradisional bakal mewarnai kemeriahan lebaran. Busana baju kurung, kurung Pahang, kebaya dan peplum menjadi antara rekaan pilihan wanita. Namun busana tanpa solekan ibarat irama dan lagu, jika tidak segandingan nampak pincang dan kurang menyerlah. Untuk itu pentingnya memadankan busana dengan pilihan rona solekan sesuai terutama untuk gaya klasik.

Bagi wanita yang gemarkan kesederhanaan dalam solekan, tetapi cukup berseri dengan aura semula jadi, mungkin boleh mencuba solekan klasik yang memberi tumpuan kepada mata dan bibir. Mata memainkan peranan penting kerana di situlah tumpuan diberikan manakala solekan bibir akan menyerlahkan keperibadian anggun wanita.

Menurut jurusolek profesional Yann Rifft, sesuai tema warisan yang diketengahkan sepatutnya gandingan rona alat solek perlu diberi keutamaan agar kena penampilan.

Klasik mengambil kira pemilihan warna pembayang mata dan gincu.

“Bayangkan wanita pada era 50-an tampil menawan menerusi kebaya pendek, rambut disanggul rapi dengan calitan gincu rona merah terang atau merah pulasan. Kelihatan cukup klasik dan menawan. Gaya ini jika dikembalikan bukanlah bermakna perlu tampil 100 peratus dengan teknik solekan yang sama. Ia boleh disesuaikan mengikut trend masa kini,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar Yann, teknik solekan asas seperti penggunaan bedak asas tetap sama iaitu tidak terlalu tebal tetapi masih berfungsi melindungi cela wajah. Ini bagi memberikan kesan segar kepada wanita apatah lagi solekan ini biasanya digayakan pada hari raya pertama. Dalam keadaan cuaca panas dan membahang sudah pasti warna yang tebal akan membuatkan ia mudah cair disebabkan peluh.

“Jadi untuk bedak asas, pilih rona sedikit gelap berbanding warna kulit. Sapu ke seluruh wajah kemudian litupi bedak debu dan kompak supaya rona kulit lebih sekata,” katanya.

Untuk pembayang mata pula bagi serlahan menawan pilih tiga warna seperti rona coklat cerah, merah pulasan terang dan gelap. Mulai dengan sapuan cerah bermula dari garisan bulu mata sehingga ke bawah kening. Kemudian, sapukan pembayang mata dengan ton sederhana cerah.

“Ton sederhana cerah adalah definisi kepada warna alami, jadi anda tidak perlu meratakan pembayang mata itu. Untuk tampak lebih gelap, sapuan pembayang mata ton gelap di garisan mata yang berkedut bagi menampakkan warna lebih sekata.

“Kemudian gunakan celak rona gelap untuk menggariskan sepanjang hujung kelopak mata. Pastikan garisan yang dioles menggunakan celak pada bahagian atas kelopak mata dan bawah garisan bulu mata bertemu pada hujung mata,” katanya.

Kata Yann, untuk mendapatkan garisan celak yang kemas, bersih dan cantik memang sedikit sukar terutama jika baru kali pertama membentuknya. Untuk itu pastikan garisan mata kering terlebih dahulu kerana jika tidak ia akan menyebabkan sapuan mata comot di sekitar kelopak mata. Kemudian gunakan pelentik bulu mata sebelum memakai maskara.

“Maskara yang berfungsi untuk melebat dan menghitamkan bulu mata tidak boleh ditinggalkan. Ini kerana ia langkah utama mendapatkan mata menawan dan tampak elegan. Terutama jika anda memilih untuk menggayakan solekan klasik pada pagi lebaran,” katanya.

Akhir sekali hiasi dengan pemerah pipi merah jambu pada bahagian atas tulang pipi. Kemudian layangkan gincu merah terang bagi menyudahkan solekan klasik.

“Sebelum sapuan pastikan anda menggunakan pensel bibir dan melukis bahagian luar bibir. Bentukkan bibir menjadi lebih mungil dan seksi. Ratakan dengan gincu pilihan bersama sedikit pengilat bibit,” katanya.


1. SAPUAN bedak asas sangat penting untuk mendapatkan warna kulit sekata. Ratakan dengan bedak debu dan kompak.

2. PILIH warna merah pulasan untuk pembayang mata. Sapu ke seluruh bahagian kelopak mata.

3. AMBIL celak buat garisan pada bahagian atas garis kelopak mata.

4. LAYANGKAN maskara untuk kesan bulu mata lebih lentik dan lebat.

5. PEMERAH pipi rona merah jambu menjadikan solekan tampil segar.

6. SAPU gincu merah terang ratakan ke seluruh bahagian bibir.

7. GAYA elegan klasik untuk tatapan pagi lebaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 3:46 PM