DR Riza
Yusliza Yakimir Abd Talib

Susu dikenali manfaatnya terhadap kesihatan kerana kandungan gizinya untuk semua peringkat usia terutama bagi pertumbuhan tulang dan gigi yang kuat.

Kandungan kalsium yang dimiliki antaranya mencegah osteoporosis, menghindarkan kerosakan gigi, membantu pertumbuhan kanak-kanak, menggalakkan kesihatan usus dan pelbagai manfaat kesihatan lain.

Bagaimanapun, tahukah anda susu bukan hanya memberi manfaat kesihatan terhadap tubuh apabila diminum malah khasiatnya menggamit pelbagai pusat rawatan kecantikan menggunakannya sebagai bahan dalam rawatan kecantikan.

Susu juga banyak dijadikan sebagai bahan dalam produk perawatan kecantikan atau kosmetik yang banyak terdapat di pasaran.

Khasiat susu sememangnya terkenal dalam membantu menyerlahkan kecantikan wanita. Contohnya amalan mandi susu diamalkan sebagai ritual kecantikan bagi melembutkan kulit sejak zaman Cleopatra yang menggunakan susu sebagai bahan mandian untuk menjadikan kulit lebih halus dan cantik.

Di Butik Kecantikan Ariana Ming, rawatan wajah Cleopatra yang berasaskan susu dan yogurt memberi banyak manfaat pada wajah antaranya melicinkan dan meremajakan kulit.

Pengasasnya Dr Riza H Razali berkata, khasiat susu sudah diketahui dan diamalkan sejak turun-temurun dan menerusi rawatan itu, ton warna kulit dapat diratakan di samping mengurangkan lingkaran hitam sekeliling mata.

BERSIHKAN wajah daripada solekan dan cela.

Menurutnya, kandungan asid laktik pada susu juga amat baik dalam melawan jerawat dan ia juga berfungsi sebagai pengelupas yang dapat mengurangkan kemerahan dan menghilangkan noda hitam, sementara lipid semula jadi pula melembapkan kulit wajah.

“Campuran yogurt juga digunakan dalam rawatan ini untuk mengecilkan pori wajah.

“Untuk memulakan rawatan, pembersihan wajah daripada solekan dan cela dimulakan diikuti teknik mikro derma abrasi iaitu menggunakan teknik pengelupasan berlian dan lampu LED yang dapat membantu menggilap kekusaman kulit serta memperbaiki kolagen kulit.

“Teknik pengelupasan juga digunakan untuk membantu menyedut dan membuang lapisan kulit mati,” katanya.

TEKNIK mikro derma abrasi menggunakan lampu LED.

Bagi langkah seterusnya Dr Riza berkata, teknik ultrasonik digunakan agar pembersihan mendalam dapat dilakukan.

Menerusi langkah ini, pemancar ultrasonik digunakan apabila peringkat ini bergerak perlahan di permukaan kulit mampu membersihkan pori wajah yang tersumbat.

Katanya, teknik ini terbukti membantu mengurangkan rasa sakit dan pembengkakan selain dapat meningkatkan pengeluaran kolagen, menegangkan kulit dan untuk membantu regenerasi sel agar lebih cepat yang membuatkan kulit tampak lebih muda.

TEKNIK ultrasonik untuk pembersihan mendalam .

“Seterusnya, adalah pemakaian pupur organik berasaskan susu dan yogurt. Fungsi susu dalam rawatan ini melembutkan dan menghaluskan kulit. Campuran pati aromaterapi dari bunga-bungaan menambahkan lagi kesan terapeutik yang menenangkan.

“Pati susu dan yogurt pula melembapkan kulit. Campuran bahan diusapkan pada setiap sisi wajah sambil urutan secara perlahan dan dibersihkan menggunakan dengan tuala lembap suam,” katanya.

PUPUR organik berasaskan susu dan yogurt disapu ke wajah.

Menurutnya, kulit wajah kemudian disapu pupur berasaskan mutiara dan cebisan bunga mawar kering. Bunga mawar membantu menenangkan minda malah sifat antioksidannya juga membantu meningkatkan dan memperbaiki kulit letih untuk kelihatan segar serta sihat.

Katanya, pupur ini dapat memberikan kesegaran pada kulit, mencerahkan dan memberikan nutrisi pada kulit agar selalu segar, lembut dan halus.

WAJAH dibersihkan dan urutan ringan dilakukan.

Pupur yang mengandungi susu dan mutiara ini juga katanya bagus untuk perawatan kulit, mencerahkan, menghaluskan dan membuat kulit semakin berseri.

Rawatan ini kemudian diakhiri dengan menyapukan penyegar, pelembap dan pelindung suria.

PUPUR berasaskan mutiara serta cebisan bunga ros kering disapu ke wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 11:49 AM