Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Bertemakan 'Kami kecil dan bercahaya, mohon jangan lupakan kami,' Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) melancarkan sambutan Hari Kelip-Kelip Sedunia sebagai sebahagian inisiatif global yang baru untuk mewujudkan kesedaran berkenaan kumbang itu yang juga bahagian penting dan bermanfaat dalam landskap teknologi.

Sambutan julung kali itu dianjurkan selama dua hari di Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor, baru-baru ini yang terkenal dengan keajaiban kelip-kelip dan destinasi pelancongan yang membabitkan komuniti setempat. Antara pengisian program seperti pameran, aktiviti bersama penduduk, pelajar sekolah dan pengendali bot.

Pada masa sama, MNS turut melancarkan inisiatif memperkasakan komuniti setempat terbaru dikenali Pusat Aktiviti Kesedaran Alam Sekitar (PAKAS). Inisiatif ini menumpukan kepada kehidupan komuniti setempat berhampiran kawasan sensitif alam sekitar di kawasan luar bandar.

Presiden MNS, Henry Goh berkata, sambutan Hari Kelip-Kelip Sedunia dianjurkan untuk menggilap semula populariti kelip-kelip atau kunang-kunang yang berperanan sebagai petunjuk kesihatan ekosistem dan biodiversiti, selain menjana pendapatan untuk penduduk menerusi pelancongan.

"Kampung Kuantan adalah contoh utama di mana penduduknya terbabit dalam kegiatan ekopelancongan. Lawatan malam untuk melihat kelip-kelip dengan menaiki bot yang dimulakan sejak awal 1970-an mendapat sokongan MNS dalam bentuk promosi dan perlindungan kawasan habitat kelip-kelip.

"Ini adalah tumpuan MNS dalam memperkasakan komuniti inisiatif daripada PAKAS. Malah, kami juga berupaya membantu komuniti setempat dalam pembinaan kapasiti selari dengan amalan tadbir urus hutan yang baik menerusi PAKAS," katanya.


dari kiri Azman, Mohd Rizan dan Goh pada majlis pelancaran sambutan Hari Kelip-Kelip Sedunia.

Sambutan itu juga menyaksikan pembentukan Komuniti Kelip-Kelip apabila aktiviti dianjurkan dengan kerjasama kumpulan lain di bawah MNS iaitu Komuniti Tanah Lembap, Komuniti Laluan Burung Hijrah dan Komuniti Hidupan Liar.

Goh berkata, pihaknya berharap sambutan hari berkenaan akan menjadi pendorong kepada masyarakat untuk menghargai kepentingan kelip-kelip di samping usaha MNS itu akan memastikan kumbang yang mengeluarkan cahaya sendiri ini tidak akan pupus.

Acara perasmian pelancaran Hari Kelip-Kelip Sedunia dan Komuniti PAKAS disempurnakan Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azman Dahlan. Turut hadir, Penghulu Mukim Pasangan, Mohd Rizan Haron.

Menurut Azman, habitat kelip-kelip secara tidak langsung menjana pendapatan kepada penduduk setempat termasuk komuniti di sekitarnya menerusi aktiviti memerhati kelip-kelip.

"Berdasarkan laporan MDKS, hingga April tahun ini seramai 20,000 pengunjung membeli tiket untuk lawatan menaiki bot dan ini membolehkan pengendali bot memperoleh kutipan kira-kira RM250,000.

"Bagaimanapun, banyak lagi yang boleh dilakukan dalam melindungi kawasan habitat kelip-kelip dan sambutan ini satu daripada cara mewujudkan kesedaran awam dan membawa mesej bahawa semua orang perlu bekerjasama untuk menangani isu alam sekitar," katanya.

Hari Kelip-Kelip Sedunia yang dijadualkan pada minggu pertama Julai setiap tahun dirumuskan Fireflyers International Network (FIN) dan pengerusinya, Dr Sara Lewis berkata, acara berkenaan menawarkan peluang kepada semua orang termasuk mereka yang tidak pernah melihat kelip-kelip.

"Mereka berpeluang menambah pengetahuan dan mengenali lebih dekat kumbang itu termasuk biodiversitinya, peranan dalam ekologi, cabaran dihadapi dan kepentingannya dalam sosioekonomi sebagai tarikan pelancong.

"Tema sambutan menyampaikan mesej bahawa kelip-kelip adalah sesuatu yang ajaib untuk dilihat dan memerlukan perlindungan. Ini kerana di seluruh dunia, kumbang ini berdepan cabaran dan paling hebat adalah kemusnahan habitat menerusi pertanian, penggunaan racun serangga dan pencemaran alam," katanya.


KOMUNITI Kelip-Kelip terdiri daripada penduduk dan sukarelawan alam sekitar berkumpul pada majlis pelancaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 2:37 PM