RUZITA.
Siti Nadirah Hafidzin

Pengalaman bekerja hampir 24 jam sehari demi mencari sesuap nasi membesarkan dua cahaya mata menjadi pemangkin semangat kepada wanita berjiwa kental ini untuk terus berjaya dalam bidang diceburinya.

Ketika itu, pada waktu siang, Ruzita Jamaludin, 43, bertugas sebagai pemandu van sekolah dan pada masa sama menjual pelbagai produk secara dalam talian, menjadi dropship beraneka jenama, mengurut termasuk urutan selepas bersalin sementara pada sebelah malam pula menjadi tukang masak di sebuah hotel.

Walaupun hidupnya sangat perit dan susah, dia tetap teguh berdiri untuk membuktikan rezeki tidak akan datang sendiri tanpa usaha serta pengorbanan.

Hari ini, wanita berasal dari Gemas, Negeri Sembilan yang menetap di Puchong, Selangor ini mampu tersenyum puas kerana hasil usaha dan pengorbanannya sedikit sebanyak membuahkan hasil apabila dia berjaya dalam bidang pilihannya sebagai pengusaha pusat kecantikan selain menjadi guru pemasaran perniagaan.

Bagi Ruzita, selepas mengharungi pelbagai suka duka kehidupan, dia kini nekad berkecimpung dalam perniagaan berasaskan kecantikan dan kesihatan.

“Saya mempunyai kemahiran mengurut diwarisi daripada arwah nenek yang juga bidan kampung terkenal suatu ketika dulu. Kemahiran inilah saya gunakan sebaik mungkin untuk terus berjaya.

“Memilih bidang ini atas faktor ingin membantu ramai individu menjadi lebih sihat, cergas dan dapat memberi manfaat kepada individu memerlukan,” katanya.

TEGAS dan komited dalam kerjaya.

Ruzita berkata, walaupun sudah mempunyai kemahiran, dia tidak pernah berpuas hati dan terus menambah ilmu dalam bidang berkenaan.

“Syukur, saya sudah memiliki sijil dan kelayakan yang diiktiraf bagi membolehkan saya melebarkan sayap perniagaan dalam bidang diceburi.

“Saya juga sangat gembira kerana spa yang beroperasi di Bandar Bukit Puchong mendapat sambutan memberangsangkan sejak dibuka,” ujarnya.

Angkat imej tukang urut

Selain mengusahakan spa, Ruzita turut aktif mengadakan kelas pengendalian spa dan sangat membanggakan apabila dia berjaya mendidik lebih 300 pelajar Mobile Spa Mawar Putih Satu Malaysia.

“Perkhidmatan ini untuk memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini mempelajari pelbagai kemahiran dan rawatan yang ditawarkan untuk sesebuah spa.

“Saya juga memberi tunjuk ajar kepada ibu tunggal secara percuma berkenaan kaedah membaiki kehidupan terutama untuk menjana sumber ekonomi diri dan keluarga,” katanya.

Ruzita berkata, dia juga aktif membuka kelas pemasaran dalam talian juga membuat program jelajah untuk membantu lebih ramai peniaga yang mahu menjana jualan perniagaan.

“Semua ini bukan saja untuk membantu namun saya lakukan bagi memastikan ilmu yang ada dapat dikongsi dengan lebih ramai individu.

“Syukur, anak didik saya sudah ramai yang berjaya dan membuka spa sendiri selain pelbagai pencapaian membanggakan yang lain,” ujarnya.

RUZITA manfaatkan kemahiran mengurut diwarisi daripada neneknya.

Katanya, dia turut membantu mengadakan kelas secara peribadi bagi mendedahkan penggunaan media sosial untuk memasarkan sesuatu jenama.

“Saya gembira apabila ramai anak tempatan terutama generasi muda yang maju dalam bidang perniagaan tidak kira dalam apa juga cabang perniagaan. Saya lakukan semua ini hanya untuk membantu selain meluaskan ilmu dan kemahiran yang saya ada,” katanya.

Untuk berjaya bukanlah perkara mudah kerana memerlukan kekuatan dari semua aspek bagi memastikan perjuangan dilakukan tidak terhenti separuh jalan.

Begitu juga dengan Ruzita yang tidak lari dengan dugaan yang perlu ditempuhinya untuk dia berjaya hingga ke tahap ini.

“Pelbagai dugaan pernah saya lalui hingga pernah jatuh sakit akibat hasad dengki namun tetap kuatkan hati serta fokus dengan niat saya itu.

“Saya juga perlu kuat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap tukang urut dan mahu berusaha menaikkan martabatnya di negara ini,” katanya.

Ruzita berkata, harapannya dalam bidang diceburi untuk melihat lebih ramai generasi pelapis yang menceburkan diri dalam bidang spa.

“Selain menjana pendapatan, bidang ini dapat membantu ramai individu terutama untuk kekal cantik dan sihat menggunakan teknik rawatan yang betul.

“Saya juga dalam perancangan membuka sebuah pusat kemahiran kecantikan dan ingin terus berkongsi segala ilmu serta kemahiran yang ada,” ujarnya.

BERUSAHA mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 3:17 PM