PELBAGAI gelagat peserta yang mengambil bahagian.
PELBAGAI gelagat peserta yang mengambil bahagian.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Gelagat peserta berpakaian warna-warni dan kreatif memeriahkan larian dan kelihatan mereka begitu teruja serta tidak terasa penat meskipun menyertai larian sejauh 10 kilometer (km).

Inilah gambaran suasana acara larian amal, Bolathon dan jalan kaki dengan pakaian bertema, Masquerade Walk anjuran Persatuan Kebajikan Hope Worldwide Malaysia (Hope Worldwide) di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, baru-baru ini.

Acara sempena sambutan pertandingan Bola Sepak Piala Dunia 2018 itu juga diadakan bagi mengutip dana untuk badan kebajikan berkenaan.

Dalam acara meriah itu terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu jalan dengan pakaian bertema sejauh tiga km dan larian bebas 10 km.

Acara empat tahun sekali itu menarik 1,500 peserta untuk mengumpul dana bagi rakyat Malaysia yang memerlukan untuk mendapat akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan kesejahteraan umum dan sejumlah RM156,750 sumbangan diraih dalam acara itu.

Selain itu, turut diadakan acara cabutan nombor bertuah serta pelbagai program menarik dijalankan untuk peserta.

Semua peserta larian dilepaskan oleh Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming serta Pengarah Negara Hope Worldwide Malaysia, Darick Wang.

Wang berkata, pihaknya gembira kerana acara kali ini menarik penyertaan 1,500 peserta daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa.

ANTARA sumbangan yang diterima.
ANTARA sumbangan yang diterima.

Katanya, acara kali keempat sejak 2006 itu diadakan sempena penganjuran acara bola sepak terulung, Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung di Russia.

“Kami gembira acara amal bagi mengumpul dana ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan tidak sabar untuk mengadakan acara sebegini pada kejohanan akan datang.

“Meskipun terpaksa mengorbankan waktu tidur dan datang ke sini seawal jam 6 pagi, peserta tidak kira dewasa mahu- pun kanak-kanak tetap komited.

“Semua dana yang dikumpul akan disalurkan kepada program amal kami dan harapan saya semoga masyarakat negara ini kekal menjalani kehidupan aktif serta pada masa yang sama prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan,” katanya.

Menutnya, kutipan dana itu juga disifatkan sebagai kejayaan besar buat pertubuhan itu kerana mencapai sasaran yang ditetapkan.

Katanya, selama bertahun-tahun, acara ini berkembang menjadi sesuatu yang istimewa untuk menantikan setiap tahun Piala Dunia berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 2:05 AM