KERABU daging.
Intan Mas Ayu Shahimi

Jemu dengan rendang, lemang, ketupat dan serunding, ramai ibu mula mencari idea resipi menarik, ringkas dan mudah disediakan. Berbanding hidangan berat lain yang biasa dimasak sepanjang meraikan lebaran, kerabu dan salad pastinya mudah mencuri tumpuan serta membuka selera seisi keluarga.

Cef Selebriti, Cef Norzailina Nordin mencadangkan hidangan ringkas, sihat dan menyelerakan untuk diolah mengikut kesukaan pada lebaran kali ini. Salad suhun dan daging Kimball ini boleh dijadikan hidangan pembuka selera tidak kira ketika makan tengah hari ataupun sebelah malam. Katanya, semua bahan untuk resipi itu boleh disediakan lebih awal dan disimpan di dalam peti sejuk.

“Jika memilih daging, bahagian paling mudah dimasak adalah batang pinang. Tetapi, jika ada waktu terluang pada hujung minggu, kita boleh merebus daging biasa dan diasingkan kuantitinya mengikut keperluan sajian.

“Daging siap rebus biasanya boleh dibuat kerabu, kari, goreng sambal dan sebagainya. Air rebusan juga boleh disimpan untuk kegunaan memasak sepanjang minggu,” katanya.

Jelas Cef Lin, salad berkenaan cukup sesuai dijadikan pengganti hidangan berat sepanjang Aidilfitri. Tambahan ketika ini masih banyak yang menyimpan lebihan daging di dalam peti sejuk.

“Apabila teringin hidangan berlainan, gaulkan saja semua bahan yang kita sudah sediakan dan hidang. Ada sesetengah individu kurang berselera menjamah nasi kerana terlalu banyak menikmati hidangan berat sepanjang hari raya. Salad ini juga enak dimakan bersama roti.

“Bagi yang tidak sukakan daging, mereka boleh gantikan dengan udang, ayam, isi ikan dan sebagainya,” katanya.

BAHAN-BAHAN

(Sos)

• 3 sudu besar jus limau nipis

• 1 sudu besar Sos Berperisa Tiram Kimball

• 1 sudu besar Sos Cili Thai Kimball

• 2 sudu besar gula

(Kerabu)

• 1 sudu besar minyak

• 200g daging lembu, potong nipis

• 50g suhun, celur 1 minit dan disejat

• 2 ulas bawang putih, dicincang halus

• 1 biji bawang ungu, dihiris nipis

• 4 biji cili burung, dihiris halus

• 1/2 batang lobak merah kecil, diparut halus

• 20 biji tomato ceri, dipotong dua

• 1/2 cawan daun ketumbar, dipotong

• 1/4 cawan kacang tanah panggang

Tip cef: Boleh gunakan dada ayam sebagai alternatif

LANGKAH-LANGKAH


1. BAHAN-bahan.

2. PANASKAN minyak. Gaul daging dengan garam dan lada hitam.

3. GORENG selama lima minit. Angkat daging.

4. CELUR suhun. Angkat dan sejukkan.

5. GUNAKAN mangkuk bersaiz besar, masukkan semua bahan untuk sos dan gaul rata.

6. MASUKKAN bawang, diikuti lobak, separuh hirisan daun ketumbar dan gaul.

7. MASUKKAN suhun yang dipotong bersama daging dan tomato ceri.

8. HIDANGKAN kerabu bersama taburan kacang dan daun lebihan daun ketumbar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 6:04 PM