MAS Munira menyusun beg poli sebelum menanam benih tanaman.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Memanfaatkan halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan panorama indah serta menyejukkan pandangan.

Tambahan pula dalam kehidupan serba pantas ini, hobi berkebun boleh dijadikan sebagai salah satu terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Bagi Mas Munira Khalid, 33, pembabitannya dalam perniagaan baja dan kawalan serangga sejak 10 tahun lalu memupuk minat dalam berkebun serta menanam sendiri sayur-sayuran.

Dirinya cukup bertuah apabila suami yang turut menjadi tulang belakang perniagaan KG Fertigasi juga berkongsi minat yang sama dan kini tanaman yang diusahakan turut menjadi punca pendapatan mereka.

“Asalnya, selepas tamat belajar 10 tahun lalu, bapa saya tubuhkan perniagaan itu untuk saya, kakak dan adik usahakan. Selepas berumah tangga, hanya saya yang meneruskan perniagaan itu bersama suami.

“Bidang ini ada kaitan juga dengan tanaman, jadi lama-kelamaan baru tercetus minat dan hobi untuk bercucuk tanam. Boleh dikatakan minat itu tercetus selepas beberapa lama terbabit dalam bidang ini,” katanya.

Jelasnya, sejak mula menanam sayur sendiri di rumah, banyak kelebihan dan manfaat yang diperoleh antaranya dia tidak lagi perlu membelanjakan wang untuk membeli sayur di pasar.

Malah katanya, dengan menanam sendiri, kita tahu bahan apa yang digunakan seperti baja dan kawalan serangga dan kulat pada tanaman.

Katanya, jika membeli di luar, kita tidak tahu jenis baja dan kawalan serangga yang digunakan sama ada ia mengandungi bahan kimia berbahaya atau tidak.

MINAT berkebun bercambah selepas mengusahakan perniagaan fertigasi.

“Kalau beli sayur di pasar, sesetengahnya tidak terjamin sama ada bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sendiri di rumah.

“Hasil tanaman pula ada yang digunakan sendiri dan dijual di pasar. Menariknya, saya menggunakan baja buatan sendiri yang dikeluarkan syarikat kami yang sememangnya bebas daripada bahan kimia.

“Daripada sekadar hobi dan mengisi masa terluang, kebun dapur saya kini bukan saja membantu menambah pendapatan keluarga malah menjimatkan belanja dapur kerana tidak perlu lagi membeli sayur.

“Sebenarnya berkebun juga mampu menjadi sumber pendapatan keluarga. Kita dapat menjimatkan kos barang dapur dengan menanam sendiri sayur-sayuran di rumah.

“Tak perlukan kawasan tanah yang luas pun, hanya sedikit ruang dan idea kreatif, kita sudah boleh menjana makanan sendiri dari dapur,” katanya.

Wanita berasal dari Batu Pahat, Johor ini berkata, dia turut menyertai kumpulan mengenai tanaman dan kebun di Facebook dan banyak membantu berkongsi ilmu mengenai kaedah penanaman yang betul.

Mas Munira berkata, petua menjaga tanaman adalah dengan ilmu. Ramai orang gagal menanam sebab kurang ilmu dan paling asas adalah baja iaitu makanan yang kita beri pada pokok.

Selain itu katanya, ubat, vitamin atau suplemen misalnya kawalan serangga, mencegah dan merawat pokok serta kawalan kulat adalah perkara paling penting perlu diberi perhatian.

“Kadang-kadang orang ambil mudah perkara ini, sebab itu tanaman tak menjadi atau gagal.

“Bagi saya, apa yang penting kita perlu gembira dengan aktiviti menanam ini dan berdoalah pada Allah supaya tanaman subur dan dapat mengeluarkan hasil yang banyak,” katanya.

ANAK pokok turut dijual bagi menambah pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 1:59 PM